PANDU UJI: Mercedes-Benz C350e plug-in hybrid tawar prestasi dan pengendalian yang berbaloi

PANDU UJI: Mercedes-Benz C350e plug-in hybrid tawar prestasi dan pengendalian yang berbaloi

Penerimaan masyarakat di Malaysia bagi penggunaan kenderaan hibrid semakin terbuka. Ini didorong oleh penggunaan bahan api yang lebih efisien, dan harganya juga mampu milik terutamanya bagi golongan kelas pertengahan. Malah di pasaran, terdapat pelbagai variasi bagi kenderaan hibrid, paling popular sudah tentu Honda Jazz hibrid dan Nissan Serena hibrid.

Walau bagaimana enjin kacukan konvensional dan motor elektrik atau plug-in hybrid masih belum diterima secara meluas. Antara faktornya, rata-rata jenama pengeluar kenderaan yang membawa masuk model ke pasaran Malaysia adalah dari jenama premium dan mewah, ini termasuklah Mercedes-Benz. BMW, Volvo dan Tesla. Bukan itu sahaja, fasiliti pengecasan bagi motor elektrik di tempat awam di Malaysia masih sangat terhad. Namun pemiliknya mempunyai pilihan untuk mengecas kenderaan ini di rumah.

Cuma yang menjadi faktor kekangan untuk memiliki kenderaan sebegini adalah soal harganya. Bila melibatkan jenama premium dan mewah, pastinya harganya bukanlah yang mampu milik kecuali bagi mereka yang berpendapatan tinggi dan golongan ‘ada-ada’.

Ok, ketepikan soal itu, sebaliknya sila terus membawa artikel ini yang lebih menjurus kepada ulasan pandu uji Mercedes-Benz C 350 e. Mungkin ini boleh dijadikan panduan untuk anda yang berminat membeli jentera plug-in hybrid sebegini, atau sekadar bahan bacaan menambahkan pengetahuan.

PANDU UJI: Mercedes-Benz C350e plug-in hybrid tawar prestasi dan pengendalian yang berbaloi

Mercedes-Benz C 350 e telah dilancarkan pada awal Oktober lalu dan bagi pasaran Malaysia, ia adalah model pemasangan tempatan (CKD) dari kilang pemasangan milik Mercedes-Benz Malaysia (MBM) yang terletak di Pekan, Pahang.

Bagi model ini, ia menawarkan tiga varian dengan perbezaan tahap kemasan iaitu Mercedes-Benz C 350 e Avantgarde (RM289,888), Mercedes-Benz C 350 e Avantgarde (dengan kemasan dalaman AMG Line; RM294,888) dan Mercedes-Benz C 350 e AMG Line (dengan tambahan kemasan dalaman dan luaran AMG; RM299,888).

Kalau dilihat tanda harganya, C 350 e ini lebih mahal berbanding pencabar terdekatnya, BMW 330e Sport, yang dilancarkan dua bulan lebih awal berbandingnya. Di mana 330e Sport ditawarkan pada harga RM248,800, manakala satu lagi varian baharu bagi model ini iaitu M Sport pula dengan harga RM258,800.

Jika anda inginkan perbandingan antara kedua-dua model persaing ini, sila baca ulasan pandu uji yang ditulis oleh Durrani Sharom DI SINI.

Jadi, apakah kelebihan yang ada pada C 350 e ini? Untuk itu, ini ulasan kami mengenainya selepas berpeluang mendampingi varian Avantgarde (dengan kekemasan dalaman AMG Line) selama beberapa hari.

Jika melihat bahagian luarannya, ia menyerlahkan sisi yang penuh elegan, mewah dan sofistikated. Ia berkongsi ciri luaran standard bagi semua varian, ini termasuklah lampu utama projector LED Adaptif dengan bantuan lampu tinggi, lampu nyalaan siang LED, lampu belakanag kombinasi LED, rim aloi 19-inci yang dibaluti tayar 225/40R19 untuk hadapan dan 255/35R19 di belakang serta lampu kabus belakang dan cermin sisi dengan indikator.

Menariknya, model untuk pasaran Malaysia ini turut didatangkan dengan perincian khas berwarna biru, iaitu pada bahagian lampu utama, kaliper brek, pelekat hiasan serta emblem yang digunakan, bagi menggambarkan ia adalah jentera janaan plug-in hybrid.

PANDU UJI: Mercedes-Benz C350e plug-in hybrid tawar prestasi dan pengendalian yang berbaloi

Bagi bahagian dalamannya pula, aura elegan merajai di segenap ruang dan sudut. Elemen standard bagi semua varian adalah termasuk kawalan suhu automatic tiga-zon Thermotronic dengan sistem pra-penyejuk suhu, sistem infotainment COMAND Online dengan Touchpad bersama paparan 8.4-inci, sistem bunyi sekeliling Burmester bersama 13-pembesar suara.

Selain itu, ia turut menampilkan bumbung suria, tirai suria berkuasa untuk cermin belakang serta manual untuk cermin sisi belakang, pencahayaan ambien bersama Map Light dan juga kamera Pandangan Sekeliling 360-sudut.

Pakej AMG Line turut menjadi pilihan bahagian kabin termasuklah pada tempat duduk balutan kulit Artico dengan pelarasan berkuasa serta fungsi memori untuk tempat duduk hadapan. Namun tidak seperti C250 dan C300, papan pemuka bagi C 350 e ini tidak dibaluti dengan kulit sentuhan lembut.

Seperti mana yang dinyatakan di perenggan atas, jika tidak berkesempatan untuk mengecas bateri elektrik kenderaan ini atau pun fasilitinya agak terhad dan penuh, kabel pengecasan soket domestic turut disertakan secara standard. Ia membolehkan pengguna mengecas kereta menerusi soket domestik standard tiga-pin termasuk di rumah.

Tetapi jangan sesekali menggunakan extension wire kerana ia boleh menyebabkan kabel pengecasan ini rosak. Terus sambungkannnya pada soket domestik standard 230 V. Saya turut cuba mengecasnya di rumah kerana fasiliti pengecasan bagi kenderaan elektrik yang disediakan di Jaya One hanya ada dua dan ketika mahu mengecasnya, ada orang lain sedang menggunakannya.

Malas pula hendak ke fasiliti terhampir iaitu di The Curve, jadi saya pilih untuk mengecasnya di rumah. Kalau mengikut apa yang dimaklumkan oleh Mercedes-Benz, anggaran masa pengecasan adalah sekitar dua jam dengan bekalan kuasa tunggal 230V/13A 3.0 Kw. Namun ketika saya cuba mengecasnya di rumah, hampir empat jam barulah baterinya penuh, mungkin disebabkan faktor kuasa voltan menjadi kekangan untuk ia lebih pantas mengecas.

Jadi lebih berbaloi (sekiranya benar-benar memiliki kenderaan sebegini), beli saja Mercedes wallbox yang berharga RM7,500. Di mana wallbox yang memiliki kadar pengecasan fasa-tunggal maksimum sehingga 3.7 kW atau 230V/16A 3.7 kW bagi pengecasan wallbox di tempat awam (seperti pengecas ChargEV) yang disediakan, mampu mengecas bateri lithium-ion bervoltan tinggi yang memerlukan kapasiti keseluruhan sejumlah 6.2 kWh, dan hanya mengambil masa sekitar 1 jam 45 minit sahaja.

PANDU UJI: Mercedes-Benz C350e plug-in hybrid tawar prestasi dan pengendalian yang berbaloi

Jentera ini dipadankan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder memiliki talaan sama seperti model C 250. Namun C 350e mampu menjanakan kuasa sehingga 211 hp dan tork 350 Nm serta mempunyai kuasa tambahan 80 hp/340 Nm yang dihasilkan oleh motor elektrik yang turut melengkapi sistemnya, menjadikan gabungan kuasa maksimum yang mampu dikeluarkan ialah 279 hp dan 600 Nm.

Ia turut digandingkan dengan transmisi automatic 7G-Tronic Plus tujuh-kelajuan. Dengan hamburan kuasa tersebut, C 350 e boleh bergerak dari keadaan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum sehingga 250 km/j. Penggunaan bahan apinya pula berada pada kadar yang begitu menjimatkan iaitu 2.1 liter bagi setiap 100 km/j berdasarkan kitaran European NEDC. Dalam mod elektrik sepenuhnya, ia dapat meliputi jarak 31 km, dengan kelajuan maksimum 130 km/j.

Bagi motor elektrik, ia menggunakan bateri lithium-ion sejukan cecair dengan voltan 6.2kWh yang terletak pada bahagian ruang barangan di belakang; kapasiti but pada model ini berkurangan daripada 475 liter kepada 335 liter.

Disebabkan jentera ini turut ditampilkan dengan motor elektrik, maka ia boleh dikatakan agak berat iaitu mencecah 1,705 kg, lebih 270 kg berbanding C 250. Jadi tujahan kuasanya kadangkala perlu dikerah terutamanya ketika jalan menaiki bukit atau pun memotong kenderaan lain.

Namun usah khuatir tentang itu, pemilihan mod pemanduan yang disediakan cukup membantu. C 350 e menawarkan program transmisi – Individual, Comfort, Eco, Sport dan Sport+, sama seperti model enjin petrol C-Class, dan menampilkan empat mod operasi tambahan,

Sekiranya motor elektrik digunakan, ia mengoperasikan mod Hybrid dengan mempengaruhi ketangkasan kuasa pendikit dan pengubahan gear mengikut situasi pemanduan. Manakala bagi E-Mode pula, ia menawarkan prestasi semua-elektrik sekiranya bateri masih mempunyai kuasa untuk mod tersebut digunakan.

Bagi E-Save pula, pemanduan secara kuasa elektrik dihadkan dan ia membiarkan bateri dicas, bagi pemanduan semua-elektrik apabila diperlukan. Mod tambahan terakhir ialah Charge, di mana ia membenarkan bateri memberikan kuasa yang lebih kepada enjin. Mod ini memberikan laluan untuk bateri dicas secara 100%.

Selepas bateri dicas penuh, saya sempat memacu jentera ini ke Kuala Selangor menerusi Lebuhraya LATAR. Dengan pacuan antara 100-130 km/j, kuasa bateri semakin menyusut agak begitu pantas, tak sampai dalam jarak 15 km. Lalu saya memperlahankan kelajuan sehingga 80 km/j. Sekadar pemanduan santai kerana ingin menikmati tujahan kuasa yang dihamburkan oleh motor elektrik ini sepenuhnya.

PANDU UJI: Mercedes-Benz C350e plug-in hybrid tawar prestasi dan pengendalian yang berbaloi

Dalam keadaan ini, saya jarang menekan pedal pendikit dengan keadaan agresif, sebaliknya membiarkan jentera dipacu meluncur begitu sahaja (cruise). Namun saya dapati, tujahan kuasa yang diberi agak bersederhana, tidak langsung mencabar adrenalin saya.

Dalam jarak 30 km, meter yang menunjukkan kuasa elektrik sepenuhnya mencapai tahap merah, sekaligus menukar ke mod enjin konversional dan kuasa hibrid. Rasa kurang berpuas hati untuk menikmati pacuan dalam kuasa elektrik-sepenuhnya, tetapi apakan daya. Walau bagaimana pun, kuasa hibrid yang ‘menggantikan’ pacuan jentera ini boleh digambarkan bersifat sederhana. Jika inginkan pemanduan yang lebih tangkas, pastinya enjin konvensional akan mengambil alih tugas kuasa pendikitan.

Dengan enjin konvensional, tujahan enjin turbo dengan kapasiti 2.0 liter, mungkin membolehkan anda menerima saman AES atau had laju. Jika tak kisah dengan itu, ia boleh dipacu sehingga mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Namun memandangkan jentera ini agak berat disebabkan motor elektrik, dari pacuan rendah memerlukan sedikit kerahan tenaga untuk memaksa enjin konvensional ini meledakkan kuasa yang lebih pantas. Tetapi apabila ia sudah mencapai kelajuan yang tinggi, kaki anda tidak perlu memberikan tekanan lagi pada pedal pendikit.

PANDU UJI: Mercedes-Benz C350e plug-in hybrid tawar prestasi dan pengendalian yang berbaloi

Sistem suspensinya cukup memberikan kerjasam iaitu Multi-link dengan Air Suspension untuk bahagian hadapan dan belakang cukup berpadanan. Ia mampu mengurangkan rasa olengan badan biar pun dipandu laju dengan keadaan jalan yang tidak menentu. Boleh dikatakan C 350 e ini memberikan keselesaan pengendalian baik dan memuaskan. Malahan dengan adanya Airmatic, mendorong pacuan C 350 e lebih selesa berbanding kebanyakan model C-Class yang lain, malahan ia memberikan kualiti pengendalian yang terbaik dalam kelasnya.

Seperti mana varian lain dalam familinya, bagi aspek keselamatan, C 350 e ini turut dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan (ESC), sistem brek sendiri dengan bantuan elak pelanggaran, amaran pelanggaran dan ISOFIX.

Selesai beberapa memandu ujinya, sama ada di lebuhraya mahu pun jalan biasa, kami yang turut memandu uji 330e mendapati pacuan bagi kuasa elektrik sepenuhnya pada jentera keluaran BMW itu sedikit berkuasa berbanding C 350 e ini. Bukan itu sahaja, kotak gear BMW juga lebih responsif dan pengendaliannya lebih menyeronokkan. Walau bagaimana pun, enjin konvensional C 350 e lebih cemerlang, sekaligus memberikan pengalaman pemanduan yang tidak kurang memuaskan. Bahkan rekaan dalamannya juga lebih menarik perhatian, tidak hairanlah harganya lebih premium berbanding BMW.

Walau bagaimana pun, sekiranya anda benar-benar mahu memiliki jentera sebegini, tak kiralah dari apa jua jenamanya, pastikan anda tahu kelebihan, kekurangan dan keperluannya. Pastikan ia tidak membuatkan anda menyesal untuk memilikinya, di samping ia adalah pemilikan yang berbaloi untuk kegunaan pengangkutan sehari-harian.

Jika anda ingin mengetahui lebih perincian dan spesifikasinya, sila layari CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required