Proton Iriz R5 bakal tampil pada Goodwood Festival of Speed bersama jentera-jentera lagenda rali Group B

Proton Iriz R5 bakal tampil pada Goodwood Festival of Speed bersama jentera-jentera lagenda rali Group B

Menjelang acara tahunan Goodwood Festival of Speed (FOS) yang akan bermula 29 Jun ini, laman sesawang rasmi acara berkenaan telah mengumumkan secara rasmi bahawa jentera rali Proton Iriz R5 bakal membuat penampilan pertamanya di Forest Rally Stage bersama jentera-jentera rali lagenda dari era Group B.

Pengumuman ini seiring dengan kenyataan dari pembina Iriz R5 iaitu Mellors Elliot Motorsport (MEM) sebelum ini yang menyatakan jentera berkenaan bakal membuat penampilan awam pertamanya pada Goodwood FOS tahun ini.

Proton Iriz R5 ini akan dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

Bahagian luaran, ia menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

Proton Iriz R5 bakal tampil pada Goodwood Festival of Speed bersama jentera-jentera lagenda rali Group B

Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz standard, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik serta spoiler bumbung belakang lebih besar.

Antara jentera Group B yang turut akan membuat kemunculan adalah barisan jentera Audi Quattro, Lancia 037, MG Metro 6R4s dan juga MG Metro 8R4 yang dijana enjin V8 4.6-liter.

WRC Group B sangat popular era 80’an dahulu. Namun, akibat kereta yang terlalu berkuasa dan berbahaya, Group B dihentikan pada tahun 1986 dan diharamkan terus untuk musim 1987, setelah pemandu Lancia, Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto maut dalam satu kemalangan di Rali Tour De Corse. Kemalangan melibatkan rempuhan terhadap penonton juga pernah berlaku dalam rali Group B sebelum itu di Rali Portugal, menyebabkan kematian tiga orang penonton.

Selain itu, Forest Rally Stage pada FOS tahun ini turut akan meraikan undang-undang kelas ‘World Rally Car’ yang kini sudahpun mencapai 20 tahun. Undang-undang berkenaan yang menggantikan undang-undang Group A pada tahun 1997 telah merubah lanskap Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang memansuhkan homologasi produksi dan membolehkan jentera-jentera prototaip yang lebih berkuasa untuk berlumba dalam kejuaraan tersebut. Era berkenaan juga menyaksikan pertarungan sengit antara jaguh-jaguh lagenda seperti Marcus Grönholm, Richard Burns dan Tommi Mäkinen.

GALERI: Gambar rasmi Proton Iriz R5 dari Chicane Media

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required