Mercedes-AMG mengumumkan pengeluaran AMG GT3 Edition 50, sebagai penawaran terhad yang disasarkan kepada pengumpul kereta yang meminati sukan perlumbaan. Diasaskan kepada jentera lumba GT3, versi ini diberikan sentuhan penyudah dalam warna berbeza, serta kit badan – hanya untuk lima unit sahaja.
Ia menggunakan warna hitam kesat (matte) pada bahagian luaran, yang menurut pengeluarnya menjadi kali pertama digunakan pada kenderaan AMG. Ia juga terdiri daripada banyak bahagian yang diperbuat gentian karbon – diffuser depan dan belakang, aerofoil belakang, bukaan ruang masukan udara, gril radiator serta kit badan sisi – semuanya menggunakan bahan berkenaan, dengan penyudah matte.
Unit Edition 50 ini turut menerima logo AMG di beberapa bahagian terpencil. Selain itu, logo khas “50 Years of Driving Performance” turut dapat dilihat pada bahagian pintunya. Sistem ekzos Performance terbuka menjadi pelengkapnya – tanpa penghad untuk memberikan lebih prestasi.
Ruang dalaman meneruskan tema yang sama. Roll cage serta bahagian yang boleh dilihat pada lantainya menggunakan warna dan penyudah sama seperti di luar. Sementara papan pemuka, panel pintu dan kerangka bawahnya, corong udara serta konsol tengah menggunakan material gentian karbon hitam kesat.
Selain itu, tali pinggang keledar enam-titik warna perak serta stereng lumba memberikan nuansa berbeza terhadap imej “gelap” unit ini. Logo AMG tambahan dan plat Edition 50 dengan nombor menjadi perincian tambahannya.
Di dalam, logo “50 Tahun” turut kelihatan pada tali keledar. Bahkan lapik pelindung kenderaan yang disertakan sekali juga mempunyai tanda yang sama. Lima pemilik yang akan memperoleh kereta ini turut akan mendapat jam tangan ulang tahun ke-50 Mercedes-AMG Ingenieur Chronograph Sport Edition buatan IWC Schaffhausen, sebuah buatan khas dengan tema yang sama seperti kereta terbabit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.