PANDU UJI: Mitsubishi Triton 2.4L VGT MIVEC – kini lebih ringan dan berkuasa; adakah ia pilihan terbaik?

PANDU UJI: Mitsubishi Triton 2.4L VGT MIVEC – kini lebih ringan dan berkuasa; adakah ia pilihan terbaik?

Jika bukan kerana saiznya yang agak lebar dan panjang, trak pikap boleh saja menjadi sebuah pilihan kenderaan yang paling praktikal. Dan, jika bukan kerana tahap keselesaannya yang sedikit tidak menyenangkan, ia juga boleh jadi pilihan sebagai kenderaan untuk keluarga.

Kenderaan jenis trak pikap antara yang telah menerima banyak perubahan saban tahun, dan penawarannya juga tidak lagi disasarkan kepada keupayaan untuk penggunaan tugas berat dan lasak seperti sebelum-sebelumnya. Dengan adanya pilihan bahan api diesel Euro 5 yang jauh lebih bersih kini, agaknya faktor berkenaan juga jadi pemangkin kepada penerimaan meluas pasaran terhadap kenderaan jenis ini.

Sebab inilah, jika diperhatikan, penawaran pada trak-trak pikap paling tidak sejak lima tahun dahulu sudah mengubah hala tujunya – hampir semua pengeluar yang ingin bersaing merebut bahagian dalam pasaran mengalihkan tumpuan untuk memperkemas dan mempertingkat ciri dan rekaan pada trak pikap masing-masing.

Ruang kabin lebih nyaman dengan rekaan serta kemasan papan pemuka yang tidak jauh berbeza dari kereta penumpang lainnya. Begitu juga tahap kesenyapan; walaupun enjin diesel yang lazimnya sangat kuat kedengaran, bahkan dibahagian dalam kabin, perkara itu beransur-ansur dipertingkat.

PANDU UJI: Mitsubishi Triton 2.4L VGT MIVEC – kini lebih ringan dan berkuasa; adakah ia pilihan terbaik?

Dan, ruang truck bed yang panjang dan luas di belakang juga, yang direka untuk mengangkut pelbagai barangan besar dan panjang, membolehkan pengguna menukarnya untuk membawa barangan keluarga untuk aktiviti riadah, rekreasi bahkan untuk perjalanan jauh – terima kasih kepada pilihan aksesori yang bersepah dalam pasaran, seperti penutup ruang belakang berkenaan yang membolehkan barangan sentiasa dalam keadaan selamat dan terlindung.

Di bahagian dalam, maksimum lima orang penumpang dewasa boleh dibawa dalam satu-satu masa. Maka tidak menghairankan sekiranya semakin ramai yang memilih trak pikap sebagai kenderaan utama untuk digunakan bagi apa saja tujuan – lihat jumlahnya di atas jalan raya kini, anda akan faham apa yang cuba disampaikan di sini.

Untuk itu, tidak hairan juga jika ada pengeluar yang sedaya-upaya mahu menambah tahap keselesaan trak yang dikeluarkan. Dengan penggunaan sistem penyerap hentak leaf spring seperti yang biasa ada pada trak pikap, penumpang memang akan mudah merasa terlantun melambung terutama ketika melalui jalan beralun dan tidak rata.

Sebab itulah model seperti Nissan Navara terkini menawarkan sesuatu yang berlainan; bahagian belakang trak pikapnya menggunakan sistem suspensi multi-link, seperti yang biasanya digunakan untuk kereta penumpang. Navara satu-satunya model trak pikap yang dilengkapi ciri berkenaan, dan menurut sesetengah pendapat, ia berhasil untuk memberikan tingkat keselesaan yang lebih baik.

PANDU UJI: Mitsubishi Triton 2.4L VGT MIVEC – kini lebih ringan dan berkuasa; adakah ia pilihan terbaik?

Ini tidak lain bertujuan untuk memberikan tahap keselesaan dalam kabin yang lebih baik kepada penumpang – dengan andaian, penggunaannya akan lebih banyak dihabiskan di atas jalan raya. Namun, “pergerakan” trak pikap tidak hanya terbatas di situ sahaja – tanpa jalan bertar juga tidak akan menjadi masalah untuk diredah.

Hampir semua pengeluar kenderaan penumpang utama yang bertapak di Malaysia akan memasukkan trak pikap di dalam barisan model yang dipasarkan, terutama jenama Jepun. Mitsubshi Triton yang anda lihat ini tidak ketinggalan daripada persaingan penawaran yang dimaksudkan, dan menerima beberapa pembaharuan bagi penampilan terkininya yang diperkenalkan sejak April 2017.

Ia bersaing dalam pasaran trak pikap di sini bersama-sama model seperti Ford Ranger, Nissan Navara, Isuzu D-Max, Toyota Hilux dan Chevrolet Colorado. Berdepan dengan model-model popular berkenaan, apa yang menjadi kelebihan bagi Triton untuk dipertaruhkan kepada pembeli?

Bagi penawaran tahun 2017, Mitsubishi Triton menerima beberapa peningkatan – ia kini hadir dengan ciri Electronic Stability Program (ESP) bagi semua varian VGT (Triton VGT, VGT Adventure dan VGT Adventure X). Ini termasuk Active Stability Control dengan kawalan cengkaman (ASTC), Hill-start Assist dan Trailer Sway Control.

Selain itu, bagi varian Triton VGT Adventure dan VGT Adventure X, ia turut dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di depan, dua di sisi, dua beg udara tirai dan satu pada bahagian lutut pemandu) dengan penarafarn lima bintang bagi ASEAN NCAP. Varian selebihnya pula menerima dua beg udara sahaja (dengan penarafan empat-bintang).

Ruang dalamannya juga cukup selesa dan luas, terasa lebih dekat sebagai ruang kabin sebuah kenderaan penumpang biasa berbanding trak pikap sekiranya anda tidak mendengar bunyi deruman enjin dari luar. Walaupun begitu, ini tidaklah bermaksud bahawa kabinnya bising; ia agak senyap dan lima penumpang dewasa boleh duduk dengan selesa.

Hujung April lalu, kami berkesempatan menyertai sesi pandu uji media bagi model ini di Kota Kinabalu, Sabah. Seperti yang anda sedia maklum, Borneo menjadi antara lokasi terbaik untuk menguji kemampuan jentera seperti ini, didorong oleh keadaan permukaan dan geografinya yang mencabar – sebagai medan terbaik untuk digunakan bagi mengetahui kemampuannya.

Sepanjang sesi berkenaan, jalan yang sempat dilalui terdiri daripada pelbagai permukaan. Jalan berturap dan berbukit memberikan peluang untuk merasakan tahap keselesaan ruang kabin serta aspek pengendalian dalam keadaan biasa. Selain itu, bahagian laluan off-road juga turut dilalui; secara peribadi, saya merasakan sesi berkenaan lebih menarik untuk melihat bagaimana kemampuan Triton dalam menghadapi laluan sebegitu.

PANDU UJI: Mitsubishi Triton 2.4L VGT MIVEC – kini lebih ringan dan berkuasa; adakah ia pilihan terbaik?

Apa kelainan yang dapat dirasakan ketika memandu model ini berbanding pesaing-pesaingnya yang lain? Satu perkara yang paling ketara ialah betapa ringan trak pikap ini dirasakan ketika memandunya. Dan, ini tidaklah menghairankan; enjin 2.4 liter VGT MIVEC yang melengkapinya dibina menggunakan blok aluminium sepenuhnya.

Menurut Mitsubishi, ini memberikan beberapa kelebihan, antaranya ia lebih ringan dan tahan lama berbanding jika menggunakan blok dari jenis cast iron. Penyampaian kuasa juga menjadi lebih lancar dan mudah sekali gus mengurangkan beban terhadap enjin.

Penggunaan enjin 2.4 liter VGT MIVEC ini juga membolehkannya menghasilkan janaan kuasa yang lebih tinggi berbanding enjin 2.5 liter VGT yang digunakan sebelum ini. Sebagai perbandingan, enjin baru yang lebih kecil ini menjana sebanyak 179 hp pada 3,500 rpm serta 430 Nm pada 2,500 rpm.

Bagi enjin lama yang digantikannya pula, unit 2.5L itu menjana sebanyak 176 hp dan 400 Nm pada 2,000 rpm (enjin ini masih ditawarkan bagi varian-varian bukan VGT). Bukan itu saja, berat keseluruhan antara keduanya juga berbeza, dengan versi terbaru ini lebih ringan. Bagi enjin MIVEC pula, ia mencapai 400 Nm pada takat 1,500 rpm, sebelum melonjak kepada tork maksimum pada 2,000 rpm.

PANDU UJI: Mitsubishi Triton 2.4L VGT MIVEC – kini lebih ringan dan berkuasa; adakah ia pilihan terbaik?

Penggunaan enjin MIVEC ini juga, di atas kertas, meletakkan Triton mendahului pesaing-pesaingnya yang setara dari sudut penghasilan janaan kuasa. Berikut adalah bacaan janaan kuasa beberapa model lain dalam kelas yang sama; Toyota Hilux 2.4L (148 hp/400 Nm), Ford Ranger 2.2L (148 hp/385 Nm), Nissan Navara 2.5L (161 hp/403 Nm) dan Isuzu D-Max 2.4L (134 hp/320 Nm).

Ia bahkah menghasilkan kuasa yang lebih tinggi berbanding enjin 2.8L dan 3.0L pada varian lebih tinggi daripada model jenama pesaing. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan yang terdapat dalam kalangan model-model seteru kepada Triton ini, bolehlah merujuk laman CarBase.my.

Selain itu, Mitsubishi juga mendakwa trak pikap keluaran mereka ini mampu memberikan kadar penggunaan bahan api diesel yang terbaik, pada bacaan 7.6 liter bagi setiap 100 km pada kadar terbaiknya. Triton juga mempunyai kelebihan dilaluan off-road; ini disumbangkan oleh janaan kuasa yang tinggi serta berat keseluruhan yang berada di bawah dua tan – berbanding beberapa model lain yang beratnya melebihi angka berkenaan.

Untuk mengendalikan trak pikap ini dalam keadaan jalan berlumpur dan mendaki, serta perlu untuk kerap mengalih arah pusingan stereng untuk mengelak halangan yang ada, saya rasakan Triton tidak punyai banyak masalah. Semuanya begitu mudah dilakukan sebagai pemandu.

PANDU UJI: Mitsubishi Triton 2.4L VGT MIVEC – kini lebih ringan dan berkuasa; adakah ia pilihan terbaik?

Cuma di satu kawasan lumpur yang agak dalam ketika dalam perjalanan ke puncak bukit di daerah Kota Belud, Triton ini tersangkut dan tidak dapt melepasi halangan berkenaan. Tetapi, perkara itu sudah boleh dijangkakan – ini kerana hanya tayar standard Highway Terrain digunakan, dan bukannya tayar khusus untuk tujuan off-road. Walaupun begitu, disebabkan ia ringan, kerja-kerja untuk menundanya keluar dari kawasan lumpur berkenaan tidak memerlukan masa yang lama.

Secara keseluruhan, Mitsubishi Triton 2.4L VGT MIVEC ini memang ada banyak kelebihan untuk meletakkannya dihadapan pesaing-pesaing lain, setidak-tidaknya dari segi janaan prestasi dan penawarannya di atas kertas. Di dalam pemanduan sebenar juga ia tidak mengecewakan.

Yang meletakkan sedikit di belakang dari sudut spesifikasi mungkin penggunaan sistem transmisi INVECS-II dengan Sport Mode yang hadir hanya dengan lima-kelajuan. Ini kerana, model-model lain seperti Ford Ranger dilengkapi dengan gear automatik enam-kelajuan, manakala Nissan Navara pula antara yang termaju, dengan transmisi tujuh-kelajuan.

Satu lagi kelebihan Triton ialah tempoh jaminan yang diberikan adalah yang paling lama bagi mana-mana trak pikap dalam kelas 2.4L; jaminan pengeluar yang disediakan ialah selama lima tahun atau 200,000 km. Ini jaminan yang terbaik pernah diberikan untuk trak pikap yang dipasarkan di Malaysia setakat ini.

Mitsubishi Triton Adventure X

Mitsubishi Triton di Kota Kinabalu

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Benedict on Jun 14, 2017 at 9:10 pm

    I want triton 1 unit

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 1
  • Norman on Dec 14, 2017 at 7:20 am

    Own it month ago,So far so good after the 1st oil change..Trade in 2 cars to bought it.Now left with my Exora sprints supercharge MPV and my trusty Yamaha XJ600

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 1
 

Add a comment

required

required