TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 – pilihan terbaik untuk peralihan dari kapcai ke motosikal besar

TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 – pilihan terbaik untuk peralihan dari kapcai ke motosikal besar

Walaupun ramai yang ternanti-nanti pengenalan model motosikal yang menggunakan enjin 150 cc yang dibangunkan sendiri oleh Modenas, yang khabarnya sudah menelan belanja besar untuk tujuan R&D, sehingga kini ia bagaimana pun masih belum menjadi kenyataan lagi.

Tak kurang juga mereka yang sinis dengan perkembangan itu, dengan menyatakan Modenas tidak mampu untuk melakukannya serta menghadapi banyak masalah dari segi pembangunan enjin dan model terbabit. Dan, jika anda mengikuti perkembangan ini secara dekat, tidak begitu lama sebelum ini bertiup pula khabar angin bahawa model dan enjin berkenaan tidak jadi diperkenalkan di atas sebab-sebab tertentu.

Namun, kali terakhir kami bertanyakan tentang hal ini kepada CEO Modenas, Amirudin Abd Kadir sendiri ketika majlis pelancaran model Modenas Kriss MR2 110, jawapan yang diberikan sangat jauh daripada khabar angin yang bertiup. “Dengan pelaburan wang dan masa yang telah dikeluarkan untuk tujuan itu (pembangunan model dan enjin 150 cc), tak masuk akal untuk Modenas terus mengabaikannya,” ujar beliau.

Jika ini boleh dikira sebagai satu petunjuk, maka khalayak di Malaysia masih berpeluang menerima model berkenaan kelak. Agaknya, Modenas memerlukan lebih masa untuk memperkemas motosikal berkenaan, yang khabarnya sudah dalam proses ujian sebelum ini. Semoga yang terbaik dapat dihasilkan daripada perkembangan itu untuk manfaat khalayak pengguna.

TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 – pilihan terbaik untuk peralihan dari kapcai ke motosikal besar

Tambahan pula, Januari lalu, Modenas sendiri pernah menyatakan hasrat untuk memperkenalkan enam model baru tahun ini. Setakat bulan Jun 2017, Modenas sudah melancarkan empat daripadanya. Masih berbaki dua model lagi bagi tempoh separuh kedua tahun ini. Adakah motosikal dengan enjin 150 cc yang dibangunkan sendiri itu satu daripadanya? Sama-sama kita nantikan.

Empat model yang dimaksudkan itu dimulakan dengan pelancaran Modenas Kriss MR2 110 pada April lalu. Kemudian, walaupun menangguhkan pengenalan model 150 cc yang disebut-sebut, Modenas “menggantikannya” dengan sesuatu yang lebih baik – bahkan dengan penawaran enjin yang kapasitinya lebih besar.

Yang dimaksudkan ialah pelancaran tiga model dengan usaha sama Bajaj Auto dari India bulan Mei lalu; Modenas Pulsar RS200, Modenas Pulsar NS200 dan Modenas V15 yang lebih retro. Modenas Pulsar hadir dengan enjin 200 cc, manakala V15 dilengkapi enjin 150 cc.

Pengenalan semua model ini dari satu sisi boleh dilihat sebagai kelebihan kepada pengguna. Ini kerana, sejak beberapa tempoh kebelakangan ini, penawaran dalam pasaran lebih terarah kepada motosikal moped 150 cc yang menjadi semakin popular dan diterima ramai.

TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 – pilihan terbaik untuk peralihan dari kapcai ke motosikal besar

Dengan kehadiran tiga model Modenas/Bajaj ini, pilihan yang terbentang kepada pengguna semakin luas serta pelbagai. Apa yang lebih menarik dan tidak dapat disangkal ialah tanda harga yang dikenakan untuk ketiga-tiga model ini; Pulsar RS200 (RM11,342), Pulsar NS200 (RM9,222) dan V15 (RM5,989) – termasuk GST.

Minggu lalu, kami sempat menunggang uji dua daripada model baru dengan kapasiti enjin 200 cc berkenaan. Dan, bagi tujuan laporan tunggang uji ini, kita akan memberi tumpuan hanya kepada model Modenas Pulsar NS200. Seperti yang ramai sudah sedia maklum, RS200 dan NS200 secara asasnya adalah merupakan model yang sama, dibezakan oleh beberapa ciri dan sudah tentu, tanda harga. Ini yang akan kami huraikan di sini.

Nama “NS” ini merujuk kepada istilah Naked Sport, atau oleh Modenas sendiri dirujuk juga sebagai motosikal jenis Naked Street; sebuah motosikal yang tidak dilengkapi fairing – ini menjadi antara perbezaan utama antara kedua-dua model RS200 dan NS200.

Bercakap tentang perbezaan reka bentuk di antara keduanya, terdapat beberapa perkara lagi yang perlu dinyatakan. Selain fairing, rekaan lampu depan dan lampu belakang juga antara yang membezakan antara keduanya. Serta model RS200 dilengkapi dengan sistem ABS. Selebihnya sama.

Secara tepatnya, Modenas Pulsar NS200 dilengkapi enjin 199.5 cc, silinder tunggal SOHC empat lejang, sejukan cecair dengan teknologi DTS-i (Digital Triple Spark Ignition) yang menggunakan tiga palam pencucuh. Enjin ini menghasilkan kuasa sebanyak 24.5 PS pada 9,500 rpm dan tork 18.6 Nm pada 8,000 rpm. Ini dipadankan pula dengan kotak gear enam-kelajuan.

Apa pandangan setelah menunggang uji model berkenaan? Sejak awal menerima unit ini, tanggapan awal yang terkesan daripadanya ialah betapa mudah untuk ia dikendalikan ketika tunggangan. Secara peribadi, pada kebiasaannya saya lebih cenderung dan selesa untuk menunggang skuter automatik dan jarang-jarang menggunakan motosikal jenis ini serta yang memerlukan pengendalian klac tangan.

Tetapi, sewaktu pertama kali mencubanya, saya tidak kekok atau menghadapi banyak masalah serta hanya mengambil masa yang singkat untuk menyesuaikan diri dengan pengendalian yang diperlukan. Dari segi tunggangan, klac yang ada pada model ini agak “ringan”, sekali gus memudahkan penunggang untuk mengalih turun-naik kedudukan gear pada bila-bila masa.

Dari segi estetika rekaan, saya lebih menggemari imej NS200 ini berbanding versi yang satu lagi. Ia nampak sangat seimbang, tidak terlalu garang tak bertempat serta tampil meyakinkan. Tidak kira dari sudut mana anda memandangnya, NS200 akan kelihatan sangat matang – secara ringkas, rekaannya cukup mantap.

TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 – pilihan terbaik untuk peralihan dari kapcai ke motosikal besar

Posisi duduknya juga lebih menegak; dengan tempat duduk yang lebih tinggi, serta sudut dan juga ketinggian pemegang yang juga dinaikkan sedikit. Ini membolehkan penunggang berada dalam keadaan rehat sepanjang masa. Kuasa yang disalurkan pula cukup baik, dengan daya tork pada kedudukan gear rendah banyak membantu memudahkan kendalian ketika menempuh jalan sesak.

Begitu juga ketika ingin menukar kedudukan gear, sama ada kepada yang lebih tinggi atau sebaliknya; ia mudah dilakukan dengan peralihan yang sangat tepat. Bercakap tentang gear, ada satu perkara yang mungkin boleh dipertimbang untuk ditambah baik – pada paparan meternya hanya ada petunjuk untuk gear N sahaja. Jika ini boleh ditambah dengan paparan kedudukan gear semasa yang lain, tentu ia boleh dimanfaatkan oleh penunggang.

Menjadikan tunggangan lebih selesa ialah penggunaan penyerap hentak monoshock Nitrox dengan kanister untuk bahagian belakang. Bahagian depan pula menggunakan penyerap hentak teleskopik biasa. Pada kebanyakan waktu, ini sangat memadai untuk memberi keselesaan sepanjang tunggangan.

Ketika mencuba motosikal ini, saya lebih banyak menghabiskan masa dilaluan jarak dekat sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur sahaja. Namun, ketika beberapa kali menunggangnya keluar daripada kawasan ibukota untuk jarak yang jauh sedikit daripada kebiasaan – ke sekitar Putrajaya dan Serdang melalui lebuhraya, ada beberapa permerhatian yang sempat juga dicermati.

Dalam laluan seperti itu, ada seperkara lagi yang sempat diperkatakan; tangan kanan saya ada waktunya cepat merasa letih dan kebas. Ini mungkin disebabkan gegaran dari enjin yang terhasil pada pemegang. Tetapi, ini bukanlah satu masalah besar.

Modenas Pulsar NS200 memiliki dimensi fizikal 1,993 mm panjang, 804 mm lebar, 1,075 mm tinggi serta jarak antara roda 1,363 mm. Jarak kelegaan dari tanah pula ialah 167 mm. Melihat kepada angka-angka ini, NS200 boleh dikatakan agak besar juga, terutama jika dibandingkan dengan motosikal naked dalam julat kapasiti yang berdekatan dengannya.

Sedikit tentang penggunaan minyak, walaupun bukanlah sebuah pemerhatian terperinci melainkan hanya berdasarkan tinjauan longgar dari pengalaman menunggangnya selama seminggu. Ketika awal mencubanya, baki minyak yang tertera pada paparan meter masih ada tiga takuk digital (sekitar suku tangki). Saya mengisi RM10 petrol RON 95 (kurang daripada 5 liter) sejurus selepas itu – ia naik sedikit melebihi separuh tangki.

Semasa memulangkan unit ini seminggu kemudian, dengan jarak perjalanan yang direkodkan kira-kira 160 km sepanjang tempoh itu, ia masih berbaki tiga takuk lagi. Mengambil kira prestasi yang diberikan, serta penggunaan tiga palam pencucuh yang digunakan – yang menyumbang kepada kelancaran dan meningkatkan kesempuranaan pembakaran dalam enjin – ini merupakan angka yang baik dan menjimatkan juga (walaupun ia sangat bergantung kepada cara tunggangan). Kapasiti tangki minyaknya ialah 12 liter.

Ada satu perkara lagi yang bermain dalam fikiran saya. Jika diperhatikan secara teliti motosikal ini, ia masih mengekalkan loga jenama Bajaj di beberapa tempat. Misalnya pada bahagian enjin, begitu juga pada lampu depan serta pada paparan meter digitalnya.

Logo Modenas hanya disertakan pada bahagian hujung, betul-betul di atas lampu belakang. Mengapa tidak digunakan logo Modenas dengan meluas? Dalam keadaan ini, nampak seperti Modenas hanya bertindak sebagai pengedar jentera Bajaj sahaja. Nak dikatakan rebadge juga tak sesuai, kerana bagde Bajaj masih tertera dengan jelas. Sejauh mana usaha sama yang dimaksudkan ini sebenarnya?

Apa-apa pun, secara keseluruhannya sebagai sebuah motosikal, Modenas Pulsar NS200 tidak disangkal berhasil menerbitkan rasa yang sangat positif sepanjang tempoh saya menggunakannya. Dan, selagi ia dapat memberi manfaat dan kelebihan kepada pengguna – misalnya dengan penawaran harga yang cukup baik – itu sudah memadai. Jika ada yang risau tentang kualitinya kerana ia merupakan sebuah model yang dibangunkan oleh syarikat India, rasanya anda tak perlu terlalu khuatir.

Mengapa? Pasaran di India, yang jauh lebih besar dan permukaan laluan yang jauh lebih pelbagai daripada yang kita ada di Malaysia menyebabkan pengeluarnya perlu melangkaui jangkaan pasaran yang sangat tinggi. Jika motosikal yang dikeluarkan tidak tahan, ia tidak akan diterima. Namun, Bajaj Auto di India sudah menempa nama yang gah dan meraih kepercayaan pasaran tempatan di sana.

Motosikal ini sesuai untuk siapa? Dengan penawaran yang ada, ia boleh dijadikan motosikal pemula bagi mereka yang ingin beralih daripada menunggang kapcai kepada menunggang dengan pengalaman tunggangan sebuah motosikal yang kuasanya lebih tinggi. Sebagai contoh, jika anda kini menggunakan motosikal di bawah 150 cc – seperti Yamaha LC 135 dan Y15ZR atau Honda RS 150R – Pulsar NS200 ini boleh menjadi satu pilihan naik taraf motosikal yang sangat baik.

Begitu juga jika anda memang menyimpan hasrat untuk memiliki dan menunggang motosikal berkuasa besar suatu hari nanti, motosikal Modenas Pulsar NS200 ini boleh menjadi sebuah model peralihan yang sangat baik untuk memberi ruang kepada anda membiasakan diri dengan gaya tunggangan motosikal lengkap dan matang yang sebenar.

Jika dibandingkan harganya pula, ia hampir menyamai penawaran bagi model seperti Yamaha FZ150i yang bersaing dalam segmen yang sama – walaupun hadir dengan kapasiti enjin yang lebih kecil, 150 cc. Dengan Modenas Pulsar NS200, kelebihan kapasiti enjin bermaksud ia akan memberi prestasi tunggangan yang juga bertambah baik – janaan kuasa yang lebih serta lancar, tambahan pula ia menggunakan sistem tiga palam pencucuh. Pilihan kepada penunggang motosikal di bawah 250 cc kini lebih menarik dan berdaya saing.

GALERI: Modenas Pulsar NS200

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • lilytan on Jun 15, 2017 at 1:57 pm

    Modenas is a sibling of proton, the son of drb. 20 years on and still rebadging bikes, a 3rd world engineering capability. And from the story, even the rebadging part is particularly bad. Hopeless. As for bike, not bad at all bajaj.

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 28
  • Why dont you mentioned about ideal cruising speed and top speed of this bike? Would love to know it

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
    • MOHD AZLAN BIN KHALIL on Mar 14, 2018 at 8:54 pm

      Have owned and rode this bike for 1400 km. For somebody my size, 90 kg, a good cruising speed for this bike is between 95-105 kph. The rpm would be about 7000-7500. You can go 120 kph but rpm will be slightly above 8000 and is ok for short durations. Have no intention to test top speed but for my weight it should be 130+ kph. If you want to ride faster get a bigger capacity bike.

      Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
      • bro..what is the mileage you get for full tank? 350km? sorry riding EX5 all these years :-)

        Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
  • cynical on Jun 17, 2017 at 2:52 pm

    No need to ask so many questions on the level of collaboration with Bajaj, the rakyat doesn’t care about that. As long as we get cheap and good quality product, we will buy it, Bajaj or Modenas badge is the least of our concern

    Like or Dislike: Thumb up 21 Thumb down 1
  • Ordinary Malaysian on Aug 09, 2017 at 10:21 am

    Boleh tak buat bandingan motosikal NS200 ini dengan FZ150?

    Like or Dislike: Thumb up 13 Thumb down 10
  • Yem halim on Sep 01, 2017 at 8:47 pm

    Model Ni lebih baik dr Yamaha 125zr yg asyik tukar sticker n cover lepas tu jual dgn harga yg tidak masuk Akal… Yg beli pun makan maggi n berkata hobi kami mahal…. Sedar laa kalian semua… #penunggangsetiamodenaskriss

    Like or Dislike: Thumb up 25 Thumb down 3
  • MOHD AZLAN BIN KHALIL on Mar 16, 2018 at 4:35 pm

    Have owned and rode this bike for 1400 km. For somebody my size, 90 kg, a good cruising speed for this bike is between 95-105 kph. The rpm would be about 7000-7500. You can go 120 kph but rpm will be slightly above 8000 and is ok for short durations. Have no intention to test top speed but for my weight it should be 130+ kph. If you want to ride faster get a bigger capacity bike.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required