Sengaja saya ingin terus mengajak anda mengimbas kembali keadaan Modenas pada tahun lepas. Boleh dikatakan pada waktu itu, pengeluar motosikal negara ini agak senyap dengan tiada model baru setelah sekian lama, dan di dalam pasaran, model yang terjual dengan mudah adalah MR1 kerana harganya yang mampu milik (MR2 dilancarkan April 2017) dan Dinamik, kerana menjadi kegilaan penggemar enjin dua lejang.

Dalam masa sama, ramai yang tertunggu model cafe racer yang kononnya dikata akan dilancarkan, namun setakat ini masih belum ada berita pengenalan rasminya. Bila tiba penghujung tahun, Modenas membuat kejutan dengan pelancaran tiga buah skuter yang dipasarkan dengan kerjasama pengeluar motosikal dari Taiwan iaitu Kymco (Karisma 125, Elegan 250 dan Downtown 250i)

Memang ramai yang menunjukkan reaksi kepada model ini, tetapi kami mendapati, langkah pengenalan hampir sama yang diambil oleh Modenas baru-baru ini lebih memberi impak – pelancaran tiga buah model yang dipasang di Malaysia, dengan kerjasama Bajaj Auto dari India iaitu Pulsar RS200, NS200 dan V15. Antara penyebabnya, selain Modenas itu sendiri dekat di hati warga tempatan adalah model yang menarik dan harga yang berpatutan.

Harga yang ditetapkan untuk RS200 adalah RM11,342 manakala NS200 pula adalah RM9,222, termasuk GST. Apa yang membuatkan harga dua model ini berbeza ada dinyatakan dalam video di bawah, tetapi cuba bayangkan pula jika anda sedang berkira-kira untuk membeli motosikal yang berada dalam lingkungan harga dan prestasi yang sama.

Jika di kalangan model motosikal kapcai empat lejang, sudah tentu, yang akan termasuk dalam senarai adalah Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR, yang kini juga dianggap sebagai ‘raja kapcai’. Sehinggakan, ramai pemilik motosikal berkuasa tinggi juga terpengaruh membeli dua model ini untuk dijadikan ‘mainan’.

Keseronokan memiliki model ini memang tidak dapat dinafikan, dengan limpahan barang modifikasi dalam pasaran, tetapi RS200 dan NS200 tetap mempunyai kelebihan, di mana ia adalah motosikal dengan bentuk sebenar, dengan tangki di atas, sekaligus dapat melatih penunggang cara tunggangan yang betul sebelum menaik taraf kepada motosikal berkuasa tinggi. Dan satu lagi, sudah tentu, ia datang terus dengan tambahan 50 cc lagi, sekaligus turut mengatasi Yamaha FZ150i.

Disebabkan saya tidak banyak pengalaman dengan motosikal buatan China dan pengalaman yang ada juga tidak begitu bagus, saya mahu meletakkannya di luar perbandingan dan terus pergi kepada jenama lain.

Untuk yang berkapasiti sama, dalam pasaran terdapat KTM Duke/ RC 200 yang dilancarkan beberapa tahun dulu dengan harga asas RM15,888, tetapi kini boleh didapati lebih murah (sekitar RM13,000) kerana model 250 cc pula diperkenalkan.

Pergi kepada motosikal berkapasiti 250 cc pula, kebanyakannya terletak dalam lingkungan harga RM20,000 seperti contoh Yamaha R25 (RM20,630), KTM RC250 (RM21,081), Honda CBR250R (RM21,940) dan Kawasaki Ninja 250 (sekitar RM23,000). Harga semua motosikal ini melebihi sekitar RM10,000 berbanding RS200.

Laporan tunggang uji ini hanya akan lebih tertumpu kepada RS200, dan jika anda mahu mengetahui tentang NS200, boleh pergi ke sini untuk membaca laporan yang ditulis oleh rakan sekerja, Hazril Hafiz. Kebanyakan ciri pada dua motosikal ini, termasuk enjinnya adalah sama, cuma yang berbeza adalah panel badan, tinggi tempat duduk dan pemegang (NS200 lebih tinggi) serta brek ABS single channel dan cakera hadapan yang lebih besar (pada NS200). RS200 juga mempunyai kelengkapan tambahan seperti tongkat tengah dan pengahadang enjin.

Model RS200 yang tiba di pasaran Malaysia ini adalah model tahun 2017, dan walaupun sebenarnya naik tarafnya tidaklah begitu banyak berbanding model sebelum ini, sekurang-kurangnya kita masih mendapat model terbaru yang sama seperti yang dipasarkan di negara asal pengeluar motosikal ini.

Gaya yang mahu dibawa oleh RS200 adalah sporty, dan ternyata ia berjaya melakukannya. Jika dilihat dari depan, motosikal ini mempunyai iras wajah seperti Yamaha R1, dengan lampu utama jenis projektor, yang satu daripadanya menyala untuk lampu biasa, manakala satu lagi adalah lampu tinggi. Turut disertakan adalah lampu siang dan lampu penunjuk arah jenis LED.

Sebetulnya, saya tidak bermasalah untuk menerima rekaan Bajaj ini kerana ia nampak cukup menarik, malah grafik pelekat yang digunakan juga berpadanan dan tidak melampau – hanya ada dua warna utama iaitu biru dan putih. Namun bila pergi ke belakang, ia kurang menepati cita rasa saya.

Keadaan nampak sedikit sibuk di belakang ini kerana rapat kepada bahagian tayar sahaja sudah ada dua penghadang lumpur, kemudiannya ditambah pula lagi dengan pemegang no plet yang labuh ke bawah. Kemudiannya, lampu belakang jenis LED RS200 ini juga mempunyai bentuk sedikit pelik, terasing daripada badan motosikal dan menjadi sebahagian daripada pemegang no plet tersebut. Walaupun begitu, saya rasa orang Malaysia cukup kreatif untuk memperbaiki perkara ini sendiri. Satu lagi perkara yang anda perlu perhati adalah rimya juga didatangkan dengan warna berlainan (untuk versi biru putih ini sahaja).

Walaupun dengan gaya sport fairing penuh ini, RS200 masih mengekalkan kedudukan yang selesa untuk penunggangnya. Bermakna anda tidak perlu menunduk untuk mencapai pemegang dan ia masih selesa digunakan walaupun untuk tunggangan harian. Ergonomik lain juga baik, bermakna anda tidak akan rasa kekok dengan kedudukan kaki ataupun tempat duduk.

Satu masalah yang sedikit menjengkelkan saya adalah cermin sisi motosikal ini tidak boleh dilipat. Dalam trafik yang sesak, perkara ini sedikit menyukarkan saya untuk menyelit antara kenderaan secara selamat. Ini memang adalah masalah biasa bagi cermin sisi yang melekat pada fairing, kerana ia tidak boleh dipusing mengikut pemegang, tetapi jika boleh dilipat, ia sepatutnya tidak memberi sebarang masalah.

RS200 datang ke pasaran Malaysia dengan membawa keistimewaan tersendiri pada enjinnya. Ia adalah unit satu silinder SOHC empat strok berkapasiti 199.5 cc dengan sistem penyejukan cecair, tetapi datang dengan teknologi Triple Spark Ignition, bermaksud ia mempunyai tiga palam pencucuh untuk satu silinder. Menurut Bajaj ia dapat memberi kelebihan dalam tiga aspek iaitu kuasa, penggunaan bahan api dan pembebasan karbon.

Daripada pengalaman memandu motosikal ini beberapa hari, saya berpuas hati dengan penyampaian kuasa sebanyak 24.5 PS dan 18.6 Nm tork yang ada pada RS200. Jumlah ini jika dibandingkan dengan motosikal 150 cc, adalah lebih sekitar 9 PS, tetapi bila dibandingkan dengan Honda CBR250R pula hanya kekurangan sekitar 4 PS.

Bukan setakat pada nombor, Bajaj juga berjaya menghasilkan sebuah motosikal yang cukup responsif. Bermaksud, apabila pendikit dipulas, anda dapat merasa terus tarikannya tanpa sebarang kelambatan, dan ia juga cukup lancar. Daripada aspek bunyi, agak sukar untuk dijelaskan, tetapi jika boleh, saya akan mengatakan ia ‘garing’ dan terus mengingatkan kepada model jenama KTM.

Karekter ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana Bajaj Auto sememangnya adalah salah satu pemegang saham terbesar dalam KTM dan turut terlibat dengan pembangunan motosikal berkapasiti rendah yang dijual menggunakan jenama KTM. Jadi, perkongsian teknologi itu sememangnya ada.

Bagi yang baru mahu berjinak-jinak ataupun menaik taraf daripada kapcai biasa, RS200 memang adalah sesuai kerana pengendaliannya cukup mudah. Klacnya ringan, gear juga boleh masuk dengan lancar dan ia adalah sebuah motosikal yang dirasakan ringan untuk mengubah arah. Berat keseluruhan yang dicatat oleh motosikal ini adalah 164 kg.

Memandangkan RS200 adalah lebih sporty berbanding NS200, Bajaj cuba melengkapkannya dengan ciri keselamatan yang berguna kepada penunggangnya, iaitu sistem brek ABS dan cakera hadapan lebih besar iaitu 300 mm (+20 mm berbanding NS200). Walaubagaimanapun, sistem ABS ini adalah sistem one channel, bermaksud hanya tayar hadapan sahaja yang mempunyai kemampuan anti-kunci apabila brek ditarik dengan kuat.

Ini adalah antara cara untuk memberikan sistem ABS pada harga yang lebih mampu milik, dan brek hadapan dianggap sebagai bahagian yang lebih memerlukan dalam memastikan penghentian yang lebih cekap. Secara individu, saya tetap merasakan ABS untuk tayar belakang juga penting kerana tunggangan harian lebih banyak menggunakan brek belakang.

Sejujurnya juga, semasa video di bawah dirakam, saya terlepas pandang perkara ini, dan beranggapan bahawa kedua-dua bahagian dilengkapi dengan ABS. Ini kerana cakera dengan gelung serta pengesan ABS terdapat pada kedua-dua rim depan dan belakang. Bukan setakat saya yang ‘terpedaya’ dengan tetapan ini, malah semasa RS200 baru dilancarkan di India juga ia menimbulkan banyak kontorversi dan debat, sehinggalah dijelaskan sendiri oleh Bajaj.

Jadi, dengan tetapan ABS untuk tayar hadapan sahaja, apakah kesannya? Dalam keadaan panik, apabila kedua-dua brek ditekan kuat, hanya brek hadapan sahaja yang tidak akan terkunci, tetapi brek belakang masih boleh terkunci dan membuatkan tayar menggelungsur (slide). Sistem ABS ini juga tidak boleh ditutup, bermakna, jika anda ingin membawa RS200 ke dalam trek, anda perlu menggunakannya dengan brek ABS, dan anda tidak boleh berseronok untuk membuat stoppie.

Pada bahagian meter RS200, segala informasi penting dipaparkan dengan jelas, dengan kadar rpm boleh dilihat pada meter jenis analog manakala pada bahagian digital pula terdapat kadar kelajuan, jarak perjalanan, odometer, jam dan tahap minyak. Pada hujung sebelah kiri pula terdapat lampu amaran lain dan terasing sedikit di sebelah atas, kanan adalah lampu penunjuk had rpm. Lampu ini akan menyala apabila tahap rpm sudah mencecah 10,000 tetapi kuasa enjin masih boleh dikerah sehingga maksimum sekitar 11,000 rpm.

Walaubagaimanapun, meter ini dirasakan boleh menjadi lebih lengkap sekiranya ada penunjuk kedudukan gear. Pada keadaan sekarang, ia tiada dan penunggang perlu mengagak sendiri kedudukan gear (kesemuanya ada enam) berdasarkan kuasa tarikan yang terhasil.

Setakat untuk perjalanan biasa dan kegunaan harian, saya berpendapat tetapan fork teleskopik di hadapan, monoshock dengan tabung gas di belakang dan tayar MRF (buatan India) pada motosikal ini memadai dan boleh memberikan padanan keselesaan dan prestasi yang meyakinkan. Cuma apabila mahu dikerah lebih agresif, suspensi belakang boleh dikatakan sedikit lembut dan yang boleh dilaras hanyalah preload.

Untuk aspek penggunaan bahan api pula, saya tidak sempat menghabiskan tangki penuh 13 liter yang disediakan untuk mengetahui jarak keseluruhan yang boleh dicapai oleh motosikal ini. Tetapi, apa yang boleh dikatakan, selepas mengisi penuh tangkinya, selepas sekitar 140 km, barulah ia turun satu takuk dan terasa begitu lama untuk turun lagi. Walaubagaimanapun, ini sememangnya biasa, di mana untuk turun takuk pertama mengambil jarak yang lebih jauh, dan selepas itu, barulah meter tersebut akan turun lebih cepat.

Jadi akhirnya, di manakah kedudukan motosikal ini dan kesannya kepada pengguna? Mendengar reaksi mereka yang ‘patriotik’, kononnya tiada apa yang nak dibanggakan kerana ini adalah produk dari India. Tetapi sebenarnya ia adalah satu keputusan perniagaan yang memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak iaitu Modenas dan pengguna sendiri (kerana pakej serta harganya cukup menarik). Lagipun, warga tempatan sudah tentu juga terlibat dalam pemasangan motosikal ini yang dilakukan di Gurun, Kedah.

Jika ditanya sama ada ia mampu memberi saingan kepada motosikal 250 cc, saya akan mengatakan ya. Ada juga motosikal 250 cc yang pernah saya uji sebelum ini mempunyai pecutan yang sedikit lambat, di mana apabila pendikit dipulas, anda seperti tertunggu-tunggu untuk merasakan tarikannya. Tapi bagi RS200, pecutannya memang terasa.

Cuma harapnya, sekiranya penerimaan pengguna agak baik untuk motosikal Pulsar ini, Modenas juga dapat memberi sokongan khidmat lepas jualan yang baik, supaya kepercayaan pengguna terhadap Modenas terus meningkat. Kepada pengguna pula, daripada menunggu model yang tidak diketahui bila ketibaannya seperti cafe racer daripada Modenas sendiri, Yamaha MSlaz ataupun Honda CBR250RR, lebih baiklah anda mempertimbangkan Pulsar yang sudah tiba ini dengan model-model lain yang ada di pasaran.


GALERI: Modenas Pulsar RS200