Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan tidak akan bertolak ansur kepada pengguna yang melakukan kesalahan seperti langgar lampu merah, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan dan tidak memakai tali pinggang keledar.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, pada musim perayaan ini tindakan maksimum sebanyak RM300 akan dikenakan jika dikesan melakukan kesalahan tersebut manakala RM150 dikenakan pada luar musim perayaan, laporan Bernama.
“Kita telah memberi amaran awal dengan meletakkan tanda amaran awal bagi memberikan kesedaran kepada pengguna supaya mereka lebih berhati-hati khususnya di kawasan yang kerap berlaku kemalangan.. jika mereka masih gagal mematuhi had laju yang ditetapkan mereka yang sengaja mencari masalah,”katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut berkata sebanyak 231 lokasi panas telah dikenal pasti di seluruh negara sepanjang musim perayaan ini. Daripada jumlah itu, negeri Johor merekodkan kawasan panas paling tinggi iaitu 36 lokasi panas dan Batu Pahat mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi.
Manakala di Terengganu sebanyak 21 lokasi berisiko telah dikenal pasti antaranya di KM6- KM11 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kuala Terengganu), KM98-KM114 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Besut) dan KM247-KM260 LPT 2 (Kemaman).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.