Trak pikap jenama Peugeot? Mengapa tidak. Apa pula nama modelnya? Peugeot Pick Up (ya, ini memang nama sebenar) menjadi model yang akan membawa pengeluar kenderaan asal Perancis itu kembali ke dalam pasaran trak pikap di rantau Afrika – ia juga sebagai satu lagi langkah untuk meluaskan capaian jenama itu diperingkat global.
Tetapi, kenapa ia tidak kelihatan mewarisi arah tuju reka bentuk yang seiras dengan model-model Peugeot yang lain? Ini kerana ia adalah sebuah model rebadge dari trak pikap Dongfeng dari China.
Dari satu sisi, Peugeot Pick Up ini menjadi kesinambungan kepada model-model seperti Peugeot 403 Camionnette-Bâchée pada 1956, Peugeot 404 Camionnette-Bâchée pada tahun 1967, dan kemudiannya Peugeot 504 Pick-up yang kekal dikeluarkan sehingga tahun 2005 untuk pasaran Nigeria.
Di sini, Peugeot lebih dikenali kerena sentuhan reka bentuknya yang menarik berbanding sebagai pengeluar kenderaan tahan lasak. Bagaimanapun, Peugeot Pick Up ini disifatkan mampu memenuhi permintaan dipasaran yang disasarkan itu – tahan lasak dan tahan lama, dengan sistem pacuan empat roda.
“Ia disasarkan kepada pelanggan yang mahukan sebuah jentera untuk menjalankan tugas, tentunya yang boleh diharap dalam setiap keadaan, mudah diselenggara dan praktikal untuk kegunaan apa pun,” jelas sebuah kenyataan dari syarikat itu.
Trak pikap ini hadir dalam reka bentuk yang tradisional seperti biasa yang dilihat pada trak-trak pikap yang lain. Ia mempunyai kelegaan tanah dari 210 mm hingga 215 mm, dengan ruang truck bed di belakang berdimensi 1.40 meter panjang dan 1.39 meter lebar. Jenama Peugeot juga jelas kelihatan.
Ia dikuasakan oleh enjin 2.5 liter turbodiesel commonrail yang menghasilkan 115 bhp dan 280 Nm tork, serta dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan manual. Versi 4×4 dan 4×2 turut ditawarkan.
Akan mula dijual pada September nanti, trak ini turut dilengkapi ciri ABS dan EBD, sensor parkir dan dua beg udara. Versi 4×4 akan dipasang dengan sports bar, palang pada bumbung dan pemijak untuk penampilan yang sedikit berbeza.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.