Honda masih lagi berusaha untuk memastikan semua kenderaan keluarannya di Malaysia yang terjejas dengan isu inflator beg udara Takata dapat dipanggil semula dan komponen yang bermasalah berkenaan dapat ditukar dengan unit yang baharu bagi memastikan keselamatan penggunanya.

Sehingga 29 Jun 2017, Honda Malaysia telah melengkapkan penukaran terhadap inflator beg udara bahagian pemandu dengan kadar 80.2%, manakala untuk inflator bahagian penumpang hadapan pula telah lengkap ditukar pada kadar 55.9% dari jumlah keseluruhan kenderaan yang terjejas.

Untuk bulan Julai ini, usaha berkenaan bakal dipertingkatkan dengan memperkenalkan lebih banyak hub penukaran bergerak di pusat-pusat membeli-belah seluruh negara serta pelbagai roadshow jualan bergerak di pusat-pusat membeli-belah terpilih pada setiap hujung minggu (rujuk jadual di bawah). Hub-hub tambahan ini disediakan bagi mempercepatkan lagi usaha untuk melengkapkan panggilan semula ini, selain menerusi pusat-pusat servis bertauliah Honda, serta stesen-stesen Petronas terpilih di seluruh negara.


Klik untuk besarkan

Bagi mereka yang mahu menukar inflator beg udara tersebut di pusat servis Honda bertauliah, anda terlebih dahulu perlu membuat temu janji bagi mengelakkan kelewatan berlaku untuk proses penukaran. Manakala untuk mereka memilih untuk menukarnya di hab-hab bergerak pusat membeli-belah dan stesen-stesen Petronas terpilih, tiada sebarang temu janji perlu dilakukan (Untuk pemilik Civic Type-R FD2R, anda perlu membuat temu janji di pusat servis).

Setakat Jun 2017, stok alat ganti untuk inflator beg udara Takata bahagian pemandu dan juga bahagian penumpang hadapan berada pada tahap 100%. Honda Malaysia juga kini komited untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi menambah baik nisbah lengkap untuk penukaran inflator antara bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

Jika anda ragu-ragu sama ada kenderaan Honda anda terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini, anda boleh lawati laman web khas yang disediakan DI SINI, dan masukkkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) atau dikenali juga sebagai nombor casis kereta anda DI LAMAN TERSEBUT. Anda juga boleh memeriksa status kereta anda atau untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan apa-apa juga tentang isu ini dengan menghubungi talian 1800-88-2020 atau kunjungi mana-mana pengedar sah Honda.