Replika Mercedes-AMG G63 6×6 dari Suzuki Jimny oleh pelajar Nihon Automotive Technology School

Sekali pandang, jentera 6×6 ini memang sebuah Mercedes-AMG G63 6×6 seperti yang dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor (berharga lebih dari RM2 juta), tetapi mengapa saiznya kelihatan jauh lebih kecil? Sebenarnya, ia bukan G63 asli, tetapi sebuah replika yang dihasilkan dari SUV 4WD kecil Suzuki Jimny JA11 klasik oleh pelajar-pelajar Nihon Automotive Technology School (NATS), Jepun.

Jika anda biasa membaca berkenaan laporan-laporan dari Tokyo Auto Salon (TAS), nama NATS tentunya tidak asing kerana kolej berkenaan merupakan peserta tetap yang menghantar hasil karya mereka ke TAS setiap tahun.

Berbalik pada trak replika ini, pelajar-pelajar NATS telah menggabungkan dua buah Suzuki Jimny untuk menghasilkan sebuah Mercedes-AMG G63 versi enam roda. Gabungan tersebut dilakukan pada bahagian belakang, di mana ia telah dipotong kemudian disambungkan untuk menjadi lebih panjang, serta gandar belakang yang lengkap dengan sistem brek turut diletakkan dibelakang unit sedia ada.

Replika Mercedes-AMG G63 6×6 dari Suzuki Jimny oleh pelajar Nihon Automotive Technology School

Walau bagaimanapun, gandar tambahan berkenaan tidak disambungkan dengan sistem transmisi, bermaksud trak ini sebenarnya masih lagi sebuah jentera 4×4, cuma diberikan dengan dua lagi tayar belakang menjadikan enam tayar secara keseluruhan. Jimny ini juga masih dijana oleh enjin asalnya (tidak disebutkan enjin dari varian mana, tetapi memandangkan ia versi JDM, berkemungkinan dijana enjin tiga silinder 657cc).

Bagi memberikan rupa yang sangat seiras dengan G63, pelajar-pelajar berkenaan memadankan gril hadapan, lampu hadapan, serta lampu belakang asli dari Mercedes. Jimny ini juga menerima bampar hadapan asli G63, tetapi terpaksa dikecilkan bagi membolehkan ia sesuai dengan saiznya.

Mercedes-AMG G63 asli menampilkan kayu asli pada lantai ruang kargo belakang. Replika ini sebaliknya tidak menggunakan bahan dari kayu, tetapi lantai pada bahagian berkenaan telah diberikan semburan air brush dengan corak menyerupai elemen kayu sebenar. Ia turut menerima roll bar unik bagi menyerlahkan bahagian tersebut. Pintu tailgate Jimny ini juga direka semula agar ia kelihatan dan berfungsi sama seperti G63 asli.

Menurut ketua guru Kursus Customize di NATS, Yoshihisha Takayama, kolejnya mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun. Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun).

Projek replika G63 6×6 ini merupakan salah satu projek pelajar-pelajar dari kursus Customize yang telahpun dibawa ke TAS. Seperti juga projek-projek lain, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required