Setelah dijanjikan pendedahan yang akan dilakukan sebelum ini, Honda Accord generasi kesepuluh akhirnya diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global. Model 2018 ini secara keseluruhannya menampilkan rekaan baharu sepenuhnya, serta diperkenalkan dengan barisan unit janakuasa baharu serta dilengkapi pelbagai teknologi terkini.

Rekaan luaran Accord generasi baharu berkenaan menerapkan asas yang hampir serupa dengan adiknya iaitu Civic – dilihat seperti Civic dengan skala yang lebih besar. Mukanya diberikan lampu LED penuh hadapan dengan rekaan tirus, dan dilihat seperti bersatu dengan gril krom solid wing baharu Honda.

Ia juga menerima bampar hadapan dengan gril bawah yang nampak seperti bersambung dengan gril utama, dan turut diberikan lampu kabus LED.
Bahagian sisi, Accord diberikan bentuk badan dengan rekaan coupe empat pintu sama seperti Civic. Selain dari garis bumbung yang direka tirus dan landai, quarter window pada tingkap pintu belakang telah dialihkan ke bahagian badan.

Namun untuk bahagian belakang, Accord menampilkan rupa yang berbeza dari Civic dengan menampilkan rekaan lampu yang lebih tirus. Apa yang menarik, lampu tersebut turut bersambung pada penutup but tetapi dengan dua bahagian berasingan – dihubungkan oleh lampu utama pada bahagian badan. Model baharu ini turut diberikan dua tip ekzos.

Menurut Honda, keberkesanan aerodinamik pada model baharu ini telah dipertingkatkan sebanyak 3% berbanding model sedia ada, dan ia adalah Accord dengan kesan aerodinamik terbaik setakat ini.

Berbanding Civic generasi kesepuluh yang sememangnya membesar berbanding model generasi kesembilan, Accord baharu ini mempunyai saiz keseluruhan lebih kurang sama dengan model sedia ada. Malah, Accord 2018 ini sebenarnya lebih pendek 10 mm (4,880 mm) dan 15 mm lebih rendah dari model sebelumnya, tetapi ia 10 mm lebih lebar (1,860 mm) dan jarak rodanya juga 55 mm lebih panjang (2,830 mm).

Walaupun dengan saiz lebih kurang sama, perubahan besar pada jarak roda menandakan Honda telah mengatur semula permainan ruang untuk model baharu ini. Kini, tempat duduk belakang dapat ditempatkan lebih jauh kebelakang, memberikan 50 mm lebih ruang kelegaan lutut. Rekaan tempat duduk berkenaan juga dapat menambah baik ruang kelegaan bahu dan juga kepala, manakala untuk ruang but pula ia kini 28 liter lebih besar (473 liter).

Ruang dalaman yang telah membesar ini turut diberikan komponen-komponen yang diperbuat dari material yang lebih bermutu tinggi bagi memberikan suasana yang lebih premium. Sudut pandangan hadapan juga kini lebih luas dengan bahagian bawah cermin kini lebih rendah manakala tiang-A kini 20% lebih kurus dan ia ‘ditolak’ lebih kebelakang.

Perehat tangan kini direka lebih besar bersama balutan yang lebih tebal. Tempat duduk juga diberikan sokongan pada bahu yang lebih tinggi, bersama balutan alas yang lebih tepat dengan kekenyalan bervariasi – mempertingkatkan keselesaan serta sokongan badan. Tempat duduk pemandu pula ditawarkan dengan larasan berkuasa 12-hala, manakala kesemua tempat duduk diberikan liang serta sistem pemanas.

Pemandu kini diberikan paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin tujuh-inci baharu. Manakala untuk sistem infotaimen Display Audio, skrin sesentuh utama pada konsol tengah diberikan dalam saiz lapan-inci – kini turut diberikan tombol kawalan sebenar untuk suara dan carian siaran setelah kawalan maya pada skrin sebelum ini (pada Jazz, Civic, CR-V dan sebagainya) telah dikritik oleh pengguna. Sistem baharu ini turut menampilkan paparan seperti telefon pintar dengan ikon-ikon shortcut yang boleh diubah susunannya.

Accord generasi baharu ini turut menampilkan sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar menggunakan Near Field Communication (NFC), serta sistem lain seperti WiFi 4G LTE, kemaskini sistem atas talian, paparan head-up enam-inci, serta sepuluh buah pembesar suara berkuasa 450 watt.

Sistem generasi seterusnya telematik HondaLink turut dipadankan yang merangkumi bantuan kecemasan, kunci dan penghidup enjin kawalan jarak jauh, pengesan kedudukan sekiranya kereta dicuri, diagnosis jarak jauh, geofencing dan pengesan kelajuan.

Kesemua model yang dipasarkan di Amerika Syarikat akan diberikan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing secara standard. Pakej tersebut merangkumi sistem yang sama pada Honda CR-V generasi baharu, merangkumi sistem Cruise Control adaptif, sistem mengekor kelajuan rendah (Low-Speed Follow atau LSF), sistem brek menghindari perlanggaran (Collision Mitigation Braking System atau CMBS), bantuan kekal lorong (Lane Keeping Assist System atau LKAS), sistem amaran pertukaran lorong (Road Depature Mitigation System atau RDM) dan juga amaran keluar lorong (Lane Departure Warning atau LDW).

Sistem Pemantau Titik Buta dan Pemantau Lintasan Trafik Belakang turut diberikan bersama Pemantau Kesedaran Pemandu. Sebagai penambahan pada sistem keselamatan, Accord kini diberikan beg udara pada bahagian lutut untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Tiada lagi model 2.0 liter NA pada Accord baharu ini di mana varian asas diberikan enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 192 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 260 Nm bermula 1,500 hingga 5,000 rpm – sama seperti enjin yang menjana CR-V. Ia dipadankan dengan pilihan kotak gear CVT automatik atau manual enam-kelajuan.

Enjin 2.4 liter NA dan 3.5 liter V6 NA juga tiada lagi pada barisan penjana baharu Accord. Ia digantikan dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo yang diambil dari Honda Civic Type-R, tetapi diberikan talaan menghasilkan kuasa 252 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 370 Nm bermula 1,500 hingga 4,000 rpm (306 hp/400 Nm pada Civic-R). Untuk versi automatik ia akan diberikan kotak gear 10-kelajuan baharu, manakala versi manual diberikan kotak gear enam-kelajuan.

Pilihan unit janakuasa hibrid turut ditawarkan – menggunakan enjin petrol baharu 2.0 liter kitaran-Atkinson yang didakwa mempunyai thermal efficiency lebih dari 40%. Enjin tersebut digabungkan bersama dua motor elektrik, menerima suapan tenaga dari bateri kompak yang diletakkan pada lantai belakang (lantai but pada model sebelum ini), memberikan ruang kargo yang lebih besar serta fungsi lipatan dengan nisbah 60:40 pada tempat duduk belakang.

Kerangka badan Accord 2018 ini dibina lebih tegar dari sebelum ini bagi memperbaiki pengendalian dan juga serapan bunyi. Ia dibina menggunakan logam berketegaran ultra-tinggi dengan peratusan yang lebih banyak (29%), membolehkan beratnya dikurangkan sekitar 50 hingga 80 kg. Pusat graviti sedan ini juga kini 10 mm lebih rendah.

Ia masih lagi menggunakan sistem Topang McPherson untuk suspensi hadapan dipasangkan pada kerangka aluminium sepenuhnya, manakala sistem
multi-link pada bahagian belakang dipadankan pada subframe yang lebih tegar. Sistem stereng berkuasa elektrik sedan ini pula kini menerima rak dengan dua-pinan bervariasi.

Kesemua Accord kini diberikan dua mod pemanduan iaitu Normal dan Sport, manakala sistem penyerap hentak adptif pula ditawarkan sebagai ciri opsyen.

Bagi memperhalusi kualiti kereta ini lagi, ia turut diberikan penutup sepenuhnya pada bahagian bawah badan, penebat bunyi dipadankan pada fender hadapan dan belakang serta ruang enjin, teknologi resonator pada roda aloi, karpet penyerap bunyi, cermin depan akustik, cermin sisi akustik (opsyen), dan juga sistem Kawalan Bunyi Aktif dengan tiga mikrofon.