TUNGGANG UJI: Vespa GTS Super 300 versi 2017 pemasangan Vietnam – beri prestasi dan nilai tambah

TUNGGANG UJI: Vespa GTS Super 300 versi 2017 pemasangan Vietnam – beri prestasi dan nilai tambah

Siri model Vespa GTS, menurut Pengerusi & Pengarah Piaggio Vietnam, Gianluca Fiume merupakan “queen of the queen” bagi barisan produk jenama Vespa. Ia berada di belakang model kemuncak utama yang pernah dihasilkan Vespa 946. Untuk itu, sejak jenama Vespa menemui peminatnya bermula tahun 1946 dahulu, GTS adalah sebuah model yang selalu ingin dibanggakan pengeluarnya.

Sedikit maklumat tentang Kumpulan Piaggio. Jika anda belum tahu, kumpulan Piaggio kini menjadi penaung kepada beberapa lagi jenama pengeluar motosikal berasal dari Itali. Selain jenama Piaggio sendiri, ia turut menaungi jenama-jenama seperti Vespa, Aprilia, Moto Guzzi, Gilera, Derbi dan Scarabeo. Semua jenama ini berada di bawah satu bumbung, dengan tradisi dan kebanggaan pengeluaran jentera dua roda dari Itali.

Walaupun berasal dari Eropah, kumpulan Piaggio kini menghalakan perhatiannya ke rantau Asia, sebuah pasaran yang menurut Gianluca masih muda dan sangat bertenaga. Sebab itulah, sejak tahun 2007, syarikat ini memulakan kerja-kerja untuk membuka kilang pemasangan di pinggir Hanoi, Vietnam.

Setakat tahun 2016, sebanyak 740,000 unit motosikal pelbagai model syarikat ini sudah dikeluarkan dari Vietnam untuk pasaran Asia Pasifik di 15 buah negara. Ini termasuk Malaysia, Australia, New Zealand, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan banyak lagi. Selebihnya adalah sejarah.

TUNGGANG UJI: Vespa GTS Super 300 versi 2017 pemasangan Vietnam – beri prestasi dan nilai tambah

“Kami memang tidak menghasilkan motosikal dengan kos yang rendah, tetapi semua produk yang ada sehingga hari ini mempunyai nilai dan keunikan yang tersendiri, yang mampu membuatkannya bertahan,” ujar Gianluca ketika taklimat wakil media serantau yang berlangsung di Hanoi, Vietnam minggu lalu.

Dan inilah tradisi Vespa yang ingin diteruskan; ia satu-satunya jenama pengeluar skuter yang masih menggunakan kerangka dan badan motosikal yang bersepadu, diperbuat dari logam sepenuhnya sehingga kini. Pendekatan ini sama sekali berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh pengeluar skuter lain.

Misalnya dari Jepun – mereka menggunakan kerangka logam, dan disudahi kemudiannya dengan bahagian badan yang diperbuat daripada plastik. Ini juga menjadikannya berada pada kedudukan tersendiri yang lebih premium berbanding pesaing-pesaing lain.

Di dalam perkembangan terkini Piaggio di Vietnam, syarikat itu memperkenalkan barisan keluarga siri skuter automatik GTS yang terbaru – pengeluaran model ini yang hanya berpusat di Itali sebelum ini telah dipindahkan ke Asia buat pertama kalinya.

TUNGGANG UJI: Vespa GTS Super 300 versi 2017 pemasangan Vietnam – beri prestasi dan nilai tambah

Tidak hanya itu; model dengan nama penuh Vespa GTS Super itu juga menerima enjin serba baru yang dibangunkan khusus di Vietnam dengan mengambil kira penggunaan dan maklum balas dari pengguna di pasaran Asia. Ia dikenali sebagai enjin i-Get sejukan cecair, dan hadir dalam dua kapasiti berbeza – 125 cc dan 150 cc.

Susur galur model Vespa GTS bermula sejak pengenalan model Vespa GT pada tahun 2003. Ia kemudian diperkenalkan dalam bentuk Vespa GTS pada tahun 2005 dan berkembang kepada pengenalan Vespa GTS Super pada 2008. Kerangka dan badan serta dimensi model GTS yang ada kini mewarisi binaan dan reka bentuk umum yang sama sejak itu.

Namun, Vespa GTS Super 2017 ini tak kalah dari penambah baikan yang meluas; jangan terpedaya dengan penampilan yang “merendah diri” yang ditampilkannya. Walaupun estetika rekaan yang hampir sama seperti model terdahulu – kecuali beberapa perubahan misalnya lampu belakang yang diberi sentuhan baru – Vespa GTS ini sebenarnya sarat dengan kelengkapan teknologi terkini yang meletakkannya di hadapan.

Pertama, seperti yang dinyatakan tadi, untuk pasaran Vietnam, ia turut datang dengan dua pilihan enjin i-Get serba baru. Menggunakan kaedah penyejukan cecair, GTS Super 125 (124.5 cc) menghasilkan kuasa sebanyak 12.2 hp pada 8,250 rpm, manakala tork pula sebanyak 11.5 Nm pada 6,000 rpm.

Varian ini direka dan ditawarkan untuk memberikan penjimatan minyak yang terbaik, dan disasarkan lebih kepada penggunaan dalam bandar. Ia disifatkan mampu memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 42 km per liter. Sementara itu, bagi enjin GTS 150 pula (155.1 cc), ia menjana sebanyak 14.6 hp pada 8,250 rpm dengan tork sebanyak 13.5 Nm pada 6,750 rpm.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan enjin i-Get ini? Secara ringkas, ia adalah teknologi yang dibangunkan dengan matlamat penjimatan minyak. Untuk mencapai perkara itu, enjin ini dilengkapi dengan ciri Start/Stop; kurang lebih berfungsi sama seperti ciri berkenaan pada kereta.

Dalam keadaan ia diaktifkan, ciri ini akan mengenal pasti pergerakan skuter ini, dan sekiranya kelajuan semakin berkurang dan ia kemudian berhenti – seperti pada situasi di lampu isyarat – sistem secara automatik akan mematikan enjin. Untuk menghidupkannya semula, penunggang hanya perlu memulas sedikit sahaja pendikit.

Vespa GTS menggunakan sistem suntikan minyak elektronik, dan dipadankan dengan transmisi CVT yang dilengkapi dengan pelayan tork. Dan, ciri Start/Stop itu hanya ada pada dua varian dengan enjin i-Get baru itu sahaja; terdapat satu lagi varian yang lebih tinggi yang turut ditawarkan untuk model Vespa GTS ini.

Yang dimaksudkan ialah Vespa GTS Super 300, hadir dengan enjin Quasar 278.3 cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 21.2 hp pada 7,750 rpm serta tork pada kadar 22 Nm pada 5,000 rpm. Berbeza dengan enjin baru i-Get yang dibangunkan dan dipasang di Vietnam, enjin Quasar ini dibawa masuk dari Itali – ternyata ini adalah pilihan yang mengutamakan prestasi tunggangan dan lebih kuasa.

Vespa GTS 2017 juga menawarkan spesifikasi ciri-ciri keselamatan yang terbaik. Sebagai contoh, semua tiga varian yang dikeluarkan ini dilengkapi dengan sistem ABS dua saluran (untuk brek depan dan juga belakang). Selain itu, varian GTS Super 300 pula turut dilengkapi dengan ciri Anti Slip Regulation (ASR), yang dalam bahasa mudah bertindak selaku kawalan cengkaman (traction control).

Apa yang dilakukan oleh ASR ini, sekiranya motosikal ditunggang dalam situasi yang dirasakan bahawa serta sistem mengenal pasti roda belakangnya berkemungkinan menggelungsur kerana cengkaman pada permukaan jalan tidak mencukupi, ia dengan secara automatik akan mengehadkan kuasa yang disampaikan dari enjin. Dalam keadaan ini, rodanya tiada peluang langsung untuk tergelincir, kerana kuasa yang disalurkan adalah terhad.

Selain itu, ciri yang dipanggil Tilt Sensor juga banyak membantu, terutama dalam situasi kemalangan atau dalam keadaan motosikal ini hampir tumbang. Sekiranya kedudukannya condong kira-kira 70 darjah (bayangkan situasi motosikal sedang tumbang dan merapat pada permukaan jalan), ciri ini akan mematikan enjin secara automatik.

Ini bertujuan untuk mengelak kecederaan teruk kepada penunggang sekiranya terhempap oleh motosikal dalam keadaan enjin dan roda belakangnya masih bergerak. Selain itu, ini juga boleh mengelakkan risiko motosikal daripada terpelanting lebih jauh dalam situasi cemas seperti itu (disebabkan roda belakang masih lagi menerima penyaluran kuasa dari transmisi automatiknya).

Kami juga sempat menunggang uji semua varian yang disediakan ini di litar ujian Piaggio dalam kawasan kilang terbabit. Walaupun hanya dalam tempoh singkat, kira-kira empat pusingan litar yang berjarak 1.6 km bagi setiap model, pengalaman itu tetap berhasil memberikan gambaran terhadap prestasi dan kemantapan kendalian yang ditawarkan oleh Vespa GTS ini.

Yang mana satu paling mengujakan? Dengan pilihan enjin berbeza, ketiga-tiganya memberikan maklum balas tunggangan yang berbeza. Maklum balas GTS 125 lebih “berat” dirasakan (kerana saiz badan yang sama tetapi dengan kapasiti enjin yang paling rendah).

Respon pendikit juga sangat linear, sementara dengan pulasan sampai habis, penyampaian kuasanya juga sangat perlahan. Ini tidaklah menghairankan; ia ditala untuk memenuhi keperluan tunggangan dalam kota sahaja, dengan penjimatan minyak menjadi keutamaan.

Beralih kepada GTS 150, ia memberikan tunggangan yang lebih menyenangkan. Respon pendikitnya lebih cepat menyalurkan kuasa, dan boleh ditarik sedikit lebih “panjang” berbanding versi 125. Ini menjadikannya lebih seronok ditunggang, dengan kuasa yang memadai untuk menjadi sebuak skuter untuk kegunaan pelbagai dan bagi perjalanan jarak sederhana.

Paling mengujakan tentulah varian GTS 300. Ini sebuah jentera yang jauh berbeza – dari segi tunggangan – berbanding dua “adik”nya dengan enjin yang lebih kecil itu. Kuasanya ada waktu dirasakan terlalu berlebihan untuk menggerakkan skuter dengan saiz itu.

Namun, lebih kuasa bermaksud tunggangan juga lebih menyeronokkan. Tentu saja jika kita pandai mengendali dan mengawal maklum balas pendikitnya. Menunggang secara santai, varian ini terasa begitu stabil dan kukuh. Tingkatkan kelajuan, ia seakan-akan mahu menguji tahap kemampuan penunggangnya.

GTS 300 paling serasi tentunya untuk perjalanan yang lebih jauh. Kuasa yang ada padanya memungkinkan skuter ini untuk menjelajah atau touring, dengan satu kelebihan – kedudukan tungangan dan pelapik tempat duduknya dapat memberikan keselesaan yang diperlukan.

Dengan pengenalan versi terbaru GTS ini, Piaggio memberikan pilihan yang agak luas kepada peminatnya, hanya melalui satu model ini sahaja. Jika inginkan prestasi dan spesifikasi yang jarang-jarang dilihat pada skuter biasa, GTS 300 tanpa ragu-ragu mempunyai semua itu dan lebih lagi.

GTS 150 pula mengisi kekosongan dan jurang bagi mereka yang memerlukan sebuah skuter yang mengimbangi antara prestasi dan nilai serta wang yang diperlukan untuk itu. Sementara, GTS 125 dirasakan mempunyai peranan yang agak terhad – ia bagaimanapun mempunyai kelebihan dari segi penjimatan dan tentulah harganya lebih mesra poket.

Jadi, yang mana satu akan tiba di Malaysia nanti? Kemungkinan besar ialah model GTS 300 dan juga GTS 150. Harga bagi GTS 300 juga dijangka akan lebih murah berbanding model yang sebelumnya dipasarkan di Malaysia. Jika dahulu GTS 300 diimport terus dari Itali dan dijual pada harga RM36,000, versi terbaru ini akan menikmati potongan cukai di bawah AFTA. Bagaimanapun, belum ada sebarang pengesahan tentang harganya, ataupun bila ia akan mula dipasarkan di sini.

Cuma, ketika berbual dengan pihak pengurusan Piaggio di Vietnam tempoh hari, kilang pemasangan di sana akan memenuhi dahulu permintaan pasaran Vietnam (model ini dilancarkan pada 21 Julai) dan kemudiannya akan diperkenalkan pula untuk pasaran Thailand selepas itu sebelum Malaysia. Jika kita bernasib baik, model terbaru GTS akan tiba paling awal di sini pada September nanti.

Vespa GTS Super 300 di Vietnam


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required