Hyundai i30 N First Edition – versi keluaran terhad hanya di Jerman, habis dijual dalam masa dua hari

Hyundai i30 N First Edition – versi keluaran terhad hanya di Jerman, habis dijual dalam masa dua hari

Hot-hatch berprestasi tinggi sebenar dari sayap perlumbaan Hyundai N – i30 N – baharu sahaja didedahkan sepenuhnya bulan lalu, tetapi belum lagi diumumkan untuk masuk kepasaran. Namun, Hyundai telah menghasilkan versi edisi terhad sempena kemunculannya digelar First Edition, yang hanya dihasilkan 100 unit dan dijual di pasaran Jerman sahaja.

Apa yang mengejutkan, edisi istimewa tersebut habis dijual dalam masa dua hari sahaja. Tidak seperti model-model Hyundai lain yang lazimnya akan dijual di Korea dahulu, i30 N First Edition ini diperkenalkan lebih awal di Jerman kerana pembinaan, ujian dan talaan jentera berprestasi tinggi yang dijangka bakal memberikan saingan sengit kepada Volkswagen Golf GTI ini kebanyakkannya dilakukan di litar Nürburgring.

Tambahan pula, abjad ‘N’ pada nama Hyundai N berkenaan sememangnya bermaksud Nürburgring (dan juga Namyang iaitu pusat R&D Hyundai di Korea) dan Hyundai Motor Europe Technical Center GmbH pula terletak di Rüsselsheim, Jerman. Secara tidak langsung juga ia telah membayangkan model berprestasi tinggi baharu ini diberikan ‘perisa’ Eropah atau lebih spesifik Jerman pada karekteristiknya.

Hyundai i30 N First Edition – versi keluaran terhad hanya di Jerman, habis dijual dalam masa dua hari

100 orang pelanggan yang berjaya mendapatkan kereta berkenaan dengan cara ‘siapa cepat dia dapat’ tersebut perlu membayar deposit sebanyak €1,000 menerusi PayPal dan sebagai pulangannya, memreka bakal menikmati makan malam di Nürburgring dan akan menerima “fan package”.

Mereka juga bakal dijemput untuk menghadiri bengkel produk bersama ketua pereka i30 N serta bakal menerima latihan memandu di litar dari pemandu profesional. Sesi ini akan dilakukan pada Oktober hadapan apabila pelanggan menerima kereta mereka, yang turut akan diberikan nombor produksi unik tersendiri.

Model berprestasi tinggi pertama dari Hyundai N ini hadir dengan enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder T-GDI berkuasa 250 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 353 Nm bermula 1,450 hingga 4,000 dalam keadaan standard, manakala model yang diberikan peningkatan Performance Package mendapat lonjakan kuasa 275 PS dengan jumlah tork yang sama.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual memacu roda hadapan, membolehkan versi standard mencatat 6.4 saat dalam pecutan 0-100 km/j, manakala versi 275 PS pula mampu mencatatkan 6.1 saat dalam jarak pecutan yang sama. Walau bagaimanapun, kedua-dua versi ini mempunyai kelajuan maksimum yang sama iaitu 250 km/j.

Selain itu, ia turut diberikan sistem rev-match/auto blip, dan juga penyerap hentak kawalan elektronik. Manakala untuk Performance Package, ia turut diberikan dengan LSD kawalan elektronik (E-LSD), sistem injap pada ekzos bervariasi yang mampu merubah bunyi dari mod biasa kepada liar setelah mod pemanduan N diaktifkan serta rim aloi 19-inci dengan tayar Pirelli P-Zero.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required