Sudah lama rasanya motosikal jenis skuter tidak menjadi perhatian ramai di negara kita. Tetapi untuk model Yamaha NVX 155 (juga dikenali sebagai Aerox 155 di beberapa negara lain) ini, sejak ia membuat penampilan pertama di Malaysia sewaktu perlumbaan MotoGP di Sepang, pertanyaan tentang bila ia akan dilancarkan tidak putus-putus diajukan.

Mungkin kerana ia bukan sekadar sebuah skuter biasa, tetapi dibangunkan untuk mengetengahkan ciri sports dan memuaskan penunggang (bagi skuter berkapasiti kecil). Apabila muncul sahaja perkataan prestasi, ramailah penggemar motosikal di negara kita yang teruja.

11 Julai lalu, ia akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia dan kini, beberapa minggu selepas itu, saya menjadi antara media yang terawal untuk merasakan sendiri bagaimana prestasi motosikal ini melalui unit tunggang uji yang dipinjamkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd selama beberapa hari.

Selepas beberapa hari bersamanya, saya memang tidak dapat menafikan ini adalah antara motosikal paling mendapat sambutan ramai yang pernah saya bawa. Ke mana sahaja saya pergi, pasti ada mata yang akan melirik. Apabila berhenti pula, terutamanya di stesen minyak, beberapa kali saya ditegur oleh mereka yang cukup berminat. Sehinggakan apabila tiba di kedai makan, belum sempat pun saya turun daripada motosikal, sudah ada yang menghampiri bertanya pelbagai soalan. Kalau saya bawa Ducati pun keadaannya tidak seperti ini.

Antara soalan yang ditanya adalah seperti: “Di mana beli? Berapa harga? Sedap ke bawak? Banyak ke makan minyak?” dan pelbagai lagi. Seronok ada kalanya saya melayan dan melihat keterujaan mereka ini dapat menyaksikan NVX 155 di depan mata, namun akhirnya saya menghabiskan perbualan dengan, “ini bukan motor saya, tapi motor pinjam.”

NVX 155 ini sebenarnya mempunyai asas yang sama dengan sebuah lagi skuter Yamaha iaitu NMax, di mana rangka dan enjinnya adalah sama – unit satu silinder SOHC 155 cc suntikan bahan api dengan teknologi Variable Valve Actuation VVA) dengan padanan transmisi tali sawat V. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 14.8 hp dan 13.8 Nm tork.

Walaupun begitu, NVX 155 dijadikan lebih sporty, bermula dengan panel badan yang lebih agresif dengan banyak garisan-garisan tajam dan muka hadapan unik seperti model Avantiz dan R25. Rekaan sporty ini diteruskan pada bahagian tepi sehinggalah ke belakang.

Jika ada yang mahu mengatakan ciri sporty ini hanyalah pada rupanya sahaja, saya berpendapat itu tidak benar. Jika dibandingkan dengan NMax dan Honda PCX 150, rasa tunggangannya adalah berbeza di mana dua skuter saingan terdekatnya itu lebih kepada keselesaan dan elegan, manakala NVX 155 memang menawarkan tunggangan sporty.

Dari perkiraan jumlah kuasa, ia tidaklah begitu berbeza dengan dua skuter ini, tetapi tindak balas NVX 155 dirasakan lebih pantas. Antara perkara yang membantu adalah NVX 155 18 kg lebih ringan berbanding NMax dan 13 kg lebih ringan berbanding PCX150. Seorang rakan sekerja yang memiliki NMax juga bersetuju dengan perkara ini.

Sebagai sebuah skuter, kelancarannya pula masih kekal. Bagi yang mahu tahu berapa kelajuan maksimum NVX 155, berdasarkan pengalaman saya, ia boleh mencecah 120 km/j dan ini adalah kelajuan paling tinggi yang boleh dicapai tidak kiralah saya tunduk bagaimana sekalipun atau ‘mencuri angin’.

Catatan kelajuan yang ditunjukkan pada meter saya anggap sebagai berpadanan dengan kelajuan sebenar, kerana motosikal terasa laju dan tidak seperti meter LC135 yang diketahui ramai akan menunjukkan kelajuan yang lebih sedangkan motosikal sebenarnya lebih perlahan. Saya juga boleh mengesahkan bahawa catatan 120 km/j pada meter NVX 155 ini, boleh membuatkan kamera AES menyala apabila di atas lebuh raya – maknanya motosikal bergerak lebih 110 km/j.

Memang, bagi sesetengah orang, setakat sebuah skuter dengan kelajuan sebegitu, apalah yang dikatakan sporty sangat. Tetapi, apabila keluar daripada kilang, apatah lagi ia hanya mempunyai enjin 155 cc dan transmisi automatik, saya rasa ia sudah cukup bagus.

Perkara lain yang saya hargai pada motosikal ini adalah ia boleh berhadapan dengan selekoh secara mantap, tidak seperti kebanyakan skuter yang lain. Walaupun merasakan fork teleskopik di hadapan mungkin boleh menjadi lebih baik sekiranya keras sedikit lagi, saya tidak bermasalah untuk mengambil selekoh secara yakin dengan NVX 155.

Dalam masa sama, selain berhadapan dengan tunggangan yang bersemangat, ia juga masih selesa untuk kegunaan harian. Faktor lain yang memberi kesan baik adalah NVX 155 dilengkapi dengan rim 14 inci (1 inci lebih besar berbanding NMax) manakala tayar IRC yang digunakan pula di hadapan lebih tebal dan belakang lebih lebar.

Saya mempunyai ketinggian sekitar 180 sm dan pada bahagian kiri, lutut memang pada kebanyakan masa terkena pada ruang simpanan kecil yang terdapat di bawah pemegang. Panel yang berbentuk tajam di bawah pula selalu merisaukan saya apabila terhentak (seperti di bonggol contohnya) dan mengena bahagian tulang keting.

Selain daripada itu, saya rasakan NVX 155 masih lagi selesa termasuk untuk perjalanan jauh kerana tempat duduknya empuk. Dalam perjalanan jauh pula, walaupun pelantar kaki hanya tetap pada satu tempat dan penunggang tidak boleh melunjurkan kaki, saya masih boleh menggunakan peletak kaki penumpang apabila bersendirian.

Saya juga ingin menyatakan di sini bahawa NVX 155 adalah sebuah skuter yang agak tinggi, dan mereka yang rendah mungkin perlu berusaha sedikit untuk menaikinya. Selain itu, anda juga perlu melangkah bahagian tengah, yang merupakan tangki minyaknya. Menggunakan tongkat tengah masih adalah mudah.

Menaiki skuter ini, saya tidak mendapat kelulusan positif daripada penumpang. Masalah biasa bagi sebuah motosikal sporty, tempat duduk belakangnya adalah kecil dan nipis, tetapi yang lebih mengganggu adalah tempat letak kaki. Bagi penumpang belakang, tempat letak kaki mereka terlalu ke depan dan mereka tidak boleh merehatkan badan dengan meletak sokongan kepada kaki. Apabila berhadapan dengan kuasa tarikan, tempat letak kaki itu juga mudah terlipat.

Anda boleh melihat perkara ini dengan jelas melalui pandangan sisi motosikal, di mana tempat letak kaki penumpang tersebut lebih ke hadapan, sehingga melebihi garis lurus badan penunggang.

Satu perkara yang cukup dikritik pada NVX 155 adalah brek belakang jenis dram yang digunakan. Sebabnya, NMax yang RM1,600 lebih murah pun dilengkapi dengan brek cakera pada bahagian itu. Saya juga mempunyai pendapat ia akan lebih mantap sekiranya dilengkapi dengan brek cakera, kerana brek dram ini hanya boleh diharap untuk pemberhentian biasa. Kuasanya tidak terlalu kuat.

Nasib baik, brek hadapannya cukup mencengkam dan turut mempunyai ciri ABS. Bermakna, apabila anda mahukan kuasa henti atau memperlahankan motosikal dengan pantas, anda tidak boleh sekadar bergantung kepada brek belakang, dan kuasa yang lebih perlu diberikan pada brek hadapan. Selain ciri brek biasa, NVX 155 juga menawarkan ‘brek parkir’ yang boleh digunakan sewaktu berhenti lama dengan ‘mengunci’ tuil sebelah kiri. Cuma apabila sudah mahu bergerak, jangan lupa untuk melepaskannya kembali – terjadi kepada saya beberapa kali.

Daripada aspek penampilan, NVX 155 memang mudah menarik ramai peminat, tetapi harga jualan RM10,500 termasuk GST dikatakan sedikit tinggi (Honda PCX lebih mahal iaitu RM11,658). Antara sebabnya, jika dibandingkan dengan NMax yang berharga RM8,812, NVX 155 mempunyai lebih ciri berteknologi.

Pertamanya, paling jelas boleh dilihat adalah unit paparan meter LCD 5.8 inci yang menunjukkan pelbagai informasi seperti laju, rpm, tahap minyak, penggunaan bahan api, jarak perjalanan dan satu yang jarang ada pada motosikal lain – kuasa bateri. Pada waktu siang, dengan keadaan panas terik, saya dapati sedikit terganggu untuk melihat meter ini kerana terdapat pantulan, tetapi pada waktu malam, ia cukup menarik dengan kontras warna hitam dan biru.

Seterusnya adalah sistem tanpa kunci yang saya cukup gemari. Jika anda memiliki NVX 155, anda boleh menyimpan sahaja kunci di dalam poket atau beg bersama anda, pergi terus kepada motosikal dan pusing tombol yang disediakan untuk menghidupkannya. Bila sudah tiba, pusing tombol itu untuk menutup enjin dan mengunci stereng, seterusnya berlalu pergi daripada motosikal. Bermakna, anda tidak perlu bersusah-payah mencari kunci atau menyimpan kunci untuk menggunakannya.

Sekiranya alat pengawal jauh anda kehabisan bateri, perkara paling jelas perlu dilakukan adalah menukar bateri, dan kembali menggunakan sistem tersebut tanpa masalah tetapi apabila motosikal itu sendiri kehabisan bateri, anda masih boleh menggunakan kunci biasa yang diberi, untuk membuka bahagian bawah tempat duduk, mengeluarkan bateri dan menukar atau mengecas kembali bateri.

Di bawah tempat duduk NVX 155, ruang simpanan yang disediakan adalah berkapasiti 25 liter, tetapi bukan semua jenis helmet boleh disimpan di bawahnya. Malah untuk helmet open-face yang saya gunakan hari-hari, ia perlu diletakkan secara mengiring dan setelah ditekan kuat, barulah ia boleh ditutup, itupun seperti terangkat sedikit. Sudah tentu, jika anda sayang pada helmet tersebut, ia perlulah dibalut dengan kain supaya tidak calar.

Selain bahagian ini, NVX 155 turut datang dengan satu lagi ruang simpanan kecil di bawah bahagian pemegang, sebelah kiri dan di dalamnya terdapat soket kuasa 12 V. Ia dianggap cukup berguna terutamanya apabila dalam perjalanan jauh ataupun waktu kecemasan apabila telefon sudah hampir kehabisan bateri. Tetapi sekali lagi, ruang ini adalah terhad dan bukan semua telefon bimbit boleh dimasukkan ke dalamnya.

Berkenaan penggunaan bahan api, skuter ini didatangkan dengan teknologi enjin Blue Core dan VVA yang dapat membantu penjimatan. Walaubagaimanapun, saya terlupa untuk menunggang ia dengan mensasarkan penggunaan bahan api terbaik, dan pada kebanyakan masa asyik memerah sahaja pendikitnya sehingga habis. Oleh itu, penggunaan bahan api yang dicatat tidak terlalu baik.

Untuk isian penuh tangki 4.6 liternya, bagi penggunaan dalam bandar, saya cuma dapat bertahan sekitar 85-90 km manakala untuk perjalanan jauh yang berterusan, ia boleh pergi ke 100 km. Paling jauh yang pernah saya lakukan adalah 115 km, dan pada waktu itu, minyak terus habis dan saya tersadai di tepi jalan. Nasib baik ada seorang insan berbaik hati sanggup ‘menunda’ saya pada waktu itu hingga ke stesen minyak terdekat.

Satu lagi teknologi yang dapat membantu penggunaan bahan api terbaik NVX 155 adalah sistem start/stop – yang juga sudah ada pada PCX150 sekian lama. Apabila berhenti, tanpa mengusik apa-apa, sebagai contoh di lampu isyarat, enjin akan ditutup dan apabila anda memulas sedikit pendikit, ia akan hidup kembali. Sistem ini tidak begitu mengganggu kerana motor pemula (starter) yang digunakan cukup lancar, namun jika anda tidak mahu ia bertindak, suis menutupnya ada pada pemegang sebelah kanan.

Satu perkara lain yang saya kurang berpuas hati dengan NVX 155 adalah lampu hadapannya. Walaupun menggunakan unit LED, pencahayaannya tidak begitu terang dan memaksa saya memasang lampu tinggi pada kebanyakan masa di waktu malam. Itupun, pada jarak selang satu kereta dengan kereta di hadapan, cahayanya tidak mengenai bampar kereta tersebut. Saya tidak pasti jika ia boleh dilaras atau tidak, tetapi lampu Avantiz pun dirasakan lebih terang.

Secara keseluruhannya, Yamaha NVX 155 mempunyai satu pakej yang cukup menarik, terutamanya bagi mereka yang mahukan tunggangan sporty. Harga itu adalah subjektif bergantung kepada kemampuan seseorang, tetapi memikirkan ia RM1,600 lebih tinggi berbanding NMax, dengan tiada brek cakera di belakang, tetapi ditambah dengan peralatan yang lebih berteknologi, ia mungkin boleh menjadi penentu kepada seseorang sama ada untuk memilikinya atau tidak.