Acura ARX-05 – kereta lumba prototaip dengan 600 hp

Acura ARX-05 – kereta lumba prototaip dengan 600 hp

Acura telah menunjukkan sebuah kereta lumba prototaip, yang dinamakan sebagai ARX-05 semasa acara Monterey Car Week di California, dan kereta sebenarnya akan digunakan oleh Team Penske dalam perlumbaan IMSA WeatherTech SportsCar Championship pada tahun hadapan, dalam kategori Daytona Prototype International (DPi).

Acura ARX-05 dibina menggunakan asas daripada casis Oreca 07 LMP2, tetapi diberikan badan yang lebih istimewa untuk menjadikan konsep rekaannya selari dengan identiti kereta produksi Acura – tetapi masih mematuhi peraturan yang ditetapkan. Antara yang boleh dilihat adalah lampu utama LED bertingkat yang menjadikannya kelihatan lebih agresif.

Enjin kereta lumba ini terletak di belakang pemandu, dan ia adalah unit V6 3.5 liter twin-turbo AR35TT. Asas enjin ini adalah daripada unit yang digunakan pada kenderaan produksi seperti MDX, RDX, TLX dan RLX. Enjin yang sama turut digunakan pada TLX GT untuk perlumbaan Pirelli World Challenge Series, dan ia sepatutnya mampu menghasilkan sehingga 600 hp.

Enjin ini juga bukanlah baru dalam dunia perlumbaan, di mana ia turut menjadi nadi untuk kereta lumba yang telah memenangi perlumbaan 12 Hours of Sebring dari tahun 2011 hingga 2013, dan 24 Hours of Le Mans serta World Endurance Championship pada tahun 2012. Selain itu, ia juga telah membantu kereta Acura memenangi American Le Mans Series (ALMS) LMP2 pada tahun 2012 dan 2013.

Perlumbaan 24 Hours of Daytona akan berlangsung pada bulan Januari 2018, dan ia akan diselia oleh Honda Performance Development (HPD). Dua kereta lumba prototaip ini akan dibina dan satu daripadanya akan dipandu oleh gandingan Juan Pablo Montoya dan Dane Cameron, manakala pemandu untuk sebuah lagi kereta masih belum diberitahu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required