Vision Mercedes-Maybach 6 Cabriolet – beri gambaran konsep rekaan kenderaan mewah masa hadapan

Vision Mercedes-Maybach 6 Cabriolet – beri gambaran konsep rekaan kenderaan mewah masa hadapan

Mercedes-Benz mendedahkan satu lagi kereta pameran masa hadapan Vision mereka semasa acara Pebble Beach Concours d’Elegance, dan kali ini adalah sebuah model bumbung boleh buka yang dinamakan sebagai Vision Mercedes-Maybach 6 Cabriolet. Sebuah kereta hampir sama pernah ditampilkan tahun lalu, namun itu adalah versi coupe.

Paling menarik perhatian pada kereta ini sudah tentu adalah rekaannya, yang dikatakan oleh Mercedes-Benz sebagai gabungan antara rekaan klasik dan beremosi secara mewah. Garis badan kereta ini beralun kemas dari depan sampai ke belakang, dan ia kelihatan terletak rendah dan panjang. Secara keseluruhannya kereta ini mempunyai panjang hampir enam meter.

Warna biru gelap serta kemasan krom yang digunakan menimbulkan setiap lekuk yang ada, dengan bahagian hadapannya menggunakan lampu utama yang nipis dan gril berjalur menegak. Rekaan di belakang pula mendapat inspirasi daripada kapal layar mewah, dan jalur LED lampu brek ketiga diletakkan di tengah untuk menyambungkan lampu brek kiri dan kanan.

Melengkapkan penampilan kereta elegan ini adalah rim 24 inci dan pada bahagian bawah bampar hadapan serta belakangnya terdapat pembelah angin dan diffuser aluminium berwarna krom. Kemasan berwarna sama turut digunakan pada bahagian sisi sebagai skirting.

Vision Mercedes-Maybach 6 Cabriolet – beri gambaran konsep rekaan kenderaan mewah masa hadapan

Rekaan bahagian dalam juga begitu menarik, dengan garisan yang digunakan mengalir sekeliling kabin, dan terdapat permukaan berwarna biru yang menghiasi kebanyakan bahagian lain yang berwarna putih. Bukan setakat rupa, Mercedes turut mengambil berat tentang kualiti dan jenis bahan, di mana bahagian yang bersentuh dengan penggunanya adalah dibuat daripada bahan premium seperti kulit Nappa dengan sulaman kristal.

Selain meter bulat yang digunakan hadapan pemandu, informasi lain termasuk operasi kuasa kenderaan dipaparkan pada permukaan kaca yang bersepadu pada papan pemuka. Lantai kemasan kayu pula menunjukkan kesinambungan kereta ini dengan kapal layar mewah yang dijadikan sebagai inspirasi.

Vision Mercedes-Maybach 6 Cabriolet dibina sebagai sebuah kereta elektrik, dan hasil daripada penggunaan empat motor elektrik kompak permanent magnet synchronous, ia dapat dihasilkan dengan pacuan empat roda dan mempunyai kuasa keseluruhan 550 kW (750 hp). Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa bawah empat saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j dan jarak pergerakan lebih 500 km.

Kereta ini turut dilengkapi dengan sistem mengecas pantas, yang membenarkan kapasiti mengecas sehingga 350 kW, seterusnya dapat memberikan jarak pergerakan tambahan sekitar 100 km, setelah dicas selama lima minit.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required