Toyota kini sedang berusaha untuk memperbaiki pandangan ke luar, dari dalam kenderaan melalui satu paten baru yang dapat menjadikan A-pillar kenderaan seolah-olah lutsinar. Perkara ini disiarkan oleh pejabat pendaftaran paten Amerika Syarikat.
Menurut paten yang didaftar itu, idea Toyota ini menggunakan beberapa cermin yang diletakkan secara terperinci untuk melenturkan cahaya, seterusnya dapat membenarkan kita melihat apa yang ada di sebaliknya. Cara mengatasi titik buta ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan satu lagi cara iaitu meletakkan kamera di luar, dan menyiarkan videonya di bahagian dalam tiang tersebut.
Jaguar Land Rover sebelum ini pernah menunjukkan satu pendekatan yang menggunakan kamera, digelar ‘360 Virtual Urban Windscreen‘, dan sistem ini berfungsi untuk memberi penglihatan maksimum apabila bergerak dalam kawasan urban, serta mengurangkan bahagian titik buta apabila memandu dalam trafik.
Pendaftaran paten adalah sesuatu yang biasa, jadi kita masih perlu menunggu untuk melihat sama ada idea ini boleh dipakai untuk kenderaan produksi. Adakah anda rasa idea ini dapat menjadikan pemanduan lebih selamat dan mudah?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.