PANDU UJI: Hyundai Elantra 2.0 liter dan Sport 1.6 liter Turbo – paradigma baharu falsafah kejuruteraan Korea

PANDU UJI: Hyundai Elantra 2.0 liter dan Sport 1.6 liter Turbo – paradigma baharu falsafah kejuruteraan Korea

Bagi sesetengah orang, Korea di dalam industri automotif adalah jenaka – sama seperti apa yang peminat-peminat kereta Eropah rasa pada industri automotif Jepun ketika era 60’an dan 70’an dahulu. Tetapi anda perlu ingat, ini adalah industri, bukan perniagaan menjual goreng pisang di tepi jalan.

Usaha Korea dalam industri ini bukan sekadar ‘cuba-cuba’, tetapi mereka benar-benar serius. Seperti yang dinyatakan tadi, ini adalah industri automotif, industri yang sangat besar. Jadi sebarang kejayaan sememangnya tidak akan dapat dicapai dalam masa yang pendek.

Sehingga kini, jenama-jenama dari Korea masih lagi dilihat dengan persepsi yang skeptikal – kurang bertenaga dari angka kuasa yang dinyatakan, penggunaan bahan api yang lebih kuat dari apa yang didakwa, pengendalian yang rasa serba tidak kena, dan yang paling serius khususnya di Malaysia ialah susut nilai yang teruk dan juga reliabiliti jangka masa panjang.

Ingat lagi dialog watak Han (dilakonkan oleh Sung Kang) yang menyebut “What do you think, I’m gonna let you roll in a Hyundai?” dalam filem Fast & Furious 2: Tokyo Drift? Ia jelas menggambarkan Hyundai sebagai pengeluar kereta-kereta yang tidak berkuasa, tidak sesuai untuk sebarang perlumbaan.


Hyundai Elantra 1.6 Turbo Sport (kiri) dan 2.0 Executive (kanan)

Hyundai tahu akan pandangan-pandangan sebegini dan mereka berusaha memperbaikinya dari masa ke masa. Seperti pengeluar Eropah dan Jepun, mereka juga berusaha untuk terlibat dengan sukan permotoran bagi membawa teknologi dari dunia tersebut untuk menghasilkan model produksi yang lebih baik, selain menaikkan imej dan jenama itu sendiri.

Pengeluar dari Korea tersebut mula terlibat dalam kejohanan rali dunia (WRC) pada tahun 2000 bersama Hyundai Accent, di mana ketika itu Hyundai World Rally Team dikendalikan oleh firma Motor Sports Development (MSD) dari UK. Pasukan berkenaan walau bagaimanapun hanya bertahan hingga tahun 2003 dan Hyundai menarik diri dari WRC untuk musim seterusnya.

Hyundai juga pernah berkerjasama dengan pemandu rali dan drifter sensasi dari New Zealand tetapi menempa nama di Amerika iaitu Rhys Millen. Dengan Millen, nama Hyundai bersaing dengan jenama-jenama yang sinonim dengan imej street racer lain dari Jepun pada kejohanan drift D1GP USA dan Formula D USA bermula sekitar tahun 2009 dengan Hyundai Genesis. Millen turut membawa Hyundai ke pentas RallyCross sekitar Amerika dengan Hyundai Veloster.

Namun, usaha-usaha ini masih lagi seakan tidak kena dengan Hyundai dan persepsi berkenaan masih lagi tidak berubah, begitu juga dalam aspek untuk menterjemahkan teknologi dan talaan dari dunia perlumbaan dicurahkan ke model produksi. Akhirnya, Hyundai menubuhkan Hyundai Motorsport GmbH yang berpusat di Jerman pada tahun 2012 bagi meneruskan kembali program rali dunia mereka, kini mempertaruhkan pula model i20 WRC.


Hyundai Elantra 1.6 Turbo Sport (kiri) dan 2.0 Executive (kanan)

Selain dari itu, Hyundai turut melantik bekas naib presiden kejuruteraan unit prestasi tinggi BMW iaitu BMW M, Albert Biermann sebagai ketua ujian kenderaan dan juga pembangunan prestasi tinggi. Biermann kini turut mengetuai sayap perlumbaan dan talaan rasmi Hyundai yang dijenamakan sebagai Hyundai N (Hyundai WRC kini turut di bawah naungan Hyundai N), yang baru-baru ini memperkenalkan hot-hatch sebenar i30 N yang dibangunkan di litar Nürburgring, Jerman.

Percaturan kali ini yang melibatkan Albert Biermann nampaknya menjadi. Hyundai i30 N belum lagi dilancarkan tetapi 100 unit model tersebut akan dijadikan sebagai model ‘First Edition‘ dan ianya hanya untuk pasaran Jerman – kesemuanya habis dijual dalam masa hanya dua hari, menandakan pelanggan Jerman seolah-olah bersetuju bahawa i30 N ini layak dijadikan alternatif kepada Volkswagen Golf GTI.

Kenapa saya mengomel panjang lebar berkenaan pembangunan imej Hyundai ini? Ini kerana Hyundai Elantra yang kami uji kali ini lahir ketika fasa baharu Hyundai yang diceritakan tadi. Diumumkan rasmi dilancarkan pada pasaran tempatan pada Jun lalu, kita menerima tiga varian Elantra generasi keenam (juga dikenali sebagai generasi AD), iaitu varian asas GLS 2.0 Executive (RM116,388), varian pertengahan GLS 2.0 Dynamic (RM120,588) dan juga varian tertinggi Sport 1.6 Turbo (RM131,488) semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Terdapat perbezaan jika anda membanding ketiga-tiga varian ini dari segi rupa. Untuk varian asas Executive, ia menerima gril hadapan dengan serlahan krom meliputi jalur sekeliling serta lampu kabus bersama kemasan perumah berbentuk-C (bahagian ini juga sebenarnya liang udara yang digelar air curtain bagi memperbaiki pekali geseran udara). Ia turut diberikan lampu hadapan projektor halogen dengan lampu nyalaan bina dalam.


Hyundai Elantra 2.0 Dynamic

Varian pertengahan Dynamic pula sebenarnya adalah sama hampir sepenuhnya dengan Executive, cuma diberikan kit badan yang lebih agresif meliputi apron pada bampar hadapan dengan lampu nyalaan siang, skirt sisi, serta kemasan ala-diffuser bersama tip ekzos krom berkembar palsu pada bampar belakang.

Bagi varian tertinggi Sport pula, ia diberikan gril hadapan lebih garang dengan jalur sekeliling berwarna hitam, jalur melintang tidak dikrom sepenuhnya bersama emblem ‘turbo’. Lampu nyalaan siang berasingan standard diberikan pada bahagian atas panel air curtain bersama kemasan krom berbentuk-C. Lampu hadapan pula diberikan lampu HID dengan elemen jalur merah di dalamnya (ia tetap merah tidak kira warna badan apa yang anda pilih).

Lampu belakang Sport juga berbeza dengan varian lebih rendah, menampilkan tiga jalur LED berbentuk-C. Bampar belakang juga berbeza dengan bentuk yang lebih sporty bersama diffuser yang sememangnya telah direka sekali, menempatkan tip ekzos berkembar sebenar pada sebelah kanan. Kesemua varian menerima rim 17-inci, tetapi dengan rekaan berbeza – jejari turbin pada model 2.0 (dengan tayar Goodyear EfficientGrip 225/45) dan lima jejari berkembar (dibaluti tayar Hankook Ventus Prime2 225/45) pada model 1.6 Turbo.

Bahagian dalaman juga berbeza antara model-model 2.0 dan 1.6 Turbo. Varian paling rendah dan asas menerima upholsteri gabungan sued dan juga kulit pada tempat duduk dengan serlahan benang merah. Kemasan sued juga diberikan pada panel tertentu pada pintu, manakala gaiter tuil gear dan juga roda stereng pelbagai fungsi dibalut dengan kulit bersama jahitan benang merah.


Hyundai Elantra 1.6 Turbo Sport (kiri) dan 2.0 Executive (kanan)

Untuk model turbo pula, tempat duduk diberikan balutan kulit sepenuhnya berwarna merah (ia kekal merah tidak kira warna badan apa yang anda pilih) yang sangat menyerlah dengan sedikit gabungan warna hitam serta sulaman perkataan ‘Sport’ pada perehat badan. Warna merah turut diberikan pada panel pintu, dan serlahan benang merah turut diberikan pada tuil gear dan roda stereng.

Pelapik bumbung dan kemasan tiang pada model Sport ini juga diberikan warna hitam berbanding kelabu pada model 2.0, manakala roda stereng pula menerima unit yang seiras dengan roda stereng Ioniq (rata di bawah), cuma dibezakan dengan warna jahitan (biru pada Ioniq).

Secara peribadi, saya sebenarnya lebih sukakan gabungan upholsteri pada model 2.0 liter yang lebih low profile, dan fabrik sued yang dipadankan memberikan feel yang lebih Eropah, berbanding kulit berwarna merah pada model 1.6 liter yang kelihatan agak melebih-lebih dan kurang matang.

Untuk keseluruhan, kualiti material untuk pembuatan komponen-komponen bahagian dalaman Elantra agak sama seperti saingan-saingan dari Jepunnya yang lain. Tetapi dari segi rekaan, bahagian dalaman Elantra ini masih lagi bersifat tradisional. Jika Civic mempunyai bentangan meter digital, Mazda 3 mempunyai paparan head-up yang dipaparkan pada cermin kahs boleh-lipat, Elantra pula hanya menampilkan paparan meter analog (model 1.6 Turbo diberikan paparan meter lebih sporty dengan susunan dan tulisan ala-Volkswagen/Audi).


Hyundai Elantra 1.6 Turbo Sport

Namun untuk tidak kelihatan terlalu tertinggal, ia tetap diberikan skrin pelbagai informasi TFT LCD pada pada bahagian tengah antara meter kelajuan dan takometer.

Meninjau ke kabin belakang, liang pendingin hawa diberikan secara standard untuk semua varian. Tetapi, Hyundai tidak memadankan sebarang soket 12V mahupun port USB untuk kegunaan bahagian ini.

Dengan jarak roda 2,700 mm (sama panjang dengan Civic), saya rasakan bahagian kabin belakang Elantra ini mempunyai nilai paling mesra keluarga berbanding Civic mahupun Mazda 3. Tempat duduknya direka dengan ketinggian normal membolehkan lutut tidak terlalu ternaik keatas dan penumpang berasa relaks, disamping menawarkan ruang kelegaan lutut yang luas.

Bumbung juga tidak terlalu rendah untuk memberikan ruang kelegaan bahu dan kepala yang lapang, manakala cermin tingkap pula direka dengan saiz normal sebuah sedan dan tidak menyebabkan anda berasa seolah-olah terkurung.


Hyundai Elantra 2.0 Executive

Walaupun jarak roda antara Civic dan Elantra sama, panjang keseluruhan sedan segmen-C Korea (4,570 mm) ini lebih pendek 74 mm berbanding lawannya dari jepun tadi (4,644 mm). Kesannya, ruang kargo pada but belakang tidak dapat direka sebesar Civic (519 liter) dengan kapasiti hanya 458 liter.

Ciri lain yang diberikan pada model 2.0 Executive dan Dynamic termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, cermin pandang belakang malap automatik, pendingin hawa manual dengan liang kabin belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, penderia undur, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh tujuh inci dan sambungan Bluetooth, CarPlay dan Android Auto, kamera undur dan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

Manakala untuk model turbo pula ditambah dengan pendingin hawa dwi zon automatik, pedal penukar gear di stereng, pengelap cermin automatik (pengesan hujan), dan ciri keselamatan seperti pengesan titik buta dan rear cross traffic alert (RCTA).

Bagi ciri keselamatan pula pasif, kesemua varian hadir standard dengan ABS, Bantuan Mula Mendaki, ESC, serta VSM. Manakala untuk keselamatan aktif, ia dibekalkan dengan enam beg-udara serta cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

Elantra Executive dan Dynamic dijana enjin 2.0 liter NA empat silinder Nu MPI menjana 152 PS pada 6,200 rpm dan tork maksima 192 Nm pada 4,000 rpm dan dipadankan bersama kotak gear automatik torque converter konvensional enam kelajuan. Gandingan ini membolehkan Elantra mencapai penggunaan bahan api 7.2 liter untuk setiap 100 km perjalanan (kitaran NEDC), menurut Hyundai.

Untuk model Sport pula, ia dijana enjin Gamma T-GDI 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, menjana 204 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 265 Nm pada antara 1,500 hingga 4,500 rpm – angka kuasa yang mengukir senyuman di bibir. Lebih menggembirakan, kuasa dihantar ke roda hadapan bukan menerusi kotak gear automatik konvensional mahupun CVT, tetapi dengan transmisi klac berkembar DCT tujuh-kelajuan.

Dengan kuasa yang lebih tinggi ini, Elantra Sport 1.6 Turbo juga diberikan cakera brek hadapan yang lebih besar iaitu 16-inci, berbanding model 2.0 liter NA yang hanya diberikan cakera brek berliang berdiameter 15-inci.

Selain dari perbezaan unit januakuasa, model NA dan Turbo juga dibezakan dengan sistem suspensi belakang. Model 2.0 liter hanya diberikan sistem suspensi ringkas torsion beam. Manakala untuk model Sport, ia menerima bentangan sistem yang lebih kompleks yang lebih jitu iaitu sistem suspensi bebas jenis multilink.

PANDU UJI: Hyundai Elantra 2.0 liter dan Sport 1.6 liter Turbo – paradigma baharu falsafah kejuruteraan Korea

Jadi bagaimana pula prestasi pemanduan kedua-dua model ini? Kita mulakan dahulu dengan model 2.0 liter NA. Enjin Nu MPI ini sebenar cukup berkuasa tanpa sebarang rasa underpower. Ia memberikan pecutan linear yang sangat lancar dan saya juga tidak merasa sebarang masalah dengan penukaran gear pada kotak gear automotik berkenaan.

Namun jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing sekelasnya, kuasa yang dihasilkan bukanlah sesuatu yang menyerlah. Secara peribadi, saya dapat rasakan enjin 1.8 liter i-VTEC pada Honda Civic memberikan penghantaran kuasa yang lebih baik walaupun hanya berkuasa 141 PS/174 Nm. Jika dibandingkan pula dengan enjin NA 2.0 liter SkyActiv-G pada Mazda 3 (164 PS/210 Nm), enjin pada Hyundai ini jelas akan tertinggal sekiranya sesi drag race dilangsungkan.

Dari aspek NVH, Elantra turut memberikan prestasi cemerlang – boleh dikatakan ia lebih baik dari pesaing-pesaingnya dari Jepun, dan lebih menuju kearah ‘perisa’ Eropah.

Saya juga tidak mempunyai masalah pada keselesaan Elantra 2.0 liter ini kerana ia memberikan talaan suspensi yang lebih kearah mesra keluarga – kadar ‘bumping’ ketika melalui jalan beralun dapat diserap dengan baik. Namun disebabkan suspensi belakangnya jenis torsion beam, ia tidak dapat memberikan keselesaan dan dinamik pengendalian yang lebih baik dari Honda Civic 1.8, serta kadar olengan yang sememangnya terasa ketika mengambil selekoh laju.

PANDU UJI: Hyundai Elantra 2.0 liter dan Sport 1.6 liter Turbo – paradigma baharu falsafah kejuruteraan Korea

Walaupun model 2.0 liter dan model 1.6 liter turbo nampak hampir sama pada bahagian luaran, anda pastinya dapat merasakan dua karekter yang benar-benar berbeza antara kedua-dua model berkenaan sejurus memandu Elantra Sport. Enjin Gamma T-GDI ini jelas sangat berkuasa berbanding enjin-enjin turbo yang ditawarkan pada sedan keluarga segmen-C lain seperti enjin 1.5 liter EcoBoost Ford (180 PS/240 Nm) pada Focus mahupun enjin 1.4 liter TSI Volkswagen pada Jetta.

Malah jika dibandingkan dengan Honda Civic 1.5 VTEC Turbo (173 PS/220 Nm), kuasa Elantra Turbo jelas 31 PS/45 Nm lebih besar dari pesaing terdekatnya dari Asia tersebut. Gabungan enjin dan transmisi ini juga membolehkan Elantra Turbo memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat, atau setengah saat lebih pantas dari Civic pada jarak pecutan sama.

Setengah saat je? Bagi mereka yang biasa dengan perlumbaan drag, anda pasti tahu berapa besar sebenarnya jarak ‘setengah saat’ tersebut. Itu jika dilihat dari segi angka dan jarak, jika anda bandingkan dari segi feel, prestasi penghantaran kuasa dari enjin ke roda Elantra ini jelas lebih mengujakan.

Enjin ini ditala dengan baik bagi memberikan power band yang menyerlahkan kuasa pada peringkat low end dan pertengahan rpm di mana bahagian ini kerap digunakan pada pemanduan seharian. Jadi, ia bukan seperti enjin turbo zaman 4G63T VR4 dahulu yang memberikan tujahan kuasa serta merta sebaik sahaja tekanan boost dimuntahkan ke enjin.

Sebaliknya, kuasa yang diberikan lebih linear dengan turbo lag yang sangat-sangat minima, dan anda dapat mengawal pedal pendikit dengan begitu mudah. Ditambah dengan kotak gear DCT, pengalaman memandu Elantra sememangnya sangat seronok.

Transmisi DCT pada Elantra Turbo ini tidaklah sepantas kotak gear klac berkembar berprestasi tinggi sebenar seperti pada VW Golf GTI, namun ia jelas lebih pantas berbanding kotak gear AT konvensional. Yang paling penting ia jauh lebih seronok digunakan berbanding kotak gear CVT yang biasanya membuatkan enjin meraung dengan intonasi serba tidak kena.

Ditambah dengan dengan paparan meter dengan rekaan Volkswagen, melihat jarum takometer yang begitu laju ketika pedal pendikit dikerah, kemudian hanya turun sedikit ketika transmisi DCT tersebut menukar gear dalam tempoh yang begitu pantas, saya benar-benar rasakan kereta ini seperti Volkswagen. Ya, saya gelarnya sebagai “Volkswagen Korea” – prestasi mekanikal yang begitu jitu, dengan rupa luaran yang lebih berseni.

Apabila Hyundai menyatakan talaan suspensi untuk versi Turbo ini sebagai talaan “yang lebih sporty”, mereka serius dan memberikan talaan yang benar-benar lain dari versi 2.0 liter NA tadi. Anda boleh rasakan perbezaan berkenaan walaupun melalui selekoh pada kelajuan biasa dan bukan ketika benar-benar laju.

PANDU UJI: Hyundai Elantra 2.0 liter dan Sport 1.6 liter Turbo – paradigma baharu falsafah kejuruteraan Korea

Olengan badan kereta ini jelas lebih ‘liat’ dan sangat stabil pada selekoh kelajuan tinggi. Bentangan sistem suspensi multilink pada bahagian belakang juga turut membantu dinamik yang lebih baik pada kereta ini – memberikan understeer yang tidak begitu ketara pada selekoh laju. Ini membolehkan anda menggunakan keseluruhan kuasa 204 PS/265 Nm pada enjin tersebut bukan sahaja pada laluan lurus, malah turut boleh berseronok di selekoh.

Jika tidak mengambil kira model 2.0 liter Executive dan Dynamic, Elantra jelas menggambarkan Hyundai sekarang bukanlah Hyundai yang dahulu. Walaupun nama Albert Biermann tidak disebutkan secara spesifik dalam penghasilan Elantra Turbo ini, namun talaan enjin serta suspensi Hyundai kini mempunyai ‘taste’nya yang tersendiri dan lebih terarah ke Eropah khususnya Jerman. Elantra jelas membawa imej baharu Hyundai dan tidak memberikan sebarang talaan mekanikal yang ‘kelaut’ seperti model-model sebelum ini.

Dengan kuasa dan prestasi yang dihasilkan oleh Elantra Sport ini juga, varian yang sama pada pasaran Amerika tidak bandingkan dengan Civic 1.5 VTEC turbo biasa, sebaliknya pertembungan berlangsung terhadap Honda Civic Si (205 hp/260 Nm) iaitu varian lebih berkuasa, diletakkan di bawah satu tangga sebelum Honda Civic Type-R.

Tetapi, cerita berkenaan Hyundai di Jerman dan Amerika ini nampaknya hanya valid di sana. Di Malaysia, anda ceritalah bagaimanapun berkenaan kematangan kejuruteraan Korea ini, pasaran kita nampaknya masih belum boleh ‘move on‘ dan dihujani kenangan lalu, serta perkara utama yang dibangkitkan sentiasa berkisar nilai jualan semula.

GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Turbo Sport 2017

GALERI: Hyundai Elantra 2.0 Executive dan Dynamic 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • nemesis on Aug 26, 2017 at 8:08 am

    pasaran msia masih belum move on tepat sekali….kereta keluaran korea bergerak melangkaui jepun, mereka meletak kayu pengukur kereta eropah terutama nya bmw dan audi. tidak hairan ruangan dalaman mirip audi dan bmw.

    Like or Dislike: Thumb up 7 Thumb down 0
  • Memel on Aug 26, 2017 at 5:16 pm

    Saya suka ayat2 perenggan terakhir tu…

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • tiqah on Jun 03, 2019 at 2:30 pm

    sparepart hyundai ni mudah didapati tak kt malaysia ni?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required