Ford F-150 dipertonton di Malaysia – empat pilihan enjin, CKD pemanduan kanan, harga bermula RM389k

Ford F-150 dipertonton di Malaysia – empat pilihan enjin, CKD pemanduan kanan, harga bermula RM389k

Ya, anda tak salah baca; beraiz besar, ibu segala trak pikap yang ikonik dari Ford dan sangat terkenal di pasaran Amerika, Ford F-150 telah tiba di Malaysia. Dan tambah menarik, ia tidak sekadar diimport masuk – model dari generasi ke-13 ini merupakan versi pemasangan tempatan, dengan pemanduan sebelah kanan.

Menurut bos Hamawangsa Kredit, Nizam Arifin, model pra-facelift bagi F-150 itu akan dijual secara eksklusif oleh syarikatnya sebagai unit rebadge, dengan sasaran jualan setahun sebanyak 150 unit. Ia diimport masuk dari Amerika Syarikat (termasuk tayarnya sekali), dan kit pemanduan sebelah kanan pula dibawa dari Kanada.

Trak berkenaan kemudiannya akan melalui proses penukaran di Malaysia, di sebuah kemudahan kilang yang masih belum didedahkan. Sokongan lepas jualan pula akan diserahkan kepada rakan perniagaan Hamawangsa, dan penanggung insurans pihak ketiga juga akan diumumkan nanti. Trak F-150 ini belum dan tidak akan dijual oleh pengedar Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion.

Trak ini akan ditawarkan dalam tiga gaya – Regular Cab (kabin tunggal, maksimum tiga penumpang), SuperCab (kabin tunggal yang dipanjangkan, jarak antara roda lebih panjang, maksimum enam penumpang) dan SuperCrew (kabin berkembar, enam tempat duduk). Ini ditawarkan dalam lima kemasan – XL, XLT, LARIAT, King Ranch dan Platinum. Semuanya digandingkan dengan transmisi enam-kelajuan automatik. Pilihan sistem pacuan 4×2 dan 4×4 juga diberikan; pacuan empat roda bagaimanapun standard bagi varian King Ranch dan Platinum.

Ada empat pilihan enjin untuk pelanggan; bermula dengan enjin 2.7 liter EcoBoost V6 (325 hp/508 Nm), 3.5 liter EcoBoost V6 (385 hp/524 Nm), 3.5 liter Ti-VCT V6 (282 hp/343 Nm) serta 5.0 liter Coyote V8 (enjin sama pada Mustang GT) dengan janaan 365 hp dan 569 Nm. Kemampuan menunda ialah 3,855 kg bagi 2.7L Ecoboost, 4,850 kg bagi 3.5L EcoBoost.

Ia menggunakan rim 18-inci enam jejari aloi dengan tayar Goodyear Wrangker All-Terrain 275/65 sebagai standard. Pelanggan juga boleh memilih rim lebih besar, 22-inci. Hamawangsa juga akan menawarkan rangkaian aksesori bagi F-150, termasuk pakej kemasan paling popular dan garang, Raptor.

Senarai kelengkapan lain masih belum disahkan, tetapi beberap ciri daripada unit yang dipamerkan ini boleh memberi petunjuk. F-150 LARIAT berkenaan datang dengan lampu utama halogen (tanpa DLR LED) dan lampu kabus, lampu bahagian belakang gandingan LED serta sensor bagi pengesanan titik buta, keyless entry, penghidup enjin kawalan jauh, bumbung panoramik penuh serta pintu ruang belakang berkuasa dengan tangga yang mampu menampung berat 350 kg.

Kelengkapan lain termasuk paparan digital MyView lapan-inci serba baru, yang menempatkan maklumat seperti maklumat tundaan semasa dan sistem tunjuk arah. Ciri lain ialah tombol 4WD shift-by-wire, kerusi depan dengan pemanas dan liang udara, kawalan udara dwi-zon, kawalan kruise (pasif) dan Bluetooth.

Turut terdapat dua soket 110 volt/400 watt AC (satu pada bahagian bawah papan pemuka dan satu lagi di belakang terowong tengah), serta dua corong pendingin hawa di belakang. Dari segi keselamatan, ia hadir dengan enam beg udara, Hill-Descent dan Hill-Start Assist, AdvanceTrac dengan Roll Stability Contorl dan Curve Control, serta sistem tinjuan tekanan tayar – ABS dan VSC juga ada.

Harganya pula akan bermula dari RM388,888 bagi model 2.7 liter EcoBoost (di AS harganya US$28,675), tetapi Hamawangsa sedang cuba membawa harga berkenaan sedikit lebih rendah lagi pada RM350,000. Memang tinggi harga yang diletakkan, ini belum lagi versi 5.0 liter V8 pada varian tertinggi (di AS harganya US$55,450). Kita tunggu saja pengumuman lanjutnya nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required