Keeway Cafe Racer 152, K-Light 202 dan Patagonian Eagle tiba di M’sia – harga RM6.5k, RM9.1k dan RM10k

Keeway Cafe Racer 152, K-Light 202 dan Patagonian Eagle tiba di M’sia – harga RM6.5k, RM9.1k dan RM10k

Selain Benelli Leoncino, MForce Bike Holdings Sdn Bhd turut melancarkan tiga lagi motosikal berjenama Keeway iaitu Cafe Racer 152, K-Light 202 dan Patagonian Eagle untuk pasaran Malaysia. Harga motosikal ini adalah masing-masing RM6,521, RM9,103 dan RM9,951 termasuk GST, tetapi tanpa insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

Melihat pertamanya kepada Cafe Racer 152, ia adalah sebuah motosikal gaya klasik ringkas yang dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok 149 cc, dan padanan kotak gear lima kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 11.4 hp pada 8,500 rpm dan 11.1 Nm tork pada 6,000 rpm. Enjin ini masih lagi menggunakan sistem karburetor dan sistem penyejukan udara.

Pada bahagian hadapan, terdapat rim 17 inci, brek cakera tunggal 220 mm, manakala di belakang pula terdapat rim 17 dan brek dram 130 mm. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 108 kg, ketinggian tempat duduk 770 mm dan tangki minyak 12.1 liter. Pilihan warna yang diberi adalah hitam dan biru.

Seterusnya adalah K-Light 202, yang juga mempunyai gaya retro. Model ini dipacu oleh enjin satu silinder empat strok 197 cc, bersama padanan kotak gear lima kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 12.9 hp pada 7,500 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,000 rpm. Sistem bahan api pada motosikal ini juga menggunakan karburetor dan pemilik boleh memulakan enjin dengan menggunakan pemula tendang atau elektrik.

Kelengkapan asas pada motosikal ini antaranya adalah brek cakera tunggal 280 mm di hadapan, cakera 240 mm di belakang, panel meter digital, dua suspensi belakang, tangki minyak 11.8 liter, berat 143.5 kg, tinggi tempat duduk 715 mm dan jarak roda 1,440 mm. Pilihan warna yang diberi pula adalah hitam dan merah.

Sebuah lagi model Keeway yang diperkenalkan, Patagonian Eagle menawarkan tunggangan lebih santai, dengan kuasa datang daripada enjin dua silinder 249 cc dan kotak gear lima kelajuan, menghasilkan 17.4 hp pada 8,000 rpm dan 16.5 Nm tork pada 6,000 rpm. Sistem bahan apinya juga adalah menggunakan karburetor, dan kuasa disampaikan ke tayar belakang oleh rantai.

Berat keseluruhan motosikal ini adalah 145 kg, dan dilengkapi dengan brek cakera 260 mm di hadapan, brek dram 130 mm di belakang, tangki minyak 12 liter, tinggi tempat duduk 695 mm, rim 18 inci di hadapan, 15 inci di belakang dan penyandar untuk penumpang belakang. Pilihan warna yang ada untuk motosikal ini adalah hitam matte dan merah matte.

Kesemua motosikal Keeway yang baru dilancarkan ini, walaupun sudah mempunyai harga seperti yang diberitahu di atas, walaubagaimanapun hanya akan berada di pasaran pada bulan Februari 2018.

GALERI: Keeway Cafe Racer 152


GALERI: Keeway K Light 202

GALERI: Keeway Patagonian Eagle

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required