PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

Di Malaysia, trend menukar sedan ke SUV kian menjadi-jadi. Apatah kini penawaran bagi SUV termasuk crossover atau pun yang berkapasiti tujuh-tempat duduk di pasaran tempatan kian bervariasi, memberikan kepelbagaian pilihan buat pengguna. Malah pengguna masa kini juga semakin bijak memilih.

Bukan setakat imej luaran dan dalaman serta praktikalitinya yang menjadi taruhan, bahkan elemen lain termasuk enjin, penjimatan bahan api dan aspek keselamatan yang ditampilkan pada sesuatu kenderaan ini sering kali menjadi pertimbangan. Adakah ia wajar menjadi pilihan, dan setimpal dengan harga serta pemilikannya.

Pengeluar kenderaan global yang bertapak di Malaysia juga banyak mempertaruhkan SUV keluaran mereka. Menyebut beberapa model SUV popular, antaranya Nissan X-Trail, Mazda CX-5, Subaru Forester, Hyundai Tucson, Kia Sorento, Volkswagen Tiguan, Peugeot 3008 dan Honda CR-V. Malah tidak lama lagi Toyota Malaysia bakal melancarkan SUV crossover C-HR, dijangka awal tahun hadapan, yang bakal bersaing dengan Honda HR-V, Subaru XV dan Mitsubishi ASX.

PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

Julai lalu, Honda Malaysia telah melancarkan model CR-V generasi kelima yang dinanti-nantikan para penggemarnya di sini. Apatah lagi dengan satu lagi penawaran varian enjin yang tidak pernah ditampilkan sebelum ini iaitu 1.5L turbo, setelah varian 2.4L digugurkan dari pasaran tempatan.

Seperti mana Civic 2016 yang turut dihadirkan dengan enjin 1.5L turbo yang paling banyak permintaannya, begitu juga dengan CR-V. Di mana varian enjin turbo ini telah memonopoli pasarannya di negara ini, menurut Honda Malaysia. Bagi enjin turbo ini, ia ditawarkan dengan tiga varian; 1.5TC-P 2WD yang merupakan varian tertinggi, selain 1.5TC AWD dan 1.5TC 2WD. Selain itu, ia hanya menawarkan satu enjin Naturally Aspirated (N/A) yang diletakkan sebagai varian paling asas iaitu 2.0L 2WD.

Setelah hampir tiga bulan dilancarkan, baru-baru ini Honda Malaysia telah membawa media permotoran tempatan untuk memandu uji CR-V 2017 ini, dengan beberapa sisi ujian pemanduan termasuk slalom di Putrajaya dan kemudian terus menuju ke selatan tanahair.

PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

Bersama CR-V 2017 ini dalam tempoh tiga hari, memberi peluang kepada penulis untuk mengamati perinciannya selain menikmati pengendaliannya. Ternyata apa yang dilakukan oleh Honda kali ini untuk model CR-V 2017 boleh dikatakan bukan ‘kecil-kecil anak’. Banyak inovasi yang dilakukan, serta perubahan dan pembaharuan untuk imej luaran dan dalaman, memberikan kesegaran yang lebih ‘sedap mata memandang’ buat SUV ini.

Kita bercerita dahulu mengenai imej luaran dan dalamannya, sebelum al-kisah enjin, pengendalian dan semua anak-beranak mekanikalnya dijadikan klimaks bagi ulasan ini.

CR-V generasi kelima ini sebenarnya memang pantas menarik pandangan mata, pastinya kerana mahu bersaing dengan model-model di bawah segmen yang sama, yang rata-ratanya menampilkan imej yang juga bersifat urban, agresif dan maskulin. Ia diterjemahkan dengan elemen yang serba sporty dengan gabungan imej yang diperkatakan pada perenggan di atas. Sekaligus mampu memikat penggemar SUV termasuk golongan muda untuk memilikinya.

Jika hendak bercerita mengenai imej bagi varian turbo sahaja, seakan ‘menganaktirikan’ model 2.0L N/A, jadi untuk adil lagikan saksama, kami ceritakan sekali lagi mengenai imej yang ditampilkan bagi kesemua varian (walau pernah diulas menerusi artikel pelancarannya dahulu).

Pada bahagian luaran barisan CR-V 2017 ini, ia dihiasi bar krom yang lebih besar pada gril atas bersama sememangnya membuatkan penampilan wajahnya lebih menonjol, berbanding generasi sebelum ini. Bahkan kehadiran lampu utama projektor dinamik LED turut memberikan kelebihan buat CR-V 2017 ini. Untungnya varian tertinggi, 1.5TC-P 2WD menerima Advanced LED sepenuhnya, bahkan ia juga disertakan dengan Auto High Beam dan Active Cornering Light.

Selain pada lampu utama, Honda turut memilih teknologi LED bagi lampu nyalaan siang, lampu isyarat membelok, lampu belakang dan lampu brek bagi semua varian.

Bahagian sisinya pula, garisan lekuk bagi aero dinamik seakan menjadi hiasan walau pun ia sebenarnya membantu daripada segi prestasi kenderaan. Selain itu, turut dihadirkan dengan padanan rim baharu bersaiz 18-inci untuk kesemua varian turbo, dan 17-inci buat 2.0 N/A.

PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

Melewati bahagian belakangnya pula, sedikit sentuhan berbeza turut diberikan, dengan menampilkan lampu belakang LED dengan rekaan gabungan menegak dan melintang pada bahagian bawah, bersambung pula pada pintu tailgate.

Untuk varian tertinggi 1.5 TC-P, dihadirkan dengan pintu tailgate berkuasa, dan butang kawalan operasi bagi lain-lain varian. Di mana butang pembuka pintu tailgate direndahkan lagi bagi memudahkan ia dibuka, membawa sekali ruang nombor pendaftaran dan kamera undur ke posisi lebih rendah.

Selain itu, varian turbo didatangkan dengan dua corong tip ekzos krom seperti mana yang turut ditampilkan pada model Civic turbo 2016, manakala ekzos tunggal untuk varian 2.0 N/A.

Tidak lengkap rasanya jika bahagian kabin tidak menerima sentuhan yang lebih segar. Bahkan untuk barisan CR-V 2017 ini, perubahan ketara turut dilakukan pada kabinnya. Bila memasuki kabin sesuatu kenderaan, bahagian papan pemuka antara elemen terdahulu yang akan diperhatikan. Untuk bahagian panel papan pemuka CR-V 2017 ini, ia menerima sentuhan gaya yang lebih elegan, apabila material kulit sentuhan lembut berwarna hitam dengan kekemasan kayuan menjadi pilihan bagi varian turbo, tona perak untuk varian 2.0L 2WD.

PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

Gaya yang elegan turut menjalari bahagian konsol tengah yang cukup senada. Paling menarik, kabin CR-V 2017 kini dilengkapi dengan konsol pelbagai-guna yang versatil dengan tiga mod pelarasan termasuk mampu memuatkan beg tangan sederhana besar atau komputer riba bersaiz 13-inci di dalamnya.

Malah untuk berlaku adil dan saksama, Honda turut memberikan kepelbagaian elemen dalaman secara standard untuk semua varian. Ini termasuklah panel instrumen LED, brek parkir elektronik dan penahan brek auto, pendingin hawa auto dwi-zon dengan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, kemasukan tanpa kunci, butang Push Start dan skrin sesentuh audio tujuh-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto serta lapan-pembesar suara.

Bukan itu sahaja, kesemua varian turut menerima tempat duduk separa kulit bersama lapan-talaan kuasa untuk pemandu dan empat-talaan bagi penumpang hadapan.

Jika duduk di ruang tempat duduk penumpang di belakang, terasa agak luas juga berbanding model sebelum ini. Ini didorong oleh perubahan dimensi di mana lebarnya ditambah sebanyak 35 mm berbanding model sebelum ini, kini 1,855 mm. Begitu juga dengan ketinggiannya, kini 1,689 mm (+4 mm) dan jarak roda pula 2,660 mm (+40 mm). Namun panjangnya telah dikurangkan sebanyak 6 mm berbanding model sebelumnya, kini 4,584 mm.

Dengan perubahan dimensi ini turut memberikan kelebihan pada ruang kaki yang kini 90 mm lebih luas mengundang lebih keselesaan. Manakala bahagian kargonya berkapasiti 522 liter dan mampu mencecah sehingga 1,084 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dilipat rata, iaitu 250 mm lebih luas berbanding model terdahulu.

Kalau cerita bab ruang kargo, C-RV ini tak boleh menandingi kapasiti yang ada pada pesaing terdekatnya, Nissan X-Trail 2.5L 4WD yang menampilkan keluasan sehingga 550 liter dan mampu mencapai 1,520 liter jika tempat duduk belakang dilipat rata. Tetapi CR-V masih melebihi satu lagi pesaing terdekatnya, Mazda CX-5 yang memiliki keluasan kargo 442 liter dan 1,342 liter dengan tempat duduk belakang dilipat rata.

CR-V 2017 juga dilengkapi dengan Walk Away Auto Lock, di mana kenderaan boleh dikunci sendiri apabila pemandu (atau yang menyimpan kunci kenderaan ini) berjalan dalam jarak 1.5 m dari kenderaan ini. Sistem ini sama seperti yang ditampilkan pada Civic 2016.

PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

Kita masuk pula bab prestasi dan pengendaliannya. Sepanjang sesi pandu uji ini, penulis hanya berpeluang memandu varian 1.5TC-P 2WD. Mungkin ada yang beranggapan, enjin 1.5 liter Turbo yang digandingkan adalah sama dengan Civic versi Turbo. Sebenarnya ia ‘sama tapi tak serupa’. Ia bermaksud enjin VTEC turbo bagi CR-V telah diberi talaan yang berbeza atas faktor perbedaan saiz dan bentuknya.

Bagi CR-V ini, ia diberikan hamburan kuasa sehingga 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 Nm pada 2,000 rpm. Berbanding 171 hp pada 5,500 rpm dan tork 220 Nm pada 1,700 rpm bagi Civic. Jurang yang agak besar dan ketara. Walau bagaimana pun, transmisinya masih sama iaitu CVT.

Sememangnya mengendalikan CR-V 2017 ini memang lebih menguja terutamanya dengan versi turbo, ia seakan mampu menandingi enjin 2.4 liter pada model terdahulu, tetapi terasa lebih cekap dan optimum. Malahan sekiranya mahu memecut dari keadaan pegun (contohnya di lampu isyarat), biarpun habis pedal minyak ditekan, namun tidak terasa terbeban, malah ia agak pantas memberikan respon seperti mana yang kita mahu.

PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

Honda juga ada membuat sedikit peningkataan talaan pada stereng kuasa CR-V, di mana ia terasa lebih ringan dengan kawalan yang lebih mudah dan tepat. Ketika melalui jalan berliku, memang seronok memacu CR-V ini biar pun ada sedikit terasa bumpy. Namun prestasi dan pengendaliannya menutupi kekurangan yang ada.

Sedikit kekurangan yang dapat dikesan, selain bumpy, bunyi enjin dan bising dari luar (termasuk bunyi seretan tayar) boleh menyerap masuk ke dalam kabin, terutamanya kenderaan dalam kelajuan tinggi. Walau bagaimana pun, ia tidak begitu ketara sehingga mengganggu konsentrasi pemanduan.

Bagi penggunaan bahan apinya pula, menurut Honda, untuk varian turbo, ia mampu mencapai 7 liter bagi setiap 100 km.

PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

Untuk varian tertinggi ini, ia dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif Honda Sensing, pertama kali buat model CR-V. Ini adalah termasuk ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM).

Sememangnya dengan adanya sistem keselamatan canggih ini, ia banyak memberikan kemudahan dan meningkatkan kepekaan buat pemandu. Walau bagaimana pun, usah bergantung seratus-peratus dengan teknologi ini. Sebagai pemandu, kita harus sentiasa peka dan pantas bertindak sekiranya berhadapan dengan sesuatu situasi di jalan raya.

Ada satu situasi yang benar-benar menguji kecekapan sistem ini, sewaktu konvoi CR-V 2017 merentasi merentasi jalan kampung di daerah Desaru. Dengan kelajuan yang sedikit tinggi, tiba-tiba ada sekumpulan lembu memasuki kawasan jalan. Membuatkan kereta yang dipandu media di hadapan terpaksa membrek secara mengejut.

PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

Malahan kecekapan yang ada pada salah satu elemen Honda Sensing iaitu CMBS teruji. Ia juga mampu bertindak membrek kenderaan secara automatik sekiranya pemandu tidak memberikan tindak balas tepat pada waktunya dalam keadaan berisiko untuk perlanggaran.

Turut dibantu oleh ciri keselamatan aktif termasuk ABS, EBD dan Isyarat Berhenti Kecemasan iaitu hazard light akan menyala secara automatik menandakan kecemasan. Sekaligus memberikan gabungan terbaik bagi sistem brek buat SUV ini.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Pengendalian Tangkas (AHA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan Honda LaneWatch Camera sebagai ciri standard untuk semua varian.

Sebagai pengetahuan, Honda Sensing adalah sistem keselamatan yang terdiri daripada tiga bahagian utama iatu ciri bantuan pemanduan, penghindaran perlanggaran sisi serta penghindaran perlanggaran secara berdepan. Ia dikendalikan menggunakan dua peranti; kamera monokular yang terletak berdekatan bahagian cermin pandang belakang, serta milimeter wave radar pada bahagian depan iaitu di bawah logo pada gril.

PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

Selain CMBS, sistem ACC dan LSF berfungsi untuk memudahkan pemandu untuk memandu secara cruising. Kedua-dua sistem ini membolehkan CR-V 2017 membrek dan memecut kembali pada kelajuan yang telah ditetapkan pada sistem Kawalan Kelajuan secara automatik dan ia boleh berfungsi bermula dari keadaan trafik berhenti dan bergerak, sehingga pada kelajuan 180 km/j.

Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan sistem FCW yang membantu pemandu mengelakkan kemalangan yang akan berlaku pada bahagian hadapan. Sistem FCW akan mengeluarkan amaran sekiranya kenderaan dikesan ada potensi berlakunya pertembungan kerana jarak dengan kereta depan yang semakin hampir.

Selain dari bahagian hadapan, Honda Sensing juga turut memberikan perhatian terhadap keselamatan bahagian sisi kenderaan. Oleh itu sistem LKAS, RDM dan LDW yang bergabung bagi meminimakan risiko kemalangan yang akan berlaku pada bahagian sisi.

Sistem LDW dibina untuk mengesan garisan jalan pada kedua-dua sisi kenderaan, dan ia akan memberikan amaran kepada pemandu secara memberikan amaran visual serta getaran pada stereng sekiranya kenderaan dikesan melewati garis jalan tanpa memberikan lampu isyarat membelok terlebih dahulu.

PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

Untuk sistem LKAS pula, ia akan melaras semula arah stereng (menerusi sistem stereng kuasa bantuan elektrik) untuk memastikan kenderaan kekal pada lorongnya. Sistem ini menggunakan kamera yang diletakkan pada sisi kenderaan bagi mengesan tanda-tanda pada permukaan jalan raya sebagai penderia untuk mengesahkan kedudukannya.

Sistem RDM pula beroperasi ketika kenderaan dipandu pada kelajuan 72 km/j hingga 180 km/j. Ia akan diaktifkan sekiranya kenderaan menghampiri sisi jalan, di mana roda stereng akan bergetar untuk untuk memberikan amaran kepada pemandu agar mengekalkan kedudukan kenderaan pada lorong. Sekiranya pemandu tidak membuat sebarang tindakan dan kenderaan mula keluar dari lorong, sistem VSA akan diaktifkan untuk mengembalikan kenderaan pada kedudukannya.

Honda turut mendatangkan sistem yang mengembalikan kepekaan pemandu yang digelar ‘Driver Attention Monitor’. Sekiranya sistem ini mengesan pemanduan terganggu yang mungkin disebabkan pemandu mengantuk, ia akan mengeluarkan bunyi dan indikator pada skrin informasi.

Dek sarat dengan pelbagai elemen keselamatan, barisan CR-V 2017 ini juga telah menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP.

Bagi varian 2WD ini memang cukup sesuai untuk kegunaan urban, tetapi bagi versi 4WD pula, jika ada yang ‘sampai hati’ untuk melenjannya di laluan off-road tahap sederhana, boleh juga. Jarak kelegaan tanah bagi CR-V 2017 ini dipertingkatkan sehingga mencecah 198 mm (2WD) dan 208 mm (4WD) berbanding model terdahulu yang hanya 170 mm. Ternyata ia lebih baik berbanding Mazda CX-5 (192 mm), Kia Sorento (185 mm) tetapi tidak dapat menandingi Nissan X-Trail (210 mm).

Dengan penawaran harga atas jalan RM167,700 bagi 1.5 TC-P ini, ia dilihat sebagai pemilihan dan pemilikan yang berbaloi. Walau pun harganya sedikit tinggi berbanding dua pesaing terdekatnya iaitu Mazda CX-5 2.5L 2017 (RM161k) dan Nissan X-Trail 2.5L (RM159k). Malah dalam barisan CR-V 2017, varian turbo memonopoli jualannya iaitu merangkumi 75% secara keseluruhan (data sehingga 4 Okt 2017).

Namun, adakah ciri-ciri yang disebut ini mampu mengekalkan kedudukan CR-V dalam mendahului segmennya? Bagaimana dengan anda, jika memiliki bajet yang mencukupi, adakah anda akan memilihnya?

GALERI: Honda CR-V 1.5TC-P 2WD

GALERI: Honda CR-V 1.5TC 2WD

GALERI: Honda CR-V 2.0L 2WD bersama pakej aksesori Modulo

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • ziggie on Oct 18, 2017 at 3:51 am

    overall a great car but the local assembly QC is questionable. cushion cover hooks easily breaks

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required