Tahun ini, genap 100 tahun Mitsubishi Motors bergelumang di dalam industri automotif, setelah kereta pertamanya di gelar Model A diperkenalkan pada tahun 1917. Bagi meraikan ulangtahun berkenaan, Mitsubishi menerusi West Coast Custom akan membina sebuah Model A yang dijana oleh teknologi plug-in hybrid dari SUV Mitsubishi Outlander, digelar Mitsubishi Re-Model A.
Idea ini bagi menunjukkan bagaimana jenama dari Jepun tersebut berevolusi dari kenderaan pertamanya iaitu Model A sehingga teknologi paling maju yang dikecapi mereka yang telah dicurahkan pada Outlander PHEV. Projek ini dijalankan oleh West Coast Custom di fasiliti mereka yang terletak di California, Amerika Syarikat dengan menggabungkan sebuah Model A sebenar, dengan kerangka utama Outlander PHEV.
Kerangka tersebut turut menempatkan unit janakuasa plug-in hybrid Outlander yang terdiri dari enjin MIVEC 2.0 liter berkuasa 118 PS/186 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 60 kW/137 Nm di gandar hadapan serta motor lebih besar berkuasa 60 kW/195 Nm di gandar belakang – menjadikan ia sebuah SUV pacuan semua roda sebenar dan dikawal sistem Super All-Wheel Drive.
Walau bagaimanapun, projek ini masih belum siap dan ianya akan didedahkan sepenuhnya pada siri televisyen Inside West Coast Custom yang akan ke udara di saluran Velocity, Amerika Syarikat pada November ini. Ia juga akan di bawa ke Los Angeles Auto Show dan diletakkan di booth Mitsubishi bagi membuat kemunculan sulungnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.