Porsche 718 GTS ditampilkan – Cayman dan Boxster

Porsche 718 GTS ditampilkan – Cayman dan Boxster

Porsche telah memperkenalkan model baharu 718 Boxster GTS dan 718 Cayman GTS, kedua-duanya menawarkan prestasi tahap tertinggi jika dibandingkan dengan varian S dan asas bagi model semasa.

Model GTS enjin-pertengahan dijanakan oleh unit petrol 2.5 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 365 PS dan torque 430 Nm. Enjin ini menghasilkan lebih kuasa sebanyak 15 PS dan 10 Nm berbanding model 718 S, dan lebih 35 PS dan 60 Nm berbanding model 981 GTS generasi terdahulu.

Ia juga ditawarkan sama ada transmisi manual enam-kelajuan atau Porsche Doppelkupplung (PDK) tujuh-kejaluan, dan model 718 GTS juga didatangkan secara standard dengan Sport Chrono Package, Porsche Torque Vectoring (PTV) bersama pengunci mekanikal belakang dan Porsche Active Suspension Management (PASM), dengan kerangka yang direndahkan sebanyak 10 mm.

Bagi prestasinya, model GTS dengan PDK mampu dipacu dari pegun ke 100 km/j dalam hanya 4.1 saat, satu persepuluh lebih pantas berbanding 718 S. Bagi kelajuan maksimumnya, kedua-dua model ini mampu mencecah 290 km/j, iaitu lebih 5 km/j.

Model GTS juga ditampilkan dengan apron hadapan Sport Design baharu untuk membezakannya dari model 718 biasa, di samping lampu utama dan lampu belakang dengan lapisan gelap. Elemen hitam juga banyak ditampilkan pada logo, apron belakang, roda 20-inci dan paip ekzos yang dipasang di tengah dengan sistem ekzos sport standard.

Di dalamnya, GTS juga dipadankan dengan tempat duduk sport Alcantara dengan menampilkan logo GTS yang disulam pada perehat kepala. Malah ia turut didatangkan dengan roda stereng balutan Alcantara dan stopwatch iaitu sebahagian daripada Sport Chrono Package standard. Porsche Track Precision App (PTPA) juga turut ditampilkan, yang membolehkan pemandu merakam, memapar dan menganalisa data pemanduan secara automatik menerusi telefon pintar.

Harga bermula dari 76,137 euros (RM379,311) untuk 718 Cayman GTS, sementara 718 Boxster GTS pula berharga 78,160 euros (RM389,390), dan kedua-duanya dibuka tempahannya di Jerman dan akan mula diproduksi pertengahan Disember 2017.



Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required