Audi A7 Sportback 2018 – semua model dijana hibrid

Audi A7 Sportback 2018 – semua model dijana hibrid

Audi akhirnya telah mendedahkan A7 Sportback generasi kedua, yang menampilkan banyak teknologi bantuan pemandu terkini jenama itu, seperti yang digunakan pada model Audi A8. Pada aspek rupa, A7 ini mengekalkan bentuk Sportback seperti sebelum ini, tetapi bahagian lain kebanyakannya adalah baru.

Pada muka hadapannya, gril Singleframe unik Audi kini lebih lebar dan terletak lebih rendah berbanding A8, manakala lampu utamanya pula lebih kemas. Ia boleh didapati dalam tiga versi iaitu LED, Matrix LED dan Matrix LED dengan lampu lazer. Bagi dua lampu Matrix tersebut, ia menggunakan 12 baris LED tersendiri dengan lampu dinamik. Pencahayaan biasa (lampu rendah) dilakukan oleh projector LED berkembar manakala teknologi lazer pula digunakan untuk lampu tinggi.

Keseluruhan bahagian belakang adalah baru, dan menurut Audi, ia dibentuk untuk kelihatan seperti kapal layar. Di dalam penutup but tersebut terdapat spoiler elektronik yang boleh naik secara automatik pada kelajuan 120 km/j (seperti model TT). Lampu belakang yang lebih panjang kini menampilkan unit LED dengan beberapa variasi pencahayaan.

Audi A7 Sportback 2018 – semua model dijana hibrid

Audi menawarkan sehingga 15 pilihan warna untuk kenderaan ini, dan lapan daripadanya adalah baru – dengan saiz rim sehingga 21 inci. Dimensi A7 baru ini hampir sama seperti model sebelum ini – panjang 4,969 mm (sama seperti sebelum ini), lebar 1,908 mm (-3 mm), tinggi 1,422 mm (2 mm lebih rendah) dan jarak roda 2,926 mm (-12 mm). Seperti biasa, pakej S Line disediakan sebagai pilihan, dengan kemasan hitam berkilat pada gril, salur udara hadapan, tepi serta diffuser.

Walaupun bahagian luar kelihatan hampir sama, bahagian kabin pula melihatkan perubahan yang lebih jelas. Kini A7 baru mempunyai roda stereng tiga cabang yang dibalut kulit, siap dengan butang kawalan, Audi Virtual Cockpit dengan skrin 12.3 inci, serta pad sesentuh untuk mengawal ciri tertentu, menggantikan tombol pada model sebelum ini.

Bahagian tengah papan pemuka kini menempatkan dua skrin sesentuh – yang di atas berukuran 10.1 inci dan disengetkan ke arah pemandu supaya mudah dilihat dan boleh ‘lenyap’ apabila ditutup. Di bawah pula terdapat skrin sesentuh 8.6 inci untuk mengawal suhu, pemanas tempat duduk, lane keep assist dan ciri start/stop enjin. Ia juga boleh diguna sebagai pad sesentuh untuk memasukkan input teks. Di bawah padanya anda boleh melihat penukar gear elektronik.

Radio MMI datang secara standard, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada MMI Navigation dan MMI Navigation Plus dengan sedikit bayaran tambahan. Pengguna juga disediakan dengan empat pilihan sistem bunyi – paling tinggi adalah Bang & Olufsen Advanced Sound System dengan bunyi 3D.

Semasa pengenalannya, A7 ditawarkan dengan enjin V6 3.0 liter twin-turbo yang berkuasa 340 hp dan 500 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi tujuh kelajuan S Tronic dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j. Semua enjin yang ditawarkan pada A7 ini akan mendapat bantuan tenaga elektrik melalui sistem MHEV (mild hybrid).

Dalam sistem hibrid MHEV ini terdapat sistem elektrikal 48 volt, dan menurut Audi, ia boleh menurunkan penggunaan bahan api sebanyak 0.7 l/100 km, sekaligus menjadikan tahap penggunaan bercampur 6.8 l/100 km. Enjin lain yang akan ditawarkan seterusnya adalah termasuk empat silinder, enam silinder, petrol dan diesel. Model S dan RS pula akan ditawarkan dengan enjin V8 4.0 liter twin turbo.

Audi A7 Sportback 2018 – semua model dijana hibrid

Pelanggan juga boleh memilih empat tetapan suspensi; hidraulik biasa dengan spring besi, suspensi sport (lebih rendah 10 mm), penyerap kawalan elektronik atau suspensi udara adaptif. Tindak balas stereng juga mempunyai nisbah yang lebih pantas, dan boleh menjadi lebih pantas dalam mod Sport. Pilihan lain yang disediakan adalah stereng semua roda, Electronic Chassis Program (ECP) dan sports differential.

Akhir sekali, A7 Sportback turut dilengkapi dengan Audi AI, yang dibahagikan kepada tiga pakej; Audi AI Parking Pack, City Assist Pack (dengan ciri Crossing Assist) dan Tour Assist Pack (lengkap dengan Efficiency Assistant dan Adaptive Driving Assistant). Pemilik juga boleh meletakkan A7 dengan hanya menggunakan aplikasi telefon. Bergantung kepada varian, kereta ini boleh dilengkapi sehingga lima pengesan radar, lima kamera, 12 pengesan ultrasonik dan pengimbas lazer.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required