Kilang Holden di Australia tutup, akhiri produksi jenama tempatan berkenaan selepas 161 tahun

Kilang Holden di Australia tutup, akhiri produksi jenama tempatan berkenaan selepas 161 tahun

Hari ini, 20 Oktober 2017 merupakan hari dengan sejarah pahit buat rakyat Australia, khususnya buat peminat automotif di sana kerana jenama yang berasal dari negara berkenaan – Holden – secara rasmi telah menutup operasi kilang di tanah kelahirannya, sekaligus menamatkan operasi produksi selama 161 tahun. Kereta terakhir yang keluar dari kilang Elizabeth jenama tersebut iaitu sebuah Holden Commodore SS-V Redline berwarna merah pada pukul 10.45 pagi tadi (waktu Australia) akan disimpan oleh Holden sendiri sebagai salah sebuah kereta dalam koleksi warisan sejarah syarikat tersebut, menurut laporan CarAdvice.

Untuk pengetahuan anda, jenama ini telah diasaskan oleh James Alexander Holden pada 1856, tetapi ketika itu syarikat tersebut merupakan pengeluar bagi produk-produk kulit dan pelana. Ia terus berkembang sebagai pembuat side car untuk motosikal dan membuat kerangka badan kereta pada tahun 1905, dan kemudian membekalkan kereta tram untuk Melbourne pada era 20’an.

Pada tahun 1924, Holden mula menjadi pengedar kenderaan dari Amerika, General Motors di Australia. Manakala pada 1931, General Motors dan Holden digabungkan bagi membentuk General Motors-Holden’s Limited (GM-H). Holden mula mengeksport keretanya ke New Zealand pada tahun 1953 dan syarikat tersebut benar-benar menyerlah pada tahun 1958 apabila 40 peratus dari keseluruhan kereta di Australia adalah dari Holden

Kilang Holden di Australia tutup, akhiri produksi jenama tempatan berkenaan selepas 161 tahun

Holden memperkenalkan model FB pada tahun 1960, dan ia merupakan Holden pertama yang turut di bina dalam versi pemanduan sebelah kiri. FB merupakan produk global Holden yang dieksport ke Afrika, Asia Tenggara, Timur Tengah dan juga Kepulauan Pasifik. Dua tahun kemudian, Holden mencatatkan produksi melebihi satu juta unit bagi kenderaan di Australia dan juga di seluruh dunia.

Holden terus kekal jenama yang mendominasi pasaran Australia sepanjang era 70’an dengan barisan kereta-kereta dengan enjin enam- dan lapan-silinder, walaupun Toyota telah mula menyerang pasaran tersebut dan Ford Australia mula membina model Falcon. Namun, penguasaan Holden dilihat mula jatuh pada era 80’an di mana jualan Ford Falcon mula mengatasi jualan Holden Commodore untuk enam tahun bertutur-turut (1980-1986).

Walaupun Holden dilihat kembali mendaki pada separuh dekad era 80’an, jenama tersebut kemudian diancam pula oleh Toyota pada era 90’an. Walau bagaimanapun, model Commodore masih lagi gagah pada ketika itu, di mana VT Commodore yang diperkenalkan pada tahun 1997 merupakan model Commodore paling berjaya dengan jumlah jualan melebihi 300,000 unit dalam masa tiga tahun.

Kilang Holden di Australia tutup, akhiri produksi jenama tempatan berkenaan selepas 161 tahun

Detik kejatuhan Holden benar-benar dapat dilihat pada era Y2K apabila bahagian pasarannya jatuh 15% pada tahun 2006, setelah pelaburan sebanyak $400 juta di buat pada kilang enjin V6 miliknya yang terletak di Port Melbourne (kilang tersebut telah ditutup sepenuhnya tahun lalu).

Kedudukan Holden semakin meruncing ketika era Krisis Kewangan Dunia yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang menjejaskan jualan eksportnya, seterusnya memburukkan lagi keadaan kewangan syarikat tersebut. Akhirnya, VF Commodore yang dilancarkan pada tahun 2013 disahkan sebagai Commodore terakhir yang akan dihasilkan di Australia.

Walaupun kilang produksi Holden di Australia ditutup, jenama tersebut masih lagi wujud di negara asalnya. Sebanyak 20 model-model baharu dirancang untuk diperkenalkan sebelum tahun 2020, dan kereta-kereta tersebut akan diimport dari kilang-kilang GM lain di luar Australia. Selain Holden, kilang Ford Australia yang telah beroperasi selama 91 tahun juga telah ditutup tahun lalu, diikuti kilang Toyota Altona pada awal bulan ini menamatkan operasi produksi Toyota selama 54 tahun di negara berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required