Berikutan isu video yang tular di laman sosial menyatakan sebuah stesen minyak Petronas yang didakwa telah menipu sukatan atau mnggunakan pam minyak yang tidak diselenggara dengan betul menjadikan jumlah petrol yang dipam tidak tepat seperti yang tertera di skrin, syarikat petroleum nasional berkenaan telah menjelaskan perkara tersebut semalam.

Menerusi video tular berkenaan, seorang pelanggan mendakwa pam dari stesen Petronas tersebut tidak mengeluarkan jumlah petrol yang sepatutnya seperti yang dibayar. Untuk membuktikannya, pelanggan berkenaan meminta seorang petugas stesen tersebut untuk menuang petrol dari pam berjumlah RM 10 ke dalam sebuah baldi dan mendakwa jumlah petrol tersebut tidak sama seperti yang dibayar.

Menurut Petronas dalam satu kenyataan yang disiarkan pada laman Facebook miliknya, pihak mereka sentiasa mengambil berat maklum balas dari pihak pelanggan, dan bagi melindungi hak pelanggan, mereka mengalu-alukan kehadiran penguatkuasa KPDNKK dan Metrology Corporation Malaysia Sdn.Bhd (MCM) iaitu syarikat yang memberi perkhidmatan tentusahan dan tentusahan semula semua alat timbang dan sukat yang digunakan untuk perdagangan seperti yang termaktub di bawah Akta Timbang Dan Sukat 1972.

Hasil dari ujian yang dijalankan oleh KPDNKK dan MCM, pam yang didakwa rosak di stesen Petronas Simpang Pulai Arah Selatan berkenaan disahkan tepat dan tidak ada percanggahan dalam kuantiti bahan bakar.

Berikut adalah kenyataan penuh dari Petronas:

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pihak kami sentiasa mengambil berat setiap maklum balas dari para pelanggan terutamanya aduan yang tidak berasas seperti insiden yang melibatkan stesen PETRONAS Simpang Pulai Arah Selatan yang telah tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp. Bagi melindungi hak para pelanggan, pihak kami mengalukan-alukan kehadiran penguatkuasa KPDNKK dan Metrology Corporation Malaysia Sdn.Bhd untuk menjalankan ujian di stesen PETRONAS yang terlibat. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak berkuasa berkenaan telah mengesahkan bahawa tidak ada percanggahan dalam kuantiti bahan bakar seperti yang didakwa.

Kami berharap perkara di atas menjelaskan perkara ini dan kami memohon kerjasama anda untuk tidak menyebarkan aduan palsu ini.
Untuk sebarang aduan atau maklumat, hubungi ejen khidmat pelanggan kami di talian hotline 1-300-88-8181 atau email mesralink@petronas.com.my.