Pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) telah mengumumkan bahawa kadar pertumbuhan bagi jualan kereta dan motosikal dalam kategori A, B dan D pada tahap sifar bermula Februari 2018. Ketika ini, kadar pertumbuhan berkenaan berada pada tahap 0.25%. Menurut Todayonline, had terakhir yang dilakukan sebelum ini ialah pada Februari 2015 – separuh daripada 0.5% kepada 0.25%. Kadar pertumbuhan kenderaan itu akan dinilai semula pada 2020.
Had bagi kadar pertumbuhan itu, menurut LTA, adalah disebabkan kekangan keluasan tanah dan kerja-kerja penambahbaikan terhadap sistem pengangkutan awam. Ketika ini, 12% daripada permukaan tanah di pulau itu terdiri daripada jalan raya, sebaliknya rangakaian jajaran keretapi telah meningkat sebanyak 30% dalam tempoh enam tahun lalu. Projek baru turut giat dijalankan, misalnya menambah bilangan bas pada laluan baru.
Bagaimanapun, kadar pertumbuhan bagi kenderaan kategori C (bas dan kenderaan perdagangan) kekal pada 0.25% sehingga 2021. Ini bagi memberi masa yang lebih kepada pemilik perniagaan untuk mempersedia dan mempertingkat kecekapan operasi logistik mereka – termasuk mengurangkan bilangan kenderaan perdagangan yang diperlukan.
LTA menjangkakan langkah ini tidak akan memberi kesan terhadap pembekalan Certificate of Entitlement (COE), yang ditentukan sebelum ini melalui jumlah kenderaan yang digugurkan pendaftarannya. Langkah ini akan membolehkan COE yang dikeluarkan menepati jumlah kenderaan yang digugurkan pendaftarannya, dengan mengambil kira pertumbuhan sifar terbabit. Bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud bahawa jualan kenderaan di Singapura akan diberhentikan.
Bagi pengeluaran COE pula, difahamkan kuota bagi November 2017 hingga Januari 2018 akan menguncup sebanyak 5.3% dari suku semasa tahun ini – kepada hanya 25,913 selepas digabungkan bagi semua kategori kenderaan. Bekalan sijil bagi kategori A (kereta kecil hingga 1,600 cc), C dan kategori terbuka semuanya akan terkesan dengan langkah ini.
Tetapi, bagi kategori B (kereta besar 1,600 cc ke atas) menyaksikan kenaikan sebanyak 7% kepada 8,246, sementara kategori D (motosikal) akan melonjak dari 2,862 kepada 3,053 (naik 6.67%). Walaupun memiliki kenderaan masih menjadi aspirasi bagi sesetengah orang, penting juga untuk ambil maklum bawaha dengan langkah ini, harga kenderaan mungkin akan lebih tinggi. Ini akan memaksa lebih ramai orang mengambil pilihan yang lebih ekonomikal – guna pengangkutan awam.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.