PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

Perodua bukanlah sebuah nama yang asing di Malaysia, sangat popular dalam kalangan pengguna di sini serta kerap mempelopori kedudukan pertama bagi jumlah jualan kenderaan paling banyak – bukan sekali-sekala, tetapi secara konsisten untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Dan, model kereta kompak Perodua Axia menjadi penyumbang terbesar bagi pencapaian dan populariti berkenaan. Bagi sembilan bulan pertama 2017 sahaja, Axia telah mencatatkan angka jualan sebanyak 48,700 unit daripada jumlah keseluruhan 151,600 unit. Ini sudah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan keberhasilan model berkenaan kepada syarikat – hampir satu pertiga jualan kesuluruhan adalah dari Axia.

Dan, sebelum kita terlupa, Axia menjadi model pertama yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada rancangan transformasi syarikat itu – ia bukan lagi sebuah model yang berasal dari model sedia ada Daihatsu, ditukarkan lencananya dan kemudian dipasarkan di sini. Bermula dengan Axia, Perodua sudah mengorak langkah baru.

Model berkenaan memperlihatkan kemampuan pereka dan jurutera tempatan untuk menghasilkan rekaan serba baru, dengan mengambil kira jangkaan pengguna tempatan dan bukan lagi sekadar membawa masuk model dengan pendekataan rekaan dari Jepun semata-mata. Dengan status EEV, Axia kini terbukti mampu menepati selera dan keperluan orang kebanyakan di sini – dengan nilai yang sangat baik ditawarkan.

PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

Itu cerita pada September 2014. Pada Julai 2016 pula, kira-kira dua tahun selepas pengenalan Axia, sebuah lagi model baru diperkenalkan; lanjutan daripada rekaan kereta kompak itu, Perodua melancarkan pula versi sedan yang dibangunkan berdasarkan model popular berkenaan, yang hari ini kita kenali sebagai Perodua Bezza.

Model sedan ini juga meneruskan pendekatan di bawah perancangan transformasi yang sama; menampilkan rekaan anak tempatan dengan lebih menyeluruh dan telah jauh meninggalkan kerja-kerja yang sekadar melakukan rebadge pada kenderaan Daihatsu seperti diawal operasi syarikat itu dahulu.

Usaha itu adalah sesuatu yang sangat baik dan wajar diberi sokongan. Dan, memang itulah yang telah ditunjukkan oleh pelanggan mereka di sini – Bezza turut mendapat sambutan hangat, dengan pakej nilai yang sangat menepati keperluan dan poket golongan marhaen.

Jika model kompak Axia ditawarkan dengan satu pilihan enjin sahaja dengan kapasiti 1.0 liter, Bezza pula dihadirkan dengan dua pilihan enjin, iaitu 1.0 liter bagi model asasnya dan 1.3 liter bagi varian yang lebih tinggi. Manakala model Myvi pula menemui penggunanya dengan penawaran kapasiti enjin 1.3 liter dan juga 1.5 liter.

Pecahan segmen bagi model-model Perodua memang sangat jelas. Namun, untuk sekian lama sejak mula diperkenalkan pada tahun 2005, Myvi menjadi satu-satunya penawaran bagi kenderaan segmen B oleh pengeluarnya, mendepani pasaran yang jauh lebih rencam dengan pilihan yang sangat pelbagai (dan sudah mencapai jumlah pengeluaran satu juta unit beberapa bulan lalu).

Sedangkan bagi segmen A Perodua sudah “menyalin” penawarannya dengan dua pengenalan model baru, Myvi kekal di dalam barisan berkenaan. Tapi bukan untuk tempoh lama; ia kini akan diganti oleh sebuah model serba baru dengan pengenalan awalnya sebagai New Standard Compact (NSC) atau dengan kod nama D20N.

Model terbaru ini menjadi pelengkap kepada pelan transformasi Perodua yang pernah dicanang dahulu. Tiga model paling baru – yang dibangunkan melibatkan kepakaran tempatan dengan lebih menyeluruh – yang dijanjikan sebelum ini terlunas dengan pengenalan model gantian, atau sebetulnya model lanjutan kepada Myvi yang kita kenali selama ini. Ia adalah sebuah evolusi terhadap model kompak kegemaran ramai rakyat Malaysia, yang kini tampil serba baru.

Sekarang, elok kita masuk lebih mendalam dan mendekati model baru ini dengan lebih terperinci. Jika Myvi terdahulu diasaskan daripada model Daihatsu Boon, Myvi baru ini pula tidak lagi berada di bawah bayang-bayang yang sama. Bahkan, tidak berlebihan jika dikatakan ia tidak lagi dibayangi keseluruhannya oleh syarikat yang telah menjadi rakan usahasama Perodua bagi tempoh 24 tahun itu.

PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

Ini kerana, perkara yang masih di”pinjam” dari Daihatsu hanyalah platform yang digunakan. Itu pun, ia tidak diambil dan digunakan “seketul-seketul” terus. Menurut Ketua Jurutera Perodua, Albert Ngu, 70% daripada binaan platform berkenaan telah diperkemas dan disesuaikan khusus untuk kegunaan model Myvi baru ini.

Selebihnya, apa yang dapat kita lihat pada model produksinya adalah hasil kerja dan curahan tenaga anak watan Malaysia sendiri, terutama dari aspek reka bentuk luaran yang dizahirkan ini. Ia sama sekali bukan rekaan yang diwarisi dari Daihatsu mahupun Toyota – bahagian badan luaran (upper body) Myvi terbaru ini dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran tempatan tanpa ada lagi penglibatan orang asing.

Ok, kini tentunya sudah banyak perkara yang kita tahu tentang Perodua Myvi 2018 yang baru saja dilancarkan ini. Dengan senarai penawaran yang boleh dikatakan sangat mengkagumkan – terutama kelengkapan keselamatan yang ada – ditambah pula dengan harga yang juga sangat berbaloi (dari RM44k-RM55k!). Tapi, macam mana pula dengan kualiti pemanduannya?

Beberapa minggu sebelum majlis pelancaran rasmi model ini, kami telah berkesempatan untuk memandu ujinya secara ringkas di litar ujian Perodua, Sungai Choh, Rawang. Walaupun sekadar di dalam litar dan untuk tempoh yang sangat singkat, itu sudah memadai untuk memberikan tanggapan awal tentang prestasi pemanduan Myvi baru ini.

PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

Apatah lagi, litar berkenaan turut melibatkan permukaan yang mencerminkan keadaan sebenar jalan raya di Malaysia. Jadi, sesi berkenaan bolehlah memberi sedikit-sebanyak pendedahan terhadap aspek pemanduan yang mampu diberikan model baru ini.

Perkara pertama yang dapat dirasakan ialah kedudukan kabin dan tempat duduknya lebih rendah dan berada dalam posisi memandu yang lebih baik berbanding Myvi yang ada sebelum ini. Tempat duduknya juga lebih selesa, dan “memeluk” bahagian belakang badan dengan kemas.

Cuma, bagi saya, jika bahagian bawahnya – yang menampung bahagian peha pamandu – lebih panjang sedikit, itu lebih baik. Tapi, hal ini sangat subjektif; kalau pemandu yang lebih rendah dan kaki yang lebih pendek, mungkin mereka tidak akan perasan perkara ini.

Ruang yang ada juga tidak kalah luasnya. Ruang kaki untuk pemandu misalnya cukup selesa. Begitu juga dengan ruang bahu bagi dua orang penumpang di depan juga lebih baik dan selesa. Ketika meninjau ke ruang belakang juga sama; ketika posisi kerusi pemandu dalam kedudukan saya sendiri (dengan ketinggian 180 cm), ruang kaki penumpang belakang untuk saya sendiri masih tidak mengecewakan. Bagaimanapun, ruang kepala mungkin sedikit terhad untuk mereka yang tinggi.

PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

Anda mungkin bertanya, kenapa pula jadi begitu? Perodua Myvi 2018 ini bukan lagi model yang sama seperti pernah kita kenali pada dua generasi sebelumnya. Ini adalah rekaan serba baru sepenuhnya, terutama pada bahagian luaran dan kabin.

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, mari kita lihat dimensi keseluruhan kedua-dua model baru dan lama. Myvi 2018 mempunya binaan dimensi seperti berikut; 3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar, 1,515 mm tinggi dengan jarak antara roda ialah 2,500 mm.

Sebagai perbandingan, ini pula dimensi binaan pada Myvi sebelum ini; 3,685 mm panjang, 1,665 mm lebar, 1,570 mm tinggi serta jarak antara roda pula ialah 2,440 mm. Dari sini kita dapat lihat bahawa Myvi 2018 generasi ketiga ini 210 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah berbanding versi yang sebelumnya. Jarak antara roda pula bertambah sebanyak 40 mm. Jadi, ketika kami menyatakan Myvi baru ini lebih luas, ia bukanlah sebuah kenyataan semberono.

Lagi tentang kapasiti dan keluasannya; dengan semua tempat duduk dinaikkan, model terbaru ini hadir dengan keluasan ruang barangan 277 liter. Keluasan maksimum yang boleh dicapai pula ialah 832 liter (boleh muat empat beg golf). Bukan itu sahaja, terdapat 8+1 konfigurasi berbeza bagi mengalihkan kedudukan tempat duduknya, bertujuan untuk membolehkan anda membawa barangan yang berbeza saiz di dalam ruang kabin.

PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

Ketika mula dibangunkan pada 2014, antara model-model pesaing dalam segmen B yang turut dijadikan penanda aras (benchmark) ialah Proton Iriz, Honda Jazz, Suzuki Swift dan Volkswagen Polo. Hasil kajian serta maklum balas daripada pelanggan, maka lahirlah Myvi serba baru dengan reka bentuk yang sama sekali tidak membawa imej yang lama, tetapi beralih kepada rekaan yang lebih mirip kepada hatchback sebenar dengan kedudukan bumbung yang lebih rendah ini.

Sebaik sahaja meletakkan kaki dan menekan pedal minyaknya, ada satu perasaan lain yang timbul; ia tidak lagi memberi maklum balas yang lambat. Badan kereta hatcback dari segmen B ini segera bergerak, walaupun bukanlah secara mendadak, tetapi tidak pula terasa enjinnya “malas”. Saya fikir, ini satu hal sangat baik.

Ini kerana, walaupun saya amat mengerti bahawa Myvi ini sebuah kereta untuk massa dan orang kebanyakan, ada hal yang menjauhkan saya daripada benar-benar menikmati kereta paling popular ini. Sentiasa ada kelompongan yang akan dirasakan dari sudut pemanduannya; sebuah kereta mampu milik (dalam konteks mesra duit dalam poket) tidak perlu mengorbankan terlalu banyak perkara dari sudut pemanduan.

Dan, dua generasi Myvi sebelum ini masih tidak dapat menampung kelompongan kecil itu. Memang, sesiapa saja mampu menjalankan tugas seharian dan Myvi akan menjadi “alat” yang sangat baik untuk tujuan itu, tetapi memandunya bukanlah sesuatu yang menjadi hal yang dinanti-nantikan. Anda akan tiba ke destinasi tanpa banyak masalah, tetapi anda tak akan terlalu memberi perhatian input pemanduan yang diberikan – semudah itu, kerana ia bukan direka untuk tujuan berkenaan.

PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

Halnya berbeza dengan dengan Myvi 2018, dan itu dapat dikesan sejak awal ketika ingin mula memandunya. Kami berada di dalam varian 1.5L terlebih dahulu – enjin 2NR-VE dengan kapasiti 1,496 cc dengan ciri Dual VVT-i yang menghasilkan sebanyak 76 kW (102 hp) pada 6,000 rpm dan 136 Nm pada 4,200 rpm – ini enjin yang sama turut digunakan pada Toyota Vios.

Tanggapan yang terlahir ketika ingin masuk ke litar ujian Perodua di dalam kereta ini sejak awal lagi sangat positif. Myvi serba baru ini terasa sangat lancar dan mudah untuk bergerak dari kedudukan pegun. Penyaluran kuasanya, lebih-lebih lagi dalam kedudukan gear rendah dan semakin menaik, membuatkan saya tersenyum seorang diri. Selamat tinggal Myvi yang lama!

Itu belum lagi masuk bab pengendaliannya, juga tidak mengecewakan, bahkan tidak berlebihan jika saya sifatkan ia yang terbaik pernah Myvi berikan. Tentunya, terima kasih kepada reka bentuk baru ini, dengan bumbung yang lebih rendah dan sudah pasti aerodinamik yang lebih baik, Myvi kini lebih menyeronokkan untuk dipandu.

Lebih penting – saya tak tahu bagaimana cara terbaik untuk menyatakan hal ini – ia kini mempunyai “ramuan” yang betul yang membantunya memberikan pengalaman pemanduan yang sangat menyenangkan. Ketika meningkatkan kelajuan, kereta ini lancar menyalurkan kuasa yang diperlukan.

PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

Ketika dalam kelajuan yang semakin tinggi pula, maklum balas dari sterengnya memberikan keyakinan yang ketara bahawa kereta ini mampu memberikan kawalan yang baik – paling tidak, ia jauh lebih baik dari model terdahulu.

Tiba di kawasan tebing condong pada litar ini pula, dalam selekoh yang panjang dengan kelajuan lebih daripada 100 km/j, Myvi 2018 ini saya fikir mampu memberikan kestabilan yang sangat baik kepada pemanduan. Ia begitu meyakinkan untuk dikendalikan dalam keadaan seperti itu – tiada lagi rasa stereng yang ringas serta badan kereta yang macam senang nak terhenjut dan teroleng.

Kadar kebisingan yang boleh didengar di dalam kabin juga berkurangan. Walaupun masih ada bunyi bising angin dan tayar yang boleh didengari (terutama ketika melalui bahagian permukaan jalan tidak rata dalam litar yang sama) tetapi itu tidaklah sampai membuatkan saya berasa terganggu olehnya.

Oh ya, sebelum terlupa, disebabkan Myvi 2018 ini menggunakan enjin baru yang dipasang di kilang Daihatsu Perodua Engine Manufacturing (DPEM) di Sendayan serta merupakan enjin EEV, ia turut memberikan kadar penggunaan minyak yang baik. Misalnya, bagi enjin 1.5L, ia didakwa mampu memberikan bacaan 20.1 km/liter. Tangki minyaknya pula diperbuat daripada plastik untuk lebih ringan, dengan kapasiti 36 liter.

PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

Walaupun versi 1.5L banyak mencuri perhatian dan mengubah pandangan saya terhadap Myvi, peluang untuk merasakan kemampuan pemanduan pada model 1.3L automatik (dengan enjin 1NR-VE, 1,329cc, 94 hp/121 Nm) juga tidak mengecewakan. Memang terasa ia lebih berat, misalnya ketika ingin memulakan pergerakan dari kedudukan pegun, tetapi sebaik mendapat momentum dan bergerak pantas, rasa keseluruhannya tetap meyakinkan.

Selain itu, banyak juga ciri-ciri yang melengkapinya merupakan penawaran yang pertama kali dibuat pada mana-mana model Perodua. Sebagai contoh, empat beg udara bagi varian 1.3L dan enam beg udara bagi varian 1.5L belum pernah ditawarkan sebelum ini.

Lampu LED bagi semua varian, dengan fungsi larasan ketinggian cahaya secara manual juga belum pernah ada sebelum ini bagi kereta keluaran Perodua. Dan ada satu lagi juga ciri unik yang diperkenalkan kali ini; pembaca imbasan bayaran tol (sama seperti Smart Tag yang anda guna) yang siap dipasang terus di bahagian bawah sebelah kanan papan pemuka pemandu.

Lebih menarik, sistem akan memaklumkan anda sekiranya baki sudah kurang dari RM10. Jadi, lepas ini tak ada lagi alasan untuk mereka yang kerap menyusahkan pengguna lain di plaza tol hanya disebabkan tak cukup baki dalam kad.

PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

Lagi satu aspek di mana Myvi 2018 ini cemerlang adalah dari sudut kelengkapan keselamatan yang melengkapinya, terutama pada model dengan spesifikasi paling tinggi. Yang dimaksudkan ialah ciri yang dikenali sebagai Advanced Safety Assist (ASA), atau dalam bahasa mudahnya, bantuan pemanduan selamat.

Sistem ini terdiri daripada empat ciri berbeza – Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB) (mirip kepada autonomous emergency braking, AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC). Sistem ini berfungsi menggunakan sebuah kamera yang terletak di belakang bahagian cermin pandang belakang.

Ketika sesi pandu uji tempoh hari, kami juga sempat mengikuti demonstrasi ciri amaran dan brek automatik berkenaan. Boleh berfungsi dalam julat kelajuan dari 4 hingga 30 km/j, ciri ini akan terlebih dahulu memberi amaran bunyi sekiranya anda menghampiri kenderaan di hadapan.

Sekiranya anda masih leka dan tidak melakukan apa-apa, sistem akan mengambil alih dan membrek sepenuhnya bagi mengelakkan anda melanggar kenderaan yang berada di hadapan. Bagaimanapun, sistem ini hanya akan berkesan sebanyak tiga kali sahaja bagi setiap kali enjinnya dihidupkan.

PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

Mengapa begitu? Mudah saja; sistem ini bukanlah bertujuan untuk mengambil tanggungjawab memandu daripada anda, tetapi sekadar membantu untuk cuba menghindarkan situasi kemalangan, dan bukan menghalangnya terus daripada berlaku. Pemandu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengendalian.

Jika tiga kali berturut-turut sistem ini diaktikfkan, adalah lebih elok anda berehat sebentar sebelum kembali menumpukan sepenuh perhatian terhadap pemanduan. Kami menghuraikan dengan lebih lanjut tentang ASA di sini.

Jadi, untuk menjawab pertanyaan yang dilontarkan pada tajuk tulisan ini, adakah Myvi 2018 mampu mengatasi segenap aspek menawaran dan memberikan nilai yang lebih kepada pengguna berbanding model lamanya, kami merasakan dari banyak sudut, ia dapat memenuhi jangkaan tinggi itu.

Myvi serba baru ini bahkan dirasa mempunyai dua aspek yang sangat kukuh; reka bentuk luaran yang dipersembahkan, serta kelengkapan ciri keselamatan yang mendahului mana-mana pesaingnya dalam kelas yang sama. Apatah lagi dengan tanda harga yang tidak jauh lari dari Myvi sebelum ini.

Apa pun, dari segi populariti, hanya masa yang dapat menentukannya. Yang pasti, pengguna di Malaysia kini mempunyai pilihan yang sangat menarik dan berbaloi bagi kenderaan segmen B, dan mengambil kira bahawa teknologi keselamatan seperti autonomous emergency braking (AEB) kini sudah menjadi lebih mudah diakses oleh pengguna massa, Perodua sudah berjaya membuktikan bahawa mereka memang meletakan kepentingan pengguna mendahului perkara-perkara lain. Apa pula pandangan anda?

Perincian Myvi 2018 mengikut varian adalah seperti berikut:

Perodua Myvi 1.3 Standard G – RM44,300 (MT), RM46,300 (AT)

Elemen standard seperti berikut:
Mekanikal

  • Enjin 1.3 liter Dual VVT-i (1NR-VE)
  • 1,329 cc, petrol empat-silinder
  • 94 hp pada 6,000 rpm, 121 Nm pada 4,000 rpm
  • Manual lima-kelajuan atau E-AT empat-kelajuan
  • Tangki penuh 36 liter
  • 3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar, 1,515 mm tinggi, 2,500 mm jarak roda
  • Jarak kelegaan tanah 160 mm
  • Stereng kuasa elektrik (EPS)
  • Jejari pusingan 4.8-meter turning radius
  • Waranti lima-tahun/150,000 km

Luaran

  • Lampu utama LED dengan fungsi auto off dan follow-me-home
  • Larasan lampu utama manual
  • Lampu belakang LED dengan lampu arah
  • Cermin sisi larasan-elektrik dengan isyarak membelok
  • Bilah pengelap cermin hadapan jenis-Aeroblade
  • Pengesan undur
  • Roda aloi 14-inci
  • Tayar Bridgestone Ecopia EP150 175/65R14
  • Tayar simpanan bersaiz-penuh

Dalaman

  • Kemasukan tanpa kunci dan butang start-stop enjin
  • Cermin hadapan akustik
  • Tingkap berkuasa, fungsi turun auto untuk pemandu sahaja
  • Unit utama Double-din dengan radio dan USB
  • Kawalan pendingin hawa digital (dengan larasan dua memori)
  • Roda stereng Poliuretana dengan larasan kedudukan
  • Larasan-ketinggian bagi tempat duduk pemandu
  • Konfigurasi tempat duduk fleksibel 8+1
  • Tempat duduk belakang dengan perehat kepala
  • Tempat duduk belakang boleh lipat 60:40
  • But berkapasiti 277 liter (boleh mencecah sehingga 832 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan)
  • Poket sisi pada tempat duduk hadapan (untuk telefon mudah alih)
  • Cangkuk beg anti-kecurian

Keselamatan

  • Empat beg udara (dwi hadapan, sisi hadapan)
  • ABS, EBD
  • Kawalan Kestabilan Elektronik(VSC)
  • Kawalan traction (TRC)
  • Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
  • Penarafan lima-bintang daripada ujian perlanggaran ASEAN NCAP
  • Peringatan tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk (aktif di hadapan, pasif di belakang)
  • Dua cagak Isofix untuk tempat duduk belakang

Estetika

  • Gril hadapan perak
  • Tiada lampu kabus hadapan – penutup hitam
  • Pemegang pintu sama dengan warna badan
  • Antena sirip-jerung
  • Pemegang pintu dalaman hitam
  • Kekemasan dalaman hitam
  • Corong pendingin hawa berkemasan perak

Perodua Myvi 1.3 Premium X – RM48,300 (AT)

Tambahan:
Mekanikal

  • Sistem start-stop automatik Eco-idle
  • Bantuan Mula Mendaki

Luaran

  • Lampu kabus hadapan
  • Pengesan parkir hadapan
  • Cermin sisi larasan berkuasa

Dalaman

  • Unit utama Double-din dengan radio, USB dan Bluetooth
  • Pengecas USB
  • Roda stereng balutan-kulit dengan kawalan audio, telefon
  • Tempat duduk belakang dengan perehat kepala boleh laras

Estetika

  • Gril hadapan krom
  • Lampu kabus hadapan dengan kekemasan krom
  • Pemegang pintu krom
  • Pemegang pintu dalaman krom
  • Kekemasan perak di sekeliling kawalan tingkap, butang pada roda stereng, dan tapak tuil gear
  • Panel instrumen dengan kekemasan krom
  • Corong pendingin hawa dengan kekemasan krom

Pilihan warna bagi Myvi 1.3

  • Ivory White (solid)
  • Glittering Silver (metalik)
  • Mystical Purple (metalik)
  • Lava Red (metalik)
  • Peppermint Green (metalik) – baharu, eksklusif untuk model 1.3

Perodua Myvi 1.5 High – RM51,800 (AT)

Tambahan:
Mekanikal

  • Enjin 1.5 liter Dual VVT-i (2NR-VE)
  • 1,496 cc,petrol empat-silinder
  • 102 hp pada 6,000 rpm, 136 Nm pada 4,200 rpm
  • E-AT empat-kelajuan
  • Ekonomi penggunaan bahan api gabungan 20.1 km per liter

Luaran

  • Roda aloi dua-tona 15-inci
  • Tayar Goodyear Assurance TripleMax 185/55R15

Luaran dan keselamatan

  • Pembaca tol binaan dalam (integrasi SmartTAG)
  • Enam beg udara (dwi hadapan, sisi hadapan, tirai

Estetika

  • Kit badan hadapan dan skirt sisi (dwi-tona)
  • Bampar belakang dwi-tona
  • Spoiler belakang

Perodua Myvi 1.5 Advance – RM55,300 (AT)

Tambahan:
Dalaman

  • Upholstery kulit
  • Unit utama skrin sesentuh dengan navigasi dan SmartLink
  • Kamera undur
  • Filem lapisan tingkap keselamatan

Keselamatan

  • Advanced Safety Assist (ASA)
  • Amaran Pra-pelanggaran
  • Brek automatik Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik pada kelajuan rendah)
  • Amaran Pergerakan Kehadapan
  • Kawalan Salah-operasi Pedal

Pilihan warna untuk Myvi 1.5

  • Ivory White (solid)
  • Glittering Silver (metalik)
  • Mystical Purple (metalik)
  • Lava Red (metalik)
  • Granite Grey (metalik) – baharu, eksklusif untuk model 1.5

Aksesori GearUp – harga pengenalan sehingga Februari 2018

Pakej Premium – RM1,250 (Myvi 1.5 only)

  • Kekemasan tambahan hiasan krom bagi gril hadapan, cermin sisi, garisan tingkap, bahagian bawah pintu, belakang pintu dan bampar belakang
  • Chrome scuff plates
  • Skirt belakang (hitam)

Pakej Eksekutif – RM900

  • Kekemasan tambahan hiasan krom bagi gril hadapan, cermin sisi, garisan tingkap, bahagian bawah pintu, belakang pintu dan bampar belakang

Pakej Gaya Hidup – RM700

  • Kekemasan tambahan hiasan krom bagi gril hadapan, cermin sisi, bahagian bawah pintu dan belakang pintu

Pakej Utiliti – RM320

  • Door visors
  • Alas lantai
  • Alas barangan

Kerusi keselamatan kanak-kanak Isofix

  • Kerusi bayi – RM660
  • Kerusi kanak-kanak– RM780
  • GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi Standard X dan Premium G 2018

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 Advance 2018

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 Advance 2018 dengan pakej Gear Up

    Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Syaiful Nizam Hassan on Nov 17, 2017 at 8:31 am

    Tukar kedudukan tempat plat pendaftaran belakang daripada bumper kepada pintu hatchback, sudah pasti lebih comel Perodua Myvi 2018 ini. Hanya menunggu ‘facelift’ sahaja lg.

    Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 2
  • Demomaklan on Nov 19, 2017 at 11:09 am

    Indah gambar drp rupa. Tengok sendiri dan nilaikan.

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 8
  • Saya rasa semua led headlamp mesti guna auto levelling kerana led sangat terang dan akan silau jika levelling tak betul.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Mohamad Faizal on Apr 14, 2018 at 9:41 am

    Salam.. Sbg sorang Muslim, lebih afdal jika Myvi 2018 Push Start/Stop button nya di sebelah kanan. Ikut Sunnah Nabi SAW, buat apa2 pun, mula dengan tangan kanan. Pandu sambil dapat pahala. Wallahualam.

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 7
 

Add a comment

required

required