GALERI: Perodua Myvi 1.5 Advance 2015 vs 2018 – mana satu yang lebih bergaya dan lebih best?

GALERI: Perodua Myvi 1.5 Advance 2015 vs 2018 – mana satu yang lebih bergaya dan lebih best?

Seperti yang semua sedia maklum, Perodua telah pun melancarkan barisan Myvi 2018. Bagi Myvi 2018 pembuka generasi ketiga ini, banyak perubahan yang cukup signifikan telah dilakukan, pendek kata, berubah habis! Cukup berbeza dengan dua generasi sebelumnya.

Bagi yang ingin mendapatkan gambaran yang lebih jelas, kami membawakan galeri foto untuk menunjukkan perbandingan di antara varian Myvi 1.5 Advance 2015 dengan versi terkini 2018. Dari sini, anda boleh melihat secara lebih jelas perbezaannya yang ketara. Daripada wajah hadapan, ke sisi hinggalah ke bahagian belakang, malahan imej bahagian kabin juga telah diperbaharui bagi membawakan kesegaran yang lebih optimum.

Bagi bahagian luarannya, Myvi 1.5 Advance 2018 dibentangi dengan elemen yang lebih sporty, sentuhan moden dan lebih bergaya. Ia dilengkapi dengan kit badan dari bahagian hadapan sehinggalah ke belakang bersama rim dwi tona bersaiz 15-inci. Lampu utama reflektor LED dilengkapi dengan fungsi auto off dan follow-me-home. Lampu kabus hadapannya pula dilengkapi dengan unit LED bersama satu jaluran lampu kuning yang berfungsi sebagai lampu kecil. Mungkin ada yang beranggapan, ia kelihatan agak pelik, tetapi inilah gaya yang ingin Perodua pertaruhkan.

Krom pada gril hadapannya juga menyerlahkan gayanya, serta bampar hadapan yang kelihatan sedikit besar dan lebar membuatkan imej Myvi 2018 ini kelihatan lebih garang. Namun skirt sisi yang ditampilkan tidak banyak memberikan perbezaan daripada pandangan profil sisi berbanding model terdahulu, melainkan rekaan rim dwi tona 15-inci sahaja yang lebih menonjolkan gaya sisinya.

Berbanding dengan Myvi 1.5 Advance 2015, imejnya juga sedikit agresif tetapi tidaklah begitu menonjol seperti versi 2018. Lampu utama projektor dengan LED, lampu kabus dan gril sarang lebah bentangan hitam membawa model ini kelihatan lebih ringkas berbanding Myvi 2018. Malahan rim bersaiz 14-inci dengan satu tona warna dan skirt sisi juga jadi kelihatan biasa-biasa sahaja.

Garisan bumbung Myvi 2018 juga kelihatan lebih landai berbanding model sebelumnya, sekaligus menampakkan ia kelihatan lebih sporty. Pada sekilas pandang menerusi pandangan belakang, Myvi 2018 nampak sedikit bulat dan lebar, berbanding Myvi 2015 yang kelihatan sedikit tegap dan lebih tinggi. Itu kita dilihat menerusi pandangan mata kasar.

Secara kenyataannya, Myvi 2018 memang lebih besar, lebar, tinggi berbanding model sebelumnya. Di mana Myvi 2018 lebih panjang sebanyak 210 mm berbanding model sebelumnya (Myvi 2018 = 3,895 mm / Myvi 2015 = 3,685 mm), +70 mm lebih lebar (Myvi 2018 = 1,735 mm / Myvi 2015 = 1,665 mm), dan jarak rodanya juga +60 mm (Myvi 2018 = 2,500 mm / Myvi 2015 = 2,440 mm). Namun Myvi 2018 lebih pendek sebanyak 55 mm berbanding model sebelumnya (Myvi 2018 = 1,515 mm / Myvi 2015 = 1,570 mm).

Begitu juga dengan bahagian belakangnya, ia lebih menang gaya (semestinya!). Pemilihan lampu belakang yang lebih bergaya dengan bentuk-C membuatkan Myvi 2018 sedikit ada persamaan dengan Kia Rio 2017. Malah imej belakangnya lebih kemas dan bersih. Tanpa ada bar hitam di bawah cermin belakang dengan logo Perodua di tengahnya. Spoiler belakangnya juga kelihatan lebih sporty dan tidak menampakkan seperti ‘dari kedai aksesori’, dengan sirip antena.

Berbanding Myvi 2015, lampu belakang LED dengan posisi menegak dan bentuk belakangnya yang sedikit berpetak. Plat nombornya yang terletak di tengah bahagian belakang, berbanding yang diolah semula untuk Myvi 2018 dengan posisi di bahagian bawah. Malahan corong ekzos bagi Myvi 2018 juga kelihatan sedikit tersembunyi.

Perubahan yang ketara juga jelas kelihatan di dalam kabinnya. Jika Myvi 2015 memilih bentangan yang lebih melintang untuk bahagian papan pemuka, Myvi 2018 pula kelihatan sedikit mengunjur. Paling ketara kedudukan tuil gear telah diubah ke bahagian bawah bagi Myvi 2018, berbanding di atas pada Myvi 2015. Susunan butang kawalan termasuk untuk pendingin hawa turut diperkemaskinikan, serta menampakkan ciri yang lebih model dan sofistikated buat Myvi 2018.

Bentangan warna hitam sepenuhnya turut digantikan dengan kekemasan krom pada konsol tengah untuk Myvi 2018. Begitu juga dengan bahagian paparan meter di mana skrin informasi pemanduan diletakkan di tengah antara odometer dan speedometer bagi Myvi 2018. Namun ia masih mengekalkan kawalan manual bagi sistem pendingin hawa tetapi ditampilkan dengan bentuk suis kawalan yang lebih moden berbanding butang kawalan berbentuk bulat pada Myvi terdahulu.

Kiri ke kanan: Kabin Myvi 2015 dan Myvi 2018

Begitu juga dengan roda sterengnya yang telah diperkemaskinikan termasuk susun atur butang kawalan yang lebih kelihatan model dengan jaluran krom serta kekemasan jahitan, begitu juga dengan material kulit yang digunakan, menampakkan Myvi 2018 lebih elegan. Balutan kulit sepenuhnya turut menjadi pilihan buat Myvi 2018 sama seperti model terdahulu, namun rekaannya sedikit berbeza berbanding model lama yang menampilkan tempat duduk separa-lekuk.

Lain-lain elemen yang masih dikekalkan termasuklah radio dan pemain CD dengan MP3/MWA dan sambungan USB serta Bluetooth, sistem multimedia bersama fungsi navigasi, kamera undur dan penyangkut anti-ragut pada bahagian sisi tempat duduk pemandu hadapan. Namun begitu, varian tertinggi bagi Myvi 2018 ini turut didatangkan dengan pembaca kad Touch ‘N Go binaan dalam yang terletak di bahagian kanan sebelah roda stereng, dan ini merupakan antara ciri menarik bagi elemen dalaman barisan Myvi terbaharu ini.

Pasti semua tahu bahawa elemen keselamatan bagi Myvi 2018 juga telah banyak dipertingkatkan. Selain ciri-ciri keselamatan yang juga telah ada pada Myvi terdahulu; Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan ABS, Myvi 2018 telah dipertingkatkan dengan Advanced Safety Assist (ASA); sebuah ciri maju yang bertujuan untuk menghindarkan anda daripada terlibat dalam perlanggaran dalam kelajuan rendah. Ia terdiri daripada ciri Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC). Malah bagi varian Advance Myvi 2018 kini dilengkapi dengan enam beg udara, berbanding hanya dua untuk varian lain dan model terdahulu.

GALERI: Perodua Myvi 1.5 Advance 2015 vs 2018 – mana satu yang lebih bergaya dan lebih best?

Bagi bahagian mekanikalnya pula, enjin 3SZ-VE pada model sebelum ini telah digantikan dengan enjin 2NR-VE berkuasa 102 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Manakala kotak gear automatik empat kelajuan elektronik E-AT dipadankan masih dikekalkan. Myvi 2018 turut turut dipadankan dengan sistem Eco Idle yang akan mematikan/menghidupkan semula enjin jika kereta tidak bergerak.

Ini membolehkan model 1.3 mencapai penggunaan bahan api gabungan 21.1 km/l untuk auto dengan Eco Idle, 20.1 km/l auto tanpa Eco Idle, 20.5 km/l untuk manual tanpa Eco Idle, manakala model 1.5 liter pula memperolehi bacaan 20.1 km/l dengan Eco Idle.

Harganya pula… hah jangan terkejut. Varian Myvi 1.5L Advance 2018 ini ditawarkan bermula RM55,300, berbanding RM58,500 untuk varian yang sama tetapi model terdahulu. Untungkan…dah lah lebih banyak elemen yang menarik dengan rekaan pada imej yang lebih bergaya dan lebih moden.

Nak tahu perincian lebih lanjut mengenai barisan Myvi 2018, sila klik CarBase.my. Anda juga boleh membawa ulasan pandu uji ringkasnya yang dibawakan oleh Editor kami, Hazril Hafiz menerusi ARTIKEL INI.

GALERI: Perodua Myvi 1.5L Advance 2015

GALERI: Perodua Myvi 1.5L Advance 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required