Pusingan kedua perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge akan berlangsung di MAEPS, Serdang hujung minggu ini, serentak dengan penganjuran Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR). Berita baik, pengunjung yang bertuah bakal membawa pulang Toyota Vios Sports Edition secara percuma menerusi peraduan yang diadakan.
Peraduan berkenaan cukup ringkas, di mana anda hanya perlu mengisi borang dan jawab berberapa soalan mudah pada acara berkenaan. Anda juga tidak akan dikenakan sebarang bayaran tiket untuk masuk ke Festival tersebut. Selain dari menonton perlumbaan, Festival TGR ini turut menampilkan pertunjukkan drift, penampilan selebriti, permainan pentas dan banyak lagi aktiviti untuk seisi keluarga.
Toyota Vios Sports Edition merupakan model edisi khas yang dihasilkan sempena Vios Challenge di Malaysia. Diasaskan dari Vios 1.5J automatik, kereta ini diberikan kit badan lengkap bersama spoiler tiang gol TRD yang sama seperti Vios perlumbaan sebenar, dan diberikan pelekat jalur badan dan rim aloi yang diwarnakan hitam. Paling menarik, model ini turut diberikan suspensi sport boleh laras pada keempat-empat sudut untuk pengendalian yang lebih baik.
Untuk peminat dunia perlumbaan pula, anda perlu hadir untuk menyaksikan ‘dog fight‘ antara pelumba-pelumba tersohor tanah air seperti Tengku Djan Ley, Keifli Othman, Syafiq Ali, Boy Wong dan ramai lagi dalam kategori Super Sporting. Perlumbaan ini juga turut menampilkan selebriti-selebriti tempatan seperti Fattah Amin, Syukri Yahaya, Janna Nick dan juga Diana Danielle yang berlumba dalam kategori Promosi.
Bagi peminat Drift pula, bintang D1GP Jepun iaitu Masato Kawabata dan Hideyuki Fujino turut akan hadir bagi mempersembahkan aksi mereka. Pasangan ini akan membuat penampilan dengan mempersembahkan aksi drift selama 30 minit setiap hari, dengan memandu Toyota 86.
Selain itu, Festival kali ini turut akan menyediakan litar lasak bagi menguji kemampuan sistem 4X4 pada Toyota Hilux dan turut akan mempamerkan SUV segmen-B Toyota C-HR.
GALERI: Toyota Vios Sports Edition
GALERI: Jentera perlumbaan sebenar Vios Challenge
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.