Subaru XV 2018 kini di Malaysia – bermula RM119k

Subaru XV 2018 kini di Malaysia – bermula RM119k

TC Subaru Sdn Bhd, pengedar eksklusif untuk kenderaan Subaru di Malaysia telah melancarkan model XV serba baharu untuk pasaran tempatan. Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu model asas 2.0i dan spesifikasi tinggi 2.0i-P. Selain menerima suntikan imej yang lebih segar, lebih menariknya bagi XV 2018 ini ialah enjinnya telah disemak semula bagi memberikan prestasi yang lebih optimum dan penjimatan bahan api yang efisien.

Kedua-duanya dijanakan oleh enjin petrol baharu 2.0 liter naturally-aspirated suntikan-terus empat-silinder. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 154 hp (156 PS) pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan bersama Lineartronic CVT, yang dikatakan 7.8 kg lebih ringan berbanding model XV yang terdahulu. Malah kuasanya adalah lebih 6 hp berbanding model sebelumnya.

Ia membolehkan XV serba baharu ini dipacu dari 0-100 km/j dalam 10.4 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicapai ialah 194 km/j. Manakala penggunaan bahan api kombinasi pula dianggarkan 7.3 liter bagi setiap 100 km.

Subaru XV 2018 kini di Malaysia – bermula RM119k

XV baharu ini turut mengaplikasikan sistem Symmetrical AWD secara standard dengan kini juga dilengkapi dengan X-Mode untuk kawalan yang lebih baik terutamanya ketika merentasi permukaan jalan yang kurang rata. Ia juga dibina dengan menggunakan senibina Subaru Global Platform (sama seperti Impreza baharu) yang telah diperbaharui sepenuhnya yang dikatakan mempunyai peningkatan prestasi keseluruhan yang ketara berbanding platform sebelum ini.

Malah ia juga telah dipertingkatkan ketegarannya sebanyak 70% dengan pusat graviti yang direndahkan dan daya olengan badannya juga dikurangkan sebanyak 50%.

Untuk dimensi bagi XV serba baharu ini juga ada perbezaannya berbanding model sebelumnya. Di mana, ia berukuran 4,465 mm bagi panjang (+15 mm), selebar 1,800 mm (+20 mm) dan jarak rodanya pula 2,665 mm (+30 mm). Manakala ketinggiannya dikekalkan iaitu 1,615 mm. Jarak kelegaan tanahnya juga kekal iaitu 220 mm.

Untuk elemen luarannya, model spesifikasi tertinggi dilengkapi dengan lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk-C (2.0i masih mengekalkan reflektor halogen), kekemasan garisan cermin krom dan rel bumbung berwarna perak. Ia memberikan perbezaan antara kedua-dua varian, dan turut dilengkapi dengan lampu kabus hadapan, pemegang pintu berwarna perak, rel bumbung (hitam bagi 2.0i, perak untuk 2.0i-P), spoiler bumbung, shark fin antena, dan roda aloi dua-tona 17-inci yang dibaluti tayar 225/60R17 (tidak seperti pasaran lain yang menerima padanan roda aloi 18-inci).

Menjengah bahagian kabinnya, ia menampilkan yang diperkemaskinikan termasuk menampilkan rekaan papan pemuka yang lebih elegan, dan nampak agak premium. Ia juga didatangkan dengan paparan pelbagai-informasi LCD warna sepenuhnya 6.3-inci yang diletakkan di atas panel instrumen, roda stereng dan tombol gear balutan kulit dengan jahitan jingga bagi varian tertinggi (balutan plastik bagi 2.0i).

Namun kedua-dua varian turut menampilkan tempat duduk pemandu dengan 8-larasan berkuasa, paparan meter LCD 4.2-inci, sistem audio dengan paparan 8-inci bersama sambungan Android Auto/Apple CarPlay serta navigasi, tempat duduk balutan fabrik dengan sedikit kemasan kulit berserta jahitan jingga, enam-pembesar suara dan kamera pandangan belakang.

Selain itu, elemen lain yang ditampilkan termasuklah sistem kunci kawalan jauh, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, akses kod PIN, sistem pendingin hawa automatik dengan penapis anti-habuk (dwi-zon untuk model tertinggi), pedal penukar gear, kawalan kelajuan, pedal aluminium (untuk 2.0i-P sahaja).

Bagi aspek keselamatan, menerima tujuh beg udara (berbanding model terdahulu yang hanya tiga beg udara sahaja), ABS dengan EBD dan bantuan brek, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Menurun Bukit, dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang. Walau bagaimana pun, XV 2018 bagi pasaran Malaysia tidak didatangkan dengan EyeSight, seperti yang ada di negara lain.

Subaru XV 2018 yang dipasang di kilang Tan Chong, Segambut (model pemasangan tempatan, CKD), didatangkan dengan enam pilihan warna iaitu Sunshine Orange, Dark Blue Pearl, Pure White, Ice Silver Metallic, Dark Grey Metallic dan Crystal Black Silica. Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan ialah RM118,819 bagi 2.0i dan RM125,868 untuk 2.0i-P. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun/100,000 km dan lima-tahun percuma bagi kos buruh (tertakluk pada terma & syarat).

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perincian dan spesifikasi penuh XV generasi kedua ini, sila layari Carbase.my.

GALERI: Subaru XV 2.0i 2018

GALERI: Subaru XV 2.0i-P 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Arizal on Dec 02, 2017 at 9:46 pm

    Q:”…jarak rodanya pula 2,265 mm (+30 mm).”
    Typo error?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required