Jentera rali Volkswagen Polo GTI R5 didedahkan

Jentera rali Volkswagen Polo GTI R5 didedahkan

Seperti yang diketahui, operasi pasukan rali dunia Volkswagen telah ditamatkan bermula musim WRC tahun ini. Namun, jenama dari Jerman berkenaan nampaknya masih lagi berminat untuk bertanding dalam perlumbaan dengan disiplin tersebut. Oleh itu, mereka telah mendedahkan jentera Polo GTI R5 baharu yang akan diperkenalkan untuk program perlumbaan pelanggan.

Jentera ini akan diasaskan dari Volkswagen Polo GTI generasi terkini (Mk6) yang baharu sahaja didedahkan pada Jun lalu dan hanya mula dipasarkan pada hujung tahun ini. Untuk versi produksi, Polo GTI akan dijana enjin 2.0 liter empat silinder turbo TSI bekuasa 200 PS, namun untuk bertanding dalam kategori R5, ia perlu dikuasakan dengan enjin dengan kapasiti 1.6 liter turbo.

Enjin empat-silinder dengan sistem suntikan bahan api terus tersebut mampu menghasilkan kuasa 272 PS/400 Nm. Tenaga dari enjin berkenaan dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear sequential perlumbaan lima-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda. Seperti juga jentara rali lain, kereta ini turut akan diberikan pakej keselamatan yang menyeluruh.

Menurut Volkswagen, dengan kuasa tersebut dan berat keseluruhan hanya 1,320 kg (mengikut spesifikasi R5 FIA), Polo ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat.

Pembangunan kereta ini sebenarnya telah bermula pada awal 2017, manakala sesi ujian awalan pada permukaan batu kerikil dan aspal telah dilakukan di Fontjoncouse, Perancis November tahun ini, dan kemudian akan diteruskan di Great Britain bulan ini. Volkswagen akan menggunakan segala kepakaran mereka ketika berkecimpung dalam WRC selama empat tahun (2013-2016) dan mendominasi keseluruhan perlumbaan tersebut dengan menjadi juara pengeluar dan pemandu menerusi Sebastien Ogier sepanjang tempoh berkenaan.

Projek ini juga diketuai oleh François-Xavier “FX” Demaison, iaitu Pengarah Teknikal Volkswagen Motorsport yang juga orang yang bertanggung jawab menghasilkan jentera Polo R WRC sebelum ini. Jurutera projek senior Gerard-Jan de Jongh iaitu bekas jurutera perlumbaan untuk Sebastien Ogier turut terlibat dalam pembangunan Polo GTI R5 berkenaan.

“Polo GTI R5 telah menjalani ujian awalan tanpa apa-apa masalah. Maklum balas dari pemandu ujian juga sangat positif,” kata Demaison. “Ia jelas kerana kelebihan yang dimiliki sepasukan jurutera dan mekanik yang berpengalaman, yang membantu membangunkan Polo yang telah memenangi kejuaraan dunia.”

“Kami turut mengambil kelebihan dari kerjasama rapat dan baik bersama rakan di jabatan pembangunan teknikal di Wolfsburg, serta rakan kami di Škoda, yang telah menawarkan jentera R5 kepada pelanggan mereka sejak 2015,” tambah Demaison.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required