Akhirnya, Toyota Vios 2018 yang dinanti-nantikan tiba – untuk pasaran di Singpura. Sedan dari segmen B itu kini telah dilancarkan di sana, dan seperti yang dijangkakan, ia ada persamaan dengan Yaris Ativ yang dijual di Thailand; tetapi dengan enjin yang lebih besar dan berkuasa.

Suka atau tidak, ia akan berkongsi wajah depan yang mirip, dengan bahagian atas gril yang lebih kurus, manakala lampu utama yang digandingkan dengan bahagian gril bawah yang besar, sekali dengan DRL LED. Rekaan badan yang lebih kemas dan bahagian belakang yang bertambah lebar juga diwarisi oleh Vios terbaru ini.

Ruang dalaman bagaimanapun menampilkan rekaan yang lebih moden serta stereng tiga jejari dari Toyota Altis. Dua varian ditawarkan – paling asas varian E, dengan harga SG$89,988 (RM271,900) termasuk COE dan varian G dengan lebih kelengkapan yang dijual pada harga SG$95,988 (RM290,000)

Kelengkapan standard termasuk lampu utama halogen reflektor, lampu kabus depan, rim aloi 15-inci, keyless entry, butang Push Start, cermin depan akustik, stereng larasan ketinggian dan teleskopik, tempat duduk fabrik, sistem Toyota Telematics dan kamera undur.

Vios G turut menerima lampu utama projektor, DRL LED, lampu belakang LED, rim dwi-tona aloi 16-inci, stereng multi-fungsi balutan kulit, kawalan pendingan hawa zon tunggal, sistem tunjuk arah, kerusi belakang dengan nisbah lipatan 60:40 serta perehat lengan di tengah dengan pemegang cawan. Dari segi keselamatan, ia datang dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan kestabilan VSC dan Hill-Start Assist.

Tidak seperti Yaris Ativ yang menggunakan enjin 1.2 liter untuk menepati peraturan kereta Eco di Thailand, Vios ini dilengkapi enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i terdahulu, dengan janaan kuasa 105 hp pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 4,200 rpm. Ini dipadankan bersama transmisi CVT dengan tujuh nisbah maya yang digunakan pada Vios yang diperkenalkan tahun lalu, yang berupaya mencapai kelajuan 170 km/j dan memberikan bacaan penggunaan minyak gabungan 5.8 liter bagi setiap 100 km.