Pengguna-pengguna di ASEAN kini sudah mula menginginkan sistem-sistem bantuan pemanduan aktif pada kereta mereka. Oleh itu, pengeluar-pengeluar kenderaan bukan sahaja dari Eropah, malah jenama-jenama dari Jepun kini sudahpun mula membawa masuk sistem berkenaan, misalnya Honda dengan pakej Honda Sensing mereka. Hari ini di Singapore Motor Show 2018, satu lagi jenama dari negara matahari terbit berkenaan – Subaru – kini turut melancarkan sistem EyeSight untuk model-model pasaran rantau ini.

Buat permulaan, sistem ini akan dipadankan pada model SUV Subaru Outback facelift 2018 dan juga XV. Sistem ini menggunakan kamera stereo yang diletakkan pada cermin pandang belakang, yang akan sentiasa memantau dan mengenalpasti kenderaan-kenderaan berhampiran, halangan, laluan trafik dan juga perkara lain.

Sistem Subaru EyeSight ini terdiri dari enam fungsi iaitu sistem brek pra-pelanggaran, Cruise Control adaptif, sistem pengurusan pendikit pra-pelanggaran, amaran keluar laluan, Lane Sway Warning dan juga amaran kereta hadapan mula bergerak.

Bagi sistem brek pra-pelanggaran, ia akan memberikan amaran dalam bentuk visual dan audio sekiranya pelanggaran dianggarkan akan berlaku. Jika pemandu tidak bertindak balas, sistem ini akan membrek secara automatik bagi mengelakkan kemalangan dari berlaku atau mengelakkan insiden tersebut.

Untuk sistem pengurusan pendikit pra-pelanggaran pula, ia akan mengelakkan pecutan kearah yang tidak sepatutnya – sistem ini akan mengesan apa-apa halangan di hadapan kenderaan, sekiranya ada ia akan memberi amaran kepada pemandu dan mengurangkan kuasa enjin bagi mengelakkan kemalangan.

EyeSight turut mempunyai sistem Cruise Control adaptif yang agak sama dengan pengeluar lain – membolehkan sistem cruise control diaktifkan dan jaraknya dengan kenderaan hadapan akan dikawal secara automatik.

Amaran keluar laluan juga agak serupa dengan jenama lain iaitu ia akan memberikan amaran jika pemandu tidak sedar kenderaan mula dipandu keluar dari laluan asal, dan turut dibantu dengan sistem Lane Sway Warning.

Sistem amaran kereta hadapan mula bergerak pula akan memberikan amaran kepada pemandu sekiranya trafik sudah mula bergerak semula setelah berhenti (contohnya di lampu trafik) dengan bunyi buzzer dan juga kerlipan lampu isyarat.

“Kami teruja kerana akhirnya teknologi Subaru EyeSight yang telah menerima anugerah dilancarkan di Singapore Motor Show 2018. EyeSight telah melengkapkan teraju-teraju teknologi utama Subaru untuk dipersembahkan sebagai pakej yang menarik untuk pelanggan yang mahukan standard yang tinggi bagi keselamatan, prestasi pemanduan dan juga keselesaan di dalam kereta,” kata pengarah urusan Tan Chong International, Glenn Tan.

Menurut Pusat Penyelidikan dan Analisis Data Kemalangan Trafik Jepun, sistem ini sangat efektif dalam mengurangkan jumlah kemalangan. Penyelidikan terhadap kenderaan Subaru di Jepun mendedahkan bahawa dari 2010 hingga 2014 sebanyak 61% kemalangan telah dikurangkan menerusi kenderaan yang menerima sistem EyeSight.

Selepas Singapura, sistem ini akan mula diperkenalkan di Malaysia pada suku kedua 2018 menerusi SUV Subaru Outback. Namun setakat ini sistem EyeSight pada XV, masih lagi belum ada kata putus bila ia akan ditawarkan di Malaysia.