BMW Group M’sia rekod jualan 12,680 unit pada 2017 – naik 16%, ungguli jenama kereta hibrid premium

BMW Group M’sia rekod jualan 12,680 unit pada 2017 – naik 16%, ungguli jenama kereta hibrid premium

Bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut, BMW Group Malaysia telah berjaya mencatatkan prestasi jualan keseluruhan tertinggi, dan bagi tahun 2017, ia telah merekodkan sejumlah 12,680 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad terjual di pasaran tempatan. Sekaligus mencapai pertumbuhan sebanyak 16% mendahului segmennya, berbanding tempoh sama untuk tahun 2016 dengan 10,906 unit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Kami berasa rendah diri dengan pencapaian ini. Kejayaan pertumbuhan kami di Malaysia merupakan hasil daripada komitmen yang tidak berbelah-bahagi kepada negara, pelanggan, pengedar dan pengalaman pemilikan premium mereka. Kami amat komited untuk memberi perkhidmatan terbaik di negara ini dan rantau Asia Tenggara dari Malaysia pada tahun ini. Kami telah menetapkan satu lagi penanda aras untuk industri automotif premium di sini.

Jika mengikut pecahan keseluruhan bagi 2017, jenama BMW telah memperoleh jualan mencecah 10,618 unit, berbanding 9,000 unit pada tahun sebelumnya. Ia juga telah menyaksikan pertumbuhan sebanyak 18%. Pertumbuhan itu dipacu oleh model BMW 3 Series dengan 3,564 unit – 2,408 unit daripadanya ialah BMW 330e dan BMW 330e M Sport. BMW X5 xDrive40e juga menjadi penyumbang utama kepada prestasi jenama dengan lebih 3,000 unit berjaya dijual tahun lalu. BMW 740Le xDrive yang diperkenalkan pada separuh pertama 2016 berkonsepkan Driving Luxury to the Mobility of the Future dijual sebanyak 400 unit.

Dengan angka tersebut, BMW Group Malaysia terus mengukuhkan kedudukannnya sebagai peneraju dalam segmen elektro-mobiliti. Malah syarikat ini berhasrat untuk memacu portfolio produk kenderaan BMW Hybrid dan Teknologi eDrive ke hadapan, di samping mengutamakan aspek infrastruktur dan perkhidmatan mobiliti dalam strateginya, demi menjadikan pemanduan kereta elektrik lebih selesa, mudah serta menyeronokkan pada setiap hari.

Selain itu, pelancaran sedan perniagaan sport paling progresif, BMW 5 Series pada separuh pertama 2017 juga memacu jualan jenama ini dengan lebih 1,600 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan.

MINI juga dilihat semakin kukuh apabila mencatat rekod prestasi terbaik pada tahun 2017 dengan 1,010 unit kenderaannya berjaya terjual di pasaran tempatan. Ini merupakan peningkatan sebanyak 12% berbanding tahun sebelumnya dengan 902 unit. Pencapaian itu meletakkan MINI sebagai jenama kedua paling pantas berkembang dalam segmen premium di Malaysia dan kini menjadi jenama ketiga terbesar dalam segmen tersebut. Tahun lalu, MINI menambah model MINI Countryman, MINI John Cooper Works Clubman dan MINI John Cooper Works Countryman ke dalam portfolionya.

BMW Motorrad pula menyerahkan sebanyak 1,052 unit motosikal, mencatat pertumbuhan sebanyak 5% berbanding tahun sebelumnya (1,004 unit). Tahun 2017 menyaksikan pengenalan lima buah motosikal baharu iaitu BMW S1000RR, BMW R1200GS, BMW K1600 GT, Bagger dan BMW R nineT Urban GS.

Pada tahun lalu juga, BMW Group Malaysia telah memperkenalkan Full Circle Programme oleh BMW Credit Malaysia. Program Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan untuk kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad juga diperkenalkan di samping tawaran premiumnya seperti Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama Lima Tahun BMW, Program Servis Percuma, Program Jaminan Tayar BMW dan Jaminan Perbatuan Tanpa Had serta Program Jaminan Servis Percuma selama Empat Tahun MINI.

Malah syarikat ini juga telah membuka kemudahan Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau terbaharunya di Zon Perdagangan Bebas di Lapangan Terbang Antarabansa Senai, Iskandar Malaysia. Kemudahan serantau yang dibina dengan pelaburan lebih RM130 juta itu merupakan antara yang terbesar seumpamanya dan menyokong lebih 22 buah negara di rantau ini. Ia menjadi bukti bahawa Malaysia merupakan pasaran utama BMW Group; pasaran yang menyokong hala tuju strategik perniagaan Kumpulan dalam mengembangkan pengaruhnya di rantau ini.

“Melangkah ke 2018, dengan sokongan padu daripada kerajaan Malaysia, pelanggan dan rangkaian pengedar yang kukuh, kami akan merealisasikan pelaburan dan perancangan untuk rantau ini. Kami harap dapat mengekalkan momentum ini dan mencapai satu lagi kejayaan untuk BMW Group dan negara,” ujar Han lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required