Usaha pecahkan rekod di litar Nürburgring hanya membazir duit – Boss Hyundai N, Albert Biermann

Usaha pecahkan rekod di litar Nürburgring hanya membazir duit – Boss Hyundai N, Albert Biermann

Divisi berprestasi tinggi dan perlumbaan rasmi Hyundai iaitu Hyundai N setakat ini telah menghasilkan dua buah hot-hatch yang benar-benar mendebarkan – Hyundai i30 N dan Veloster N. Kuasa sekitar 250 ps hingga 275 ps pada kedua-dua jentera berkenaan secara tidak langsung membawa Hyundai N untuk berhadapan dengan nama-nama gergasi segmen tersebut iaitu Honda Civic Type R, Renault Megane RS dan Volkswagen Golf GTI Clubsport.

Seperti yang diketahui, pertembungan antara tiga nama berkenaan disaksikan pada litar Nürburgring – ketiga-tiganya sentiasa memecahkan rekod antara satu sama lain sejak tahun-tahun kebelakangan ini dan rekod terpantas terakhir dicatatkan adalah 7 minit 43.8 saat, dibuat oleh Civic Type R FK8.

Namun menurut laporan Road and Track, walaupun i30 N dan Veloster N sememangnya dibangunkan di litar ‘The Green Hell’ tersebut (N bukan sahaja bermaksud Namyang iaitu pusat R&D Hyundai di Korea, ia turut bermaksud Nürburgring), Hyundai N tidak berminat untuk menyertai perang berkenaan kerana menurut mereka divisi N berpegang dengan falsafah yang berbeza dari jenama lain yang berorientasikan prestasi tinggi.

Usaha pecahkan rekod di litar Nürburgring hanya membazir duit – Boss Hyundai N, Albert Biermann

“Anda tidak perlu menjadi seorang yang mempunyai kemahiran memandu yang tinggi untuk berseronok dengan kereta N kami. Ia sepatutnya sangat bersesuaian dengan pemandu biasa. Mereka akan dapat merasakan senuthan N ini, belajar dan terus berkembang dengan kereta tersebut, dan akan lebih berseronok kemudiannya. Ini falsafah kami,” kata ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai, Albert Biermann.

Menurut Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan BMW M, ini bukan bermaksud kereta-kereta N tidak pantas di litar, malah “anda boleh sangat berseronok dengannya di litar”. Cuma beliau tidak nampak apa-apa faedah untuk berkampung selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan di litar tersebut hanya untuk memecahkan rekod, yang akan dipecahkan lagi oleh pihak lain tidak lama selepas itu.

“Ada syarikat yang mengambil masa selama lima bulan di Nürburgring, dengan ramai kakitangan. Dengan jumlah [wang berkenaan] kami boleh membina sebuah kereta baharu. Ia hanya membuang masa. Saya takkan lakukan perkara itu,” tegas Biermann.

Biermann turut menjelaskan kewujudan Hyundai N tidak bergantung pada kejayaan mereka dalam pasaran, sebaliknya divisi ini ditubuhkan bagi memperkuatkan jenama Hyundai itu sendiri. Tanpa mengendahkan jumlah jualan kereta-kereta berprestasi tinggi berkenaan, Hyundai N hanya mahu mendemonstrasikan apa yang boleh mereka lakukan dalam menyediakan jentera-jentera yang seronok untuk dipandu.

GALERI: Hyundai i30 N

GALERI: Hyundai Veloster N

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required