Bentley Mulsanne Speed tiba di M’sia – dari RM3 juta

Bentley Mulsanne Speed tiba di M’sia – dari RM3 juta

Walaupun mempunyai model baru Bentayga yang menerima lebih banyak perhatian, model perdana bagi Bentley masih lagi adalah Mulsanne, dan versi yang anda lihat dalam galeri ini adalah Mulsanne Speed, iaitu satu daripada tiga trim yang ada pada model ini, dengan harga bermula RM3 juta.

Tidak seperti Bentayga dan Flying Spur, Mulsanne ini cuma boleh didapati dengan satu jenis enjin sahaja iaitu unit V8 twin-turbo 6.75 liter. Bagi model Speed ini, kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin tersebut adalah sebanyak 530 hp pada 4,000 rpm dan 1,100 Nm tork pada 1,700 rpm. Jika dibandingkan dengan Mulsanne biasa, kuasanya lebih sebanyak 25 hp dan 80 Nm.

Menurut Bentley, Mulsanne menghasilkan tork paling tinggi di antara sedan empat pintu mewah, dan setiap enjin kenderaan disiapkan dengan tangan oleh satu individu sahaja. Bagi model yang dipamerkan ini, ia dilakukan oleh Steve Brown. Walaupun mempunyai berat 2,685 kg, ia masih boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan mencecah kelajuan maksimum 305 km/j.

Untuk model baru ini, enjin V8 padanya telah dilengkapkan dengan teknologi terkini, termasuk penghentian operasi silinder dan pemeringkatan injap boleh ubah. Ia kemudiannya dipadankan pula dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF, yang menghantar kuasa ke roda belakang. Turut diberi adalah ekzos serta suspensi sport.

Bagi yang tertanya berkenaan penjimatan, Bentley memberitahu, Mulsanne menggunakan 15 L/100 km dalam kitaran bercampur dan mengeluarkan 342 gram CO2 bagi setiap kilometer. Tangki minyak pula berkapasiti 96 liter, dan cukai jalannya mencecah RM19,000 (RM56,000 untuk pendaftaran syarikat atau RM6,100 di Sabah dan Sarawak).

Kereta ini cukup panjang, dengan ukuran 5,575 mm (versi Extended Wheelbase lebih panjang iaitu 5,825 mm), 1,926 mm lebar, 1,521 mm tinggi, dan jarak roda 3,266 mm. Dari sisi mana pun, ia akan menunjukkan saiz besarnya, dan kebanyakan proses pemasangan kenderaan ini dilakukan secara manual menggunakan tangan.

Bentley Mulsanne Speed tiba di M’sia – dari RM3 juta

Varian Speed ini mendapat lampu utama LED penuh yang pencahayaannya boleh berubah bergantung kepada kelajuan. Disebabkan badannya yang sudah besar, penggunaan rim bersaiz 21 inci nampak padan dan tidak keterlaluan.

Warna luaran pada kenderaan ini sebenarnya bergantung kepada anda, dengan selain ratusan warna yang ditawarkan oleh Bentley, anda juga boleh memilih tona warna sendiri atau mungkin juga meletakkan tanda unik yang dimahukan. Untuk model di dalam gambar ini, ia menggunakan warna Damson, yang merupakan pilihan berharga RM30,200.

Di dalam, pelanggan boleh memilih 24 warna kulit gred premium (13 padanan tona dua warna), beberapa pilihan kemasan kayu (atau gentian karbon), serta lapik bumbung kulit. Datang secara standard pada Mulsanne Speed adalah Mulliner Driving Specification, yang memberikan jahitan bentuk berlian, tombol gear khas, kawalan udara organ stop dan pedal aloi sport.

Pada model pameran ini, kemasan dalam yang digunakan adalah gabungan kulit Hot Spur merah dan Damson, berserta jahitan berlapis yang dilakukan dengan tangan. Pilihan ini sahaja sudah berharga RM24,300 dan semua tempat duduk datang dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan mengurut – ini pula tambahan RM18,900.

Turut diperlengkap pada kereta ini adalah pakej Entertainment Specification yang berharga RM104,900. Melaluinya, pembeli akan menikmati Bentley Theatre dengan sistem bunyi Naim dan ‘meja piknik’ kayu. Di dalam bahagian belakang tempat duduk hadapan, terdapat tablet 10.4 inci berasaskan Android, dan ia juga boleh ditanggalkan serta mempunyai storan dalaman 32 GB.

Kelengkapan istimewa lain yang terdapat pada Mulsanne Speed adalah peti sejuk dengan tempat memegang gelas champagne (tambahan RM58,000), alas kaki Wilton (RM7,700), kamera pandangan bucu (RM6,500) dan bumbung panoramik (RM17,300). Model pameran ini, dengan segala kelengkapan padanya berharga RM3.4 juta termasuk cukai.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required