BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

Kurang daripada setahun model G30 BMW 5 Series tiba di pasaran Malaysia, kali ini giliran versi plug-in hybrid – BMW 530e iPerformance pula dilancarkan di sini.

Hanya ditawarkan dengan varian tunggal Sport Line, 530e berharga RM338,888 atas jalan tanpa insurans. Ternyata ia adalah RM50,000 lebih murah berbanding 530i (RM389k), yang turut didatangkan dengan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa terhad serta penyelenggaran berjadual percuma lima-tahun dan waranti dua-tahun bagi tayar.

530e ini dijanakan oleh enjin B48 2.0 liter petrol pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 184 hp dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 290 Nm dari 1,350 hingga 4,250 rpm. Ia dipadankan dengan motor elektrik 113 hp/250 Nm yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 252 hp dan tork 420 Nm – hampir menyamai kuasa 530i tetapi dengan dan peningkatan tork sebanyak 70 Nm berbanding varian petrol tersebut.

BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

Motor elektrik ini juga disambungkan ke transmisi automatik lapan-kelajuan ZF, yang membolehkan nisbah digunakan dalam mod semua-elektrik dan mengetepikan keperluan penukar tork. Ini membantu mengimbangi berat tambahan yang dibawa oleh motor dan bateri.

Ini bermakna 530e berkeupayaan dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.2 saat (hampir sama dengan 530i) sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 235 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi mengikut kitaran European NEDC pula dianggarkan sekitar 2.0 liter bagi setiap 100 km, dengan emisi karbon dioksida pada 46 gram per kilometer.

Di bawah tempat duduk belakang terletaknya bateri lithium-ion 9.2 kWh, yang membolehkan 530e dipacu dengan mod elektrik pada kelajuan sehingga 140 km/j, dengan pacuan semua elektrik secara keseluruhan 48 km- lebih 13 km berbanding model yang lebih kecil 330e. BMW berkata, pengecasan bateri mengambil masa di bawah lima jam dengan penggunaan soket domestik, atau kurang dari tiga jam jika menggunakan BMW i Wallbox 3.7 kW.

BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

Bagi kit standard, apa yang disenaraikan untuk 530e adalah kurang berbanding 530i. Selain tidak didatangkan dengan pakej luaran M Sport, ia juga tidak ditampilkan lampu utama LED adaptif (lampu utama LED sepenuhnya masih kekal), bumbung matahari, Display Key, Head-up Display, Gesture Control dan sistem bunyi Harmon Kardon dan 16-pembesar suara, 600 watt. Malahan kawalan kelajuan adaptif yang juga digugurkan dari model pemasangan tempatan 530i turut tiada pada 530e ini.

Namun begitu, elemen lain yang masih dikekalkan, termasuklah lampu kabus LED, roda aloi 19-inci (dengan rekaan pelbagai-jejari yang berbeza), kekemasan luaran aluminium satin BMW Individual, kemasukan tanpa kunci Comfort Access, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa bersama fungsi memori bagi tempat duduk pemandu, kawalan suhu automatik empat-zon, bumbung matahari berkaca, tirai matahari untuk tingkap sisi belakang (manual) dan cermin belakang (elektrik) dan pencahayaan ambien 11-warna. Elemen eksklusif bagi 530e ini hanyalah roda stereng balutan kulit BMW Sport dan sistem pembesar suara HiFi (dengan 12-pembesar suara).

Selain itu, ia turut mengekalkan tailgate berkuasa bebas-tangan dan Dynamic Damper Control dengan Adaptive Mode. Bukan itu sahaja, sistem navigasi Professional boleh dipertingkatkan dengan skrin sesentuh 10.25-inci dan kawalan isyarat, bersama dengan paparan instrumen pelbagai-fungsi 12.3-inci, kamera undur dan Bantuan Parkir untuk memarkir automatik secara selari.

Untuk elemen keselamatan pula, 530e didatangkan dengan pakej Driving Assistant dengan menambah
Approach Control Warning dan Person Warning dengan fungsi City Brake, yang beroperasi dalam kelajuan antara 10 km/j dan 60 km/j untuk pejalan kaki dan 80 km/j untuk kenderaan lain. Lain-lain elemen dalam pakej ini termasuklah Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Rear Collision Prevention dan Rear Crossing Traffic Warning.

530e ini ditawarkan dengan empat pilihan warna luaran iaitu Bluestone Metallic, Mediterranean Blue, Alpine White, dan Black Sapphire.

Seperti mana model BMW iPerformance yang terdapat di Malaysia seperti 330e M Sport, X5 xDrive 40e, 740Le, pembelian 530e Sport juga membolehkan pelanggan menerima akses percuma tanpa had sepanjang tahun untuk servis mobiliti ChargeNow menerusi platform ChargEV. Tawaran menarik ini juga didatangkan dengan BMW i AC Fast Charging Cable secara percuma.

Untuk perincian dan spesifikasi penuh mengenai model 530e ini, sila layari Carbase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required