Honda Super Cub 110 2018 baru sahaja dilancarkan di pasaran Thailand semalam, tapi kini sudah ada satu unit yang siap diubah suai. Ia dilakukan oleh syarikat bernama KSpeed yang berpusat di Bangkok, dan sebenarnya mereka telah diberikan motosikal tersebut sekitar satu bulan yang lepas, dan berjaya menyiapkannya sebelum hari pelancaran.

KSpeed sememangnya sudah terkenal dengan kerja yang berkualiti dan sama juga dengan Super Cub yang dipanggil sebagai Super Power Cub ini. Penampilannya nampak lebih garang dengan tayar lebih besar (rim 17 inci) dan fender belakang dipotong pendek sehingga ke tengah tayar belakang dan meninggalkan ruang untuk hanya penunggang sahaja.

Bahagian badan yang masih mempunyai bentuk asal cuma di tengah sahaja, sementara di hadapan, fender dibuang terus, manakala lampu yang sebelum ini terletak di atas dipotong menjadi lebih kecil dan diletakkan di bawah. Bahagian pemegang kini terdedah dan tidak mempunyai sebarang butang kawalan kerana ia telah diganti dengan butang buatan sendiri di bahagian tengah.

Menurut KSpeed, motosikal ini masih lagi boleh digunakan di atas jalan raya biasa kerana semua lampu masih ada, serta nombor pendaftaran. Lampu belakangnya yang menggunakan unit LED berbentuk bulat terletak berhampiran tapak bawah penyerap hentak manakala lampu penunjuk arah hadapan pula berada di bahagian lebihan fender belakang. Lampu penunjuk arah hadapan pula berada di penutup fork.

Enjin motosikal ini tidak diusik, dan ia masih menggunakan unit satu silinder 109 cc sejukan udara yang menjana 7.89 hp pada 7,500 rpm dan 8.5 Nm tork pda 5,500 rpm. Ini adalah enjin suntikan bahan api dan dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan.