Jika anda melalui kawasan pusat bandar Kuala Lumpur ketika ini, anda pasti akan menyedari kewujudan laluan khas berwarna biru; ia sebenarnya adalah untuk kegunaan mereka yang mengayuh basikal, dikenali antara lain dengan nama Bike4U, dan dijangka akan dilancarkan pada 9 Februari nanti.

Laluan berkenaan dibuat untuk kegunaan delegasi yang menghadiri World Urban Forum di Kuala Lumpur dari 7 hingga 13 Februari ini, sebelum ia kemudiannya untuk kegunaan warga tempatan yang berbasikal. Ia menguhubungkan Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) dengan beberapa hotel disekitar pusat bandar.

Ia adalah usahasama antara Urbanice, yang bernaung di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan AJM Planning and Urban Design Group (APUDG). Turut terlibat dalam rangkaian laluan berkenaan ialah Cycling Kuala Lumpur, Bicycle Map Project, oBike dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Projek ini melibatkan jarak 11 km dalam pusat bandar KL bagi fasa pertama perancangan lima-tahun yang bermula pada April 2017 dan kini sudah menyediakan laluan khas sepanjang 5 km dari Mid Valley ke Dataran Merdeka sebelum ini.

Laluan di tengah pusat bandar itu menggunakan warna biru, dan diasingkan dengan pembahagi berketinggian 50 mm, dan direka agar ia tetap boleh dilalui pada bahagian atas pembahagi. Niatnya adalah untuk memisahkan antara basikal yang lebih berlahan daripada aliran trafik utama.

Bagaimanapun, beberapa insiden mula beredar di laman Facebook, dan menyatakan bahawa pembahagi laluan itu membahayakan penunggang motosikal dan basikal sendiri, sekiranya mereka mengubah laluan dari laluan masing-masing (dibeberapa bahagian terutama di simpang, laluan biru ini juga ada yang dialih sedikit arah laluannya merentasi laluan utama).

Koordinator Projek bagi Cycling Kuala Lumpur dan Bicycle Map Project, Jeffrey Lim menjelaskan, pembahagi berkenaan merupakan ciri tambahan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika berada di laluan masing-masing agar tidak sewenang-wenang memasuki laluan khas itu.

Namun, ada kejadian di mana penunggang motosikal terjatuh ketika melanggar pembahagi ini untuk mengubah laluan mereka. “Memang ada kekhuatiran seperti itu, sama juga sebaliknya, jika pengguna kenderaan bermotor memasuki lalun sikal berkenaan dan menyebabkan kecederaan kepada pengayuh basikal atau pejalan kaki,” jelas Jeffrey.

Berkaitan warna biru yang digunakan itu pula, yang mana beberapa individu di Facebook mendakwa ia sangat licin dan menyebabkan mudah tergelincir, Jeffrey menjelaskan sepanjang pengetahuannya, cat berkenaan mempunyai bahan khas untuk menjadikan permukaannya kesat, dalam situasi dan had tertentu.

“Seperti yang biasanya diamalkan, ia tidak digunakan untuk sepanjang laluan yang ada, tetapi hanya untuk bahagian-bahagian tertentu di kawasan yang memerlukan pengguna lebih berhati-hati, barulah ia akan bahan dan cat seperti itu digunakan. Tetapi dalam hal ini, ia digunakan untuk sepanjang laluan. Saya percaya ia bertujuan untuk memberikan kesan visual yang lebih ketara bagi jalur laluan yang baru saja diperkenalkan ini agar orang ramai lebih peka,” tambahnya.

Projek Bike4U bertujuan untuk menghubungkan laluan-laluan tengah ibu kota dengan hab pengangkutan lain seperti stesen bas dan tren/keretapi. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam pusat bandar serta mengurangkan penggunaan kereta bagi perjalanan jarak dekat dalam bandar.

Kalau anda ada pengelaman tersediri berkaitan laluan khas biru ini di tengah-tengah Kuala Lumpur, baik sebagai seorang pengguna basikal atau pun penunggang motosikal, sila nyatakan pandangan anda diruang komen. Adakah ia baik atau sebaliknya?