Ford Ranger Raptor didedahkan di Thai – 2.0L diesel, 2 pengecas turbo, 213 PS/500 Nm, 10-kelajuan auto!

Ford Ranger Raptor didedahkan di Thai – 2.0L diesel, 2 pengecas turbo, 213 PS/500 Nm, 10-kelajuan auto!

Seperti dijanjikan sebelum ini, trak pikap berprestasi tinggi sebenar Ford Ranger Raptor telah membuat kemunculan sulung peringkat globalnya di Thailand semalam. Nama ‘Raptor’ pada trak yang diasaskan dari Ranger T6 ini bukan diberikan berdasarkan rupanya yang lebih garang, tetapi ia sememangnya diberikan prestasi yang jauh lebih liar dari versi standard, bayangan kepada abang besarnya – F-150 Raptor.

Berbanding versi biasa yang menerima enjin Puma turbodiesel 2.2 liter dan 3.2 liter Duratorq, Ranger Raptor diberikan enjin Panther turbodiesel 2.0 liter EcoBlue baharu, dengan dua unit pengecas turbo. Enjin tersebut mampu menjana 213 PS dan tork 500 Nm – 13 PS/30 Nm lebih berkuasa dari enjin 3.2 liter Duratorq – dan takat redline pula ditetapkan 4,500 rpm.

Berbeza dari enjin EcoBlue pada Ford Transit atau model-model lain, unit janakuasa pada Ranger Raptor ini hadir dengan manifold kemasukan yang lebih besar. Manakala untuk sistem turbonya pula, Ford memberikan dua buah pengecas berlainan saiz bagi memastikan kuasa maksima dapat diberikan pada setiap peringkat kelajuan enjin.

Pada takat rpm rendah, kedua-dua pengecas turbo kecil dan besar tersebut beroperasi bersama bagi mengelakkan berlakunya turbo-lag serta memperbaiki penghantaran tork serta respon enjin. Manakala pada takat rpm tinggi, hanya unit pengecas turbo besar beroperasi bagi memberikan tekanan boost maksima.

Ford Ranger Raptor didedahkan di Thai – 2.0L diesel, 2 pengecas turbo, 213 PS/500 Nm, 10-kelajuan auto!

Kuasa dari enjin berkenaan dialirkan ke kotak gear automatik 10-kelajuan Getrag 10R80 – sama seperti yang digunakan pada Raptor F-150. Namun menurut Ford, unit pada Ranger Raptor ini diberikan nisbah gear yang ditala semula bagi disesuaikan secara sempurna kepada enjin diesel Bi-turbo berkenaan (F-150 menggunakan enjin petrol V6 turbo 3.5 liter EcoBoost), agar kuasa optimal dan kadar kecekapan dapat dicapai pada setiap gear.

Dengan 10-gear tersebut juga, nisbah dapat disebarkan lebih luas dan menurut Ford lagi penukaran gear juga lebih pantas. Kotak gear ini dibina dengan gabungan material logam berketahanan tinggi, aluminium serta komposit bagi memastikan ia teguh serta mengekalkan berat yang rendah. Transmisi ini turut dibantu dengan perisian penukaran gear adaptif baharu manakala pedal penukar gear pada stereng diberikan sebagai ciri standard.

Ranger Raptor juga dikatakan mempunyai kebolehan off-road lebih baik dari versi Ranger lain. Kerangka serta rel sisi Raptor ini dibina menggunakan logam aloi rendah berkekuatan tinggi (HSLA), membolehkan ia menerima asakan laluan off-road pada kelajuan tinggi.

Manakala untuk suspensi pula, geometrinya telah diubah semula serta menerima pelbagai peralatan berprestasi tinggi. Untuk bahagian hadapan, ia diberikan set penyerap hentak yang menonjol, manakala bahagian belakang pula menerima sistem dengan spring jenis gegelung. Gandar belakang juga dibekalkan dengan Watt’s Linkage bagi memastikan ia hanya bergerak turun-naik, dan mengurangkan peralihan sisi walaupun pada kelajuan tinggi.

Ford Ranger Raptor didedahkan di Thai – 2.0L diesel, 2 pengecas turbo, 213 PS/500 Nm, 10-kelajuan auto!

Keempat-empat ‘kaki’ Ranger Raptor ini menerima penyerap hentak 46.6 mm berprestasi tinggi Fox Racing Shox bersama sistem Position Sensitive Damping (PSD). Sistem tersebut mampu menyerap kejutan tinggi apabila trak pikap ini dibelasah pada laluan off-road, serta memberikan keselesaan ketika dipandu pada jalan raya biasa.

Trak ini diberhentikan dengan sistem brek yang ditingkat taraf, menggunakan cakera berliang 332 mm bersama angkup brek dua-piston yang 9.5 mm lebih besar dari Ranger standard pada bahagian hadapan, serta cakera dengan angkup 54 mm di belakang. Versi istimewa ini juga diberikan set rim yang direka khas untuknya bersaiz 17-inci, dibaluti tayar all-terrain dari BF-Goodrich bersaiz 285/70R17.

Bahagian luaran, Raptor lebih kecil ini turut dipengaruhi dengan rekaan dari F-150 Raptor. Gril hadapan kemasan dengan tulisan ‘FORD’ besar diberikan pada trak ini. Bampar hadapan pula direka bagi membolehkan ia dipasang terus pada kerangka badan dan ia dibina dengan prestasi ketahanan tinggi dan turut menempatkan lampu kabus LED dan liang aliran udara yang berfungsi.

Flare pada setiap fender pula dibina dari bahan komposit bagi membolehkan ia bertahan dari kerosakan fizikal seperti calar dan lekuk, dan direka bagi disesuaikan dengan pergerakan strok suspensi lebih panjang serta roda yang lebih besar.

Dengan rekaan semula tersebut, secara tidak langsung dimensi Raptor ini turut berbeza dengan Ranger T6 standard. Versi lebih liar ini diukur dengan tinggi 1,873 mm, 2,180 mm lebar, 5,398 mm panjang, trek hadapan dan belakang yang 150 mm lebih lebar (1,710 mm) serta kelegaan tanah juga meningkat kepada 283 mm. Ranger Raptor turut direka dengan sudut approach 32.5 darjah, sudut ramp over 24 darjah dan sudut departure 24 darjah – membolehkan ia melalui laluan off-road dengan lebih baik.

Step board trak pikap ini juga direka secara spesifik bagi memastikan batu yang terkais dari tayar tidak terkena pada bahagian belakang. Menurut Ford, komponen tersebut dibuat dari aloi aluminium yang mampu menahan beban 100 kg yang dikenakan sebanyak 84,000 kali. Ia juga menerima proses salutan dua-peringkat bukan sahaja untuk kelihatan lasak, malah tahan terhadap calar, kotoran atau apa sahaja ancaman sekitar.

Manakala pada bampar belakang pula, ia turut dilengkapi dengan bar tunda bersama dua cangkuk penyelamat yang mampu menampung beban 3.8 tan. Kapasiti menunda trak ini pula ditetapkan pada 2,500 kg sementara bed belakang direka dengan dimensi 1,560 mm lebar dan 1,743 mm, dan turut dilengkapi dengan lubang bagi melepaskan air, pasir, lecak atau salji yang terperangkap.

Bagi memastikan komponen bawah badannya sentiasa dilindungi, Ranger Raptor diberikan kepingan logam pelindung yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi dengan tebal 2.3 mm. Plat dengan kemasan perak berkenaan melindungi komponen sistem transmisi, radiator, sistem stereng berkuasa elektrik (EPAS), penggerak aksesori hadapan (FEAD), cross-member hadapan, takung minyak enjin dan juga differential hadapan.

Masuk ke kabin, Ranger Raptor menampilkan imej sebuah model Ford Performance sebenar. Tempat duduk trak ini direka bagi menampung prestasi ketika pemandu berseronok di laluan off-road, disokong dengan roda stereng sport bersama pedal penukar gear dari material magnesium. Secara keseluruhan, kabin ini diberikan upholsteri kulit bersama serlahan jahitan benang biru, manakala kluster paparan pula dibina untuk kawalan pelbagai mod pemanduan.

Mod pemanduan tersebut dikawal dengan Terrain Management System – menyediakan enam mod pemanduan berbeza. Dua daripadanya – Normal dan Sport – direka untuk pemanduan di atas permukaan tar. Manakala empat mod lain – Grass/Gravel/Snow, Mud/Sand, Rock dan Baja – direka untuk prestasi maksimum pada laluan off-road. Jika Ranger Raptor ini sampai ke Malaysia kelak, mod Gravel dan Baja mungkin kita boleh gunakan di ladang sawit dan getah, untuk memandu seperti Karamjit Singh.

Kelengkapan lain yang turut hadir pada trak pikap ini termasuk skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotaimen SYNC 3, kamera undur, serta sistem bantuan pemanduan lain seperti ESC, Trailer Sway Control, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Menurun Bukit dan Load Adaptive Control.

Ford Ranger Raptor ditawarkan dalam lima warna – Lightning Blue, Race Red, Shadow Black, Frozen White dan warna utama unik yang digelar Conquer Grey – yang mana kesemuanya menerima serlahan kontras Dyno Grey. Menurut Ford, trak pikap liar ini “akan di bawa keseluruh Asia Pasifik serta serata dunia.” Jadi, ini bermaksud peluang untuk ia tiba ke Malaysia sangat cerah – sama-sama lah kita berharap ya!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required