Sekarang ini sedang panas tentang Ford Ranger Raptor, bukan sahaja di negara kita, malah seluruh dunia. Sekarang ini, Ranger Raptor cuma ditawarkan dengan enjin diesel 2.0 liter bi-turbo dengan kuasa 213 PS dan 500 Nm tork, tetapi itu boleh dianggap enjin kecil dan ia perlu menepati tahap emisi untuk Amerika Syarikat. Oleh itu, berkemungkinan negara tersebut mungkin mendapat versi petrol.

Menurut Car and Driver, Ranger Raptor untuk pasaran Amerika Syarikat boleh jadi dikuasakan oleh enjin V6 2.7 liter EcoBoost daripada F-150, yang boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 325 hp dan 508 Nm tork. Walaupun ada enjin V6 3.5 liter EcoBoost 456 PS/ 691 Nm pada F-150 Raptor, pilihan itu dianggap keterlaluan pada masa ini.

Ketua jurutera enjin diesel dan gas kecil Ford yang berpusat di United Kingdom, Roland Ernst memberitahu CarAdvice bahawa enjin 2.0 liter dan transmisi automatik 10 kelajuan pada Ranger Raptor sekarang adalah “pilihan paling sesuai untuk kuasa dan kecekapan.” Jelas beliau: “kami telah mengambil enjin standard 2.0 liter turbo dan memperbaiki aspek ketahanan, naik taraf piston dan mengoptimakan suhu operasi turbinnya untuk lebih prestasi.”

“Selepas itu, kami telah melakukan porsedur ujian paling sukar di Ford Corporation, termasuk tekanan paling tinggi pada sistem bahan api, keseluruhan suhu operasi dalam enjin, serta ujian lapangan di padang pasir dan kawasan sejuk – ia lulus dengan cemerlang,” tambah Ernst.

“Dengan menggabungkan pengawal boost dengan pengecas turbo tekanan tinggi yang lebih kecil secara berurutan, dengan turbo tekanan rendah yang lebih besar untuk lebih kuasa, kami rasa kami sudah dapat enjin yang cukup responsif, berkuasa dan tahan lasak,” kata beliau kepada CarAdvice.

“Tujuan utama dalam DNA Raptor adalah untuk mempunyai tindak balas pendikit yang sangat tepat, dan kami rasa kami berjaya mendapatkannya pada produk ini melalui kejuruteraan, dan gabungan kotak gear automatik 10 kelajuan,” kata beliau lagi. Mungkinkah ada versi enjin 2.0 liter ini yang lebih berkuasa pada masa hadapan? Beliau menjawab, “Saya boleh katakan enjin cukup lasak dan ia mempunyai banyak potensi,”