PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Segmen kenderaan jenis SUV atau crossover ternyata semakin berkembang, dengan hampir setiap jenama mempunyai model mereka yang tersendiri. Penyebab utamanya, sudah tentu, kerana pengguna sendiri yang semakin ramai menjadikannya sebagai pilihan, baik di atas faktor kedudukannya yang lebih tinggi, bentuk mahupun saiz.

Jika mahukan kenderaan seperti ini, pilihannya sudah semakin banyak, dan pengguna harus tahu sama ada mereka mahukan sesuatu yang mewah, berapa tempat duduk, berapa kapasiti enjin ataupun pacuan jenis apa. Bagi SUV/crossover lima tempat duduk segmen C, iaitu segmen yang boleh dikatakan paling popular, saingannya cukup sengit dengan terdapat model-model seperti Honda CR-V yang sudah cukup terkenal di negara kita, Hyundai Tucson, Mitsubishi ASX, Volkswagen Tiguan, Kia Sportage, Subaru XV dan Peugeot 3008.

Walaupun begitu, bagi laporan pandu uji kali ini, kita akan melihat lebih dekat model Mazda CX-5 CKD, yang diperbaharui pada bulan Oktober tahun lalu, dengan penambahan utama yang menjadi perhatian adalah sistem G-Vectoring Control (GVC). Secara keseluruhannya, terdapat lima varian untuk model ini, dan tiga pilihan enjin, termasuk satu diesel. Dan, untuk laporan ini kami memandu tiga daripada lima varian berkenaan.

Durrani Sharom – 2.0L GL 2WD

PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Varian permulaan bagi CX-5 GVC CKD ialah 2.0L GL 2WD, yang dijual pada harga RM134,605.50 tidak termasuk insurans. Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, yang juga dipasang di dalam negara, harganya sedikit bertambah, di mana varian permulaan CX-5 sebelum ini (2.0L 2WD Mid Spec) djual pada harga RM129,975.

Untuk meletakkan anda dalam perspektif bagaimana pemasangan tempatan dapat membantu mengurangkan harga model ini, cuba bandingkan pula CX-5 GVC 2.0 GL 2WD ini dengan satu lagi model SUV/crossover Mazda yang lebih kecil iaitu CX-3 GVC (unit import). CX-5 GVC adalah lebih murah sekitar RM4,000.

Di antara pesaingnya pula, harga varian CX-5 GVC 2.0 GL 2WD terletak di pertengahan, di mana Honda CR-V 2.0 2WD dijual pada harga RM142,400, Hyundai Tucson 2.0 Elegance RM129,990.87, Kia Sportage 2.0 2WD KX RM117,559.55 dan Volkswagen Tiguan 1.4 TSI Comfortline RM148,990. Menariknya, Subaru XV yang menggunakan pacuan semua roda pula yang lebih murah, iaitu RM118,819 (2.0i).

Namun, dalam kalangan semua kenderaan ini, saya berpendapat CX-5 mempunyai rekaan yang paling kemas, ringkas dan elegan. Anda boleh lihat sendiri lampunya lebih nipis, garisan badan lebih mengalir dan kemasan krom serta hitam juga tidak keterlaluan. Jika mahukan penampilan yang lebih gagah atau sporty, mungkin ada pesaingnya yang lebih menonjol.

Walaupun begitu, pada masa sama pendekatan rekaan ini turut digunakan pada beberapa model Mazda yang lain dan dianggap sebagai satu ‘konsep rekaan keluarga’ yang menjadikan ‘muka’ kesemuanya apabila dipandang sekali imbas nampak sama sahaja. Kalau diperhati secara teliti barulah anda akan dapat melihat perbezaannya, dan yang paling jelas, CX-5 adalah satu-satunya yang menggunakan rekaan seperti jaring pada bahagian dalam gril yang berwarna hitam, sekaligus membuatkan logonya nampak seperti terapung.

Dari segi saiz pula, model generasi baharu ini tidak jauh berubah dari model generasi sebelum ini. Jarak roda masih sama iaitu 2,700 mm, lebar juga masih sama dengan 1,840 mm. Tetapi ia kini sedikit lebih tinggi dengan 1,675 mm, manakala panjang keseluruhannya kini 5 mm lebih pendek iaitu 4,550 mm. Walaupun ruang yang diberikan masih agak sama, dengan susunan semula rekabentuk kabin, bahagian kargo model baharu ini mampu direka dengan kapasiti lebih besar – 442 liter berbanding hanya 403 liter pada model lama.

PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Walaupun ini adalah varian permulaan, kekurangannya tidak begitu terasa. Bagi saya, hanya ketiadaan sistem masuk tanpa kunci dan pelaras tempat duduk automatik sahaja yang sedikit memberi kesan. Itupun, ia tidaklah begitu penting sangat. Sama juga seperti sistem navigasi, yang tiada pada varian ini – kerana jika perlu, pada kebanyakan masa saya boleh bergantung kepada aplikasi di dalam telefon.

Selain daripada itu, saya masih rasa senang menggunakan CX-5 2.0 GL. Walaupun tiada sistem masuk tanpa kunci, anda masih boleh menghidupkan enjin tanpa memasukkan kunci, iaitu menggunakan butang pemula, manakala keseluruhan bahagian dalamnya (kecuali bumbung) nampak lebih elegan kerana semuanya serba hitam dan hanya mempunyai kontras kemasan berwarna krom yang tidak begitu berkilat.

Penggunaan fabrik pada tempat duduk masih boleh saya hargai kerana apabila duduk di bahagian pemandu, semuanya dirasakan berada pada tempat yang betul. Selain skrin yang terkeluar, tiada sebarang butang di bahagian atas papan pemuka, manakala turun ke bawah sedikit, barulah terdapat butang kawalan untuk pendingin hawa.

Tombol gear juga berada pada kedudukan biasa, yang menjadikan kenderaan ini mudah disesuaikan dengan pemandu. Di belakangnya terdapat pula butang kawalan untuk sistem hiburan dan informasi yang terpapar pada skrin. Apa bila sudah tahu tetapan yang terdapat dalam sistem tersebut, ia mudah digunakan sambil siku boleh diletakkan pada perehat lengan.

Tidak cukup dengan itu, saya masih boleh menggunakan beberapa fungsi tanpa mengalihkan tangan daripada stereng, termasuk sistem cruise control, kawalan audio dan juga fungsi menjawab panggilan telefon.

Enjin yang digunakan pada varian ini adalah unit petrol empat silinder Skyactiv-G berkapasiti 1,998 cc, dengan sistem DOHC dan VVT. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 162 hp pada 6,000 rpm dan 210 Nm tork pada 4,000 rpm. Jika dibandinkan dengan model CX-5 yang digantikannya, model baru dengan GVC ini mempunyai lebihan kuasa 7 hp dan 10 Nm tork.

PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Peningkatan ini bukanlah sesuatu yang signifikan, malah anda mungkin tidak akan dapat merasakan perbezaannya. Tetapi, ia sentiasa boleh dipuji daripada aspek kelancaran, bersama padanan kotak gear automatik enam-kelajuan Skyactiv Drive. Perkara ini boleh dirasakan apabila bergerak dalam keadaan biasa, di mana bunyi enjin itu sendiri hampir tidak kedengaran, manakala penukaran gear pula cukup lancar.

Walaupun rasa begitu menyenangkan, tidak bermakna kenderaan ini kurang bersemangat. Kuasa yang dihasilkan sentiasa mencukupi dalam pelbagai keadaan perjalanan yang saya tempuh bersamanya, malah tindak balas yang dihasilkan juga cukup responsif.

Bagi mereka yang mahukan rasa sporty tambahan pada kereta ini, ia boleh dilakukan dengan menekan butang Sport yang terdapat bersebelahan tombol gear. Kitaran enjin (rpm) akan dapat bertahan lebih tinggi, tapi pada pendapat saya, tindak balas enjin tidak berubah banyak. Oleh itu, jika terasa seperti mahu menikmati pemanduan yang lebih sporty, saya hanya akan membiarkan sahaja ia dalam keadaan biasa, dan menekan pedal minyak lebih lagi, ataupun terus menarik tombol gear ke mod manual.

PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Berkenaan dengan sistem G-Vectoring Control yang baru dilengkapkan pada model ini, saya mahu memberitahu kepada anda pertama sekali, ia bukanlah satu sistem yang boleh diaktifkan atau ditutup dengan kawalan butang oleh pemandu, tetapi sentiasa tersedia sepanjang pemanduan.

Sistem ini sebenarnya agak ringkas, dan secara asasnya, ia sekadar mengawal tork enjin supaya berat badan kenderaan dapat diubah kepada keadaan yang dapat membantu cengkaman. Agak sukar sebenarnya untuk anda merasakan tindak balas GVC ini kerana antara hasil yang mahu diberi adalah supaya ia terasa normal dan tidak mengganggu pemandu.

Tapi apabila menggunakan kenderaan yang mempunyai suis untuk mengaktifkan dan menutup GVC ini (saya merasainya dalam sesi khas bersama jurutera Mazda di Jepun awal tahun lalu), barulah tindakannya akan terasa. Tapi itupun begitu sedikit sehinggakan ada wakil media yang sekadar berpura-pura seperti mereka merasakan tindakan GVC ini.

PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Apa yang perlu anda ketahui, apabila ada GVC, kenderaan akan lebih mudah masuk ke dalam selekoh mengikut kawalan anda, dan anda tidak perlu banyak membetulkan stereng waktu mengambil selekoh panjang. Pada waktu itu, saya boleh merasakan GVC ini bertindak bukan sahaja pada kelajuan tinggi, malah juga kelajuan rendah sekitar 40 km/j. Menurut Mazda, GVC ini juga boleh membantu mengurangkan kepenatan pemandu.

GVC juga sekadar satu ciri tambahan yang menyokong sistem keselamatan sebenar seperti Dynamic Stability Control, brek ABS, EBD, BA dan Traction Control yang sedia terdapat pada varian 2.0L 2WD ini. Selain daripada itu, varian ini juga datang dengan enam beg udara, Auto Hold Function, Hill Start Assist dan cagak ISOFIX. Sudah tentu, jika mahukan teknologi serta kelengkapan yang lebih maju, anda boleh memilih varian lebih tinggi, yang harganya boleh mencecah sehingga RM175,179.10 (2.2D GLS AWD).

Bagi yang tidak mempunyai bajet tinggi, varian permulaan ini masih cukup berbaloi untuk dimiliki, tambahan pula, apabila memikirkan penumpang belakang, keadaannya juga agak selesa dengan ruang yang luas serta corong pendingin hawa dan dua soket pengecas sendiri (dalam perehat lengan) di belakang.

Izwaashura Sadali – Mazda CX-5 2.2 GLS SkyActiv-D 2WD

PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Mazda CX-5 2017 kian mendapat perhatian selepas ia dilancarkan pada hujung tahun lalu. Apatah lagi ia menawarkan lima varian iaitu bagi enjin petrol serta diesel, mahu pun pacuan dua-roda (2WD) dan empat-roda (4WD). Barisan varian tersebut ialah model asas 2.0G 2WD GL, 2.0G 2WD GLS, 2.5G 2WD GLS, dan dua model spesifikasi penuh iaitu 2.2D 2WD GLS dan 2.2D AWD GLS.

Penulis berkesempatan memandu uji varian 2.2D GLS SkyActiv 2WD bagi merasai sejauh mana kehebatan SUV janaan enjin diesel ini. OK, kita bercerita mengenai prestasi dan pengendalian varian ini sahaja. Kalau mahu bercerita mengenai penampilan luaran dan dalamannya, ia telah pun banyak disentuh oleh Durrani Sharom sebelum ini.

Varian yang dipadankan dengan enjin 2.2 liter SkyActiv-D empat-silinder ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 173 hp pada 4,500 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear SkyActiv-Drive enam-kelajuan yang memacu roda-hadapan.

PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Mazda sememangnya terkenal dengan barisan modelnya yang ditampilkan dengan pengendalian yang menyeronokkan. Tetapi prestasinya juga seiring sejalan dengan imejnya; bukan sekadar ada rupa dan gaya. Begitu juga dengan CX-5 ini. Biarpun dengan enjin diesel berkapasiti 2.2 liter, namun ia masih mampu memberikan prestasi yang mengujakan.

Ia juga cukup responsif tatkala kerahan tenaganya diperlukan, malah mampu memberikan pacuan yang agak pantas dan tidak teragak-agak untuk menghamburkan kuasa yang diingini. Ia juga dilengkapi dengan kotak gear yang boleh dikatakan lebih impresif berbanding transmisi CVT, seperti mana yang digunakan oleh kebanyakan pesaingnya. Malah manual shift mode yang disertakan juga sangat membantu sekiranya pemandu mahukan lonjakan kuasa yang lebih konsisten seperti yang diingini.

Dengan padanan penjana kuasa ini, varian 2.2D GLS ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 9.1 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 206 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya pula sekitar 5.9 liter bagi setiap 100 km mengikut kitaran NEDC – boleh dikatakan agak menjimatkan.

PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Sudah menjadi anggapan skeptikal oleh sesetengah pihak yang mengatakan enjin diesel selalunya bising. Namun tidak bagi varian CX-5 ini. Adakalanya tak sedar pun ia dijanakan oleh enjin diesel. Biarpun bunyinya tidaklah seaman enjin janaan petrol, namun hakikatnya ia tidak bising sampai menganggu konsentrasi. Inilah antara kelebihan yang dipersembahkan oleh Mazda dalam penghasilan teknologinya.

Bukan itu sahaja, keselesaan pemanduannya juga telah banyak dipertingkatkan, berbanding model terdahulu. CX-5 ini tampil dengan kawalan stereng yang lebih langsung dan mudah dikawal serta tangkas, adakalanya tidak terasa sedang mengendalikan sebuah SUV yang bertubuh sederhana besar. Juga, sistem G-Vectoring Control (GVC) turut menjadi kelebihan tersendiri buat model ini.

Bukan itu sahaja, kekukuhan badannya juga telah dipertingkatkan di mana kerangkanya adalah 15% lebih tegar berbanding model terdahulu. Ini bermakna, ia juga dapat mengurangkan daya olengan badan sekaligus boleh membantu mengurangkan kemungkinan penumpang daripada terkena ‘car sick’.

PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Malah sistem suspensi yang digunakan iaitu jenis MacPherson di hadapan dan Multi-Link di belakang boleh dikatakan agak lembut dan mampu menyerap hentakan dengan lebih jitu; tetapi ia bukanlah paling lembut di dalam kelasnya. Tahap NVH pula memang boleh dipuji, kerana kurang juga kedengaran bunyi bising enjin, kotak gear, tayar atau daya seretan jalan, termasuk dengan getaran dan kekerasan apabila SUV ini meluncur di jalanan.

Untuk recap, bagi luarannya, varian 2.2D GLS 2WD dilengkapi dengan lampu utama projektor LED adaptif dengan lampu tinggi auto, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang kombinasi LED dan lampu kabus hadapan/belakang LED.

Manakala di bahagian dalamnya pula, tempat duduk balutan kulit sepenuhnya berwarna hitam dengan larasan berkuasa untuk tempat duduk pemandu, pendingin hawa (A/C) dwi-zon automatik dengan corong A/C untuk tempat duduk belakang, tiga soket kuasa (dua di hadapan, satu di bahagian but), Map Lights, sistem infotainment dengan skrin sesentuh tujuh-inci MZD Connect bersama tombol Commander Control, Bluetooth dan enam-pembesar suara.

Selain turut menampilkan auto start/stop, kawalan kelajuan, butang penghidup enjin dengan kemasukan tanpa kunci, Tiptronic, bantuan mula mendaki, dan brek parkir elektronik.

Bagi aspek keselamatan, terdapat elemen tambahan untuk varian 2.2D GLS ini iaitu sistem info titik buta, sistem brek sendiri, bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran selain elemen standard termasuk Mazda i-Stop Idling Technology, enam-beg udara, ABS dengan EBD, Isofix dan Kawalan Kestabilan Dinamik yang termasuk dalam GVS.

Jadi dengan harga atas jalan RM164,179.09 (tanpa insurans), jika anda mencari SUV janaan enjin diesel (walau pun harga petrol dan diesel dah tak jauh beza, tak macam dahulu), mungkin anda patut mempertimbangkan CX-5 2.2D GLS 2WD (jika bukan untuk kegunaan off-road). Ya, harganya dilihat agak tinggi, namun dengan penawaran penjana kuasa, teknologi yang dipersembahkan dan segenap elemen yang diberi, ia cukup berbaloi untuk dimiliki.

Farid Awaludin – Mazda CX-5 2.2 GLS SkyActiv-D 4WD

PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Antara lima varian yang ditawarkan untuk Mazda CX-5 generasi terbaharu ini, saya berpeluang untuk memandu uji varian turbodiesel 2.2 GLS SkyActiv-D 4WD. Dari segi ciri-ciri yang diberikan, kesemuanya adalah sama keseluruhannya dengan model 2.2 GLS SkyActiv-D 2WD yang diuji oleh Kak Izwa. Jadi rasanya tidak perlu saya ulas panjang lebar lagi berkenaan kelengkapan yang diberikan.

Apa yang nampak berbeza pada model ini adalah perkataan ‘AWD’ di bawah logo ‘CX-5’ SUV ini. Perbezaan yang sukar untuk anda nampak pula tentunya propeller shaft yang merentangi casis SUV berkenaan, bersama gandar belakang dan juga drive shaft untuk memacu roda belakang.

Dengan tambahan sistem mekanikal tersebut model 4WD ini ditimbang pada 1,719 kg atau 63 kg lebih berat dari model 2WD (1,656 kg). Oleh itu, prestasi pecutan 0-100 km/j model ini juga pastinya sedikit lembab iaitu 9.5 saat, manakala penggunaan bahan api juga sedikit tinggi dengan 6.2 L/100 km mengikut kitaran NEDC (9.1 saat dan 5.9 L/100 km untuk model 2WD).

PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

Jadi, kenapa anda perlu memilih model 4WD yang dijual pada harga atas jalan RM174,779.10 ini berbanding model 2WD dengan harga yang lebih rendah (RM164,179.10) serta lebih pantas dan jimat bahan api? Perlu saya highlight di sini, enjin SkyActiv-D pada SUV ini mempunyai tork yang agak besar iaitu 420 Nm, kesemuanya dapat dilepaskan pada kelajuan enjin serendah 2,000 rpm.

Jika anda memandu secara normal, tork berkenaan mungkin tidak memberi apa-apa kesan. Tetapi, sekiranya SUV ini dipandu pantas ketika bermain dengan selekoh, atau dalam keadaan basah, waktu ini baru anda sedar bagaimana sistem pacuan semua roda berkenaan memainkan peranannya.

Dalam keadaan biasa, kuasa akan dihantar sepenuhnya pada roda hadapan. Namun sekiranya anda meredah selekoh pada kelajuan tinggi atau permukaan jalan yang licin, sebahagian tork akan dipindahkan ke roda belakang berdasarkan sudut stereng, suhu, dan permukaan jalan. Dengan sistem 4WD ini, anda boleh mengawal tork yang besar tersebut dengan lebih lancar dengan bantuan traction yang berikan pada kedua-dua roda belakang.

Satu lagi yang saya perasan sepanjang memandu CX-5 generasi baharu ini adalah kualiti perincian pemanduan yang kini nampaknya dititik beratkan oleh Mazda. Jika anda biasa memandu jenama ini seperti model sedan 3 atau CX-5 generasi sebelumnya, pasti anda akan perasan jurutera Mazda membina kereta-kereta mereka dengan memfokuskan prestasi pemanduan dan meletakkan aspek keselesaan dan NVH di tempat kedua.

Jadi kebiasaannya model-model kenderaan Mazda sebelum sangat seronok dipandu dan memberikan keterujaan ketika meredah selekoh, tetapi kabin model-model berkenaan agak bising dan penumpang biasa berasa kurang selesa dengan talaan suspensi yang diberikan.

Namun menerusi CX-5 generasi kedua ini, Mazda nampaknya mula mempertingkatkan aspek tempat kedua berkenaan, tanpa mengorbankan keseronokan pemandu. SUV ini masih lagi mengekalkan sifatnya ketika anda melayan selekoh, tetapi pada masa yang sama, penumpang juga kini lebih selesa berbanding sebelumnya. Binaan-binaan lain turut terasa lebih solid, dan kabin model baharu ini jelas lebih senyap dari model generasi pertama.

GALERI: Mazda CX-5 2.0 GL SkyActiv 2WD

GALERI: Mazda CX-5 2.2 GLS SkyActiv-D 4WD

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Awesome CX5 is Awesome! on Feb 11, 2018 at 12:11 am

    Sedikit pendapat dari pihak saya dari segi penulisan.

    Untuk penerangan dari segi sistem keselamatan seperti Bantuan Kekal Lorong & Amaran Pelanggaran mungkin boleh ditulis dengan huruf besar dihadapan / italic font walaupun sistem ini telah lama diguna-pakai supaya pembaca lebih peka dengan ciri-ciri tersebut.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required