Menepati laporan yang kami siarkan bulan lalu, kini Suzuki Swift generasi baharu telahpun dilancarkan di Thailand. Mengikut jejak generasi sebelumnya, model terbaharu ini turut dijual di Thai dengan spesifikasi menepati undang-undang Kereta Eco.

Oleh itu, pasaran Thailand hanya menerima Swift yang dijana enjin NA 1.2 liter empat-silinder, berbeza dengan versi JDM yang turut diberikan pilihan enjin Booster Jet 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 102 PS/150 Nm. Enjin K12M Dualjet pasaran Thai berkenaan mampu menjana 83 PS dan tork maksima 103 Nm.

Kuasa dari enjin dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik, tanpa pilihan transmisi automatik. Jika anda perhatikan pada angka kuasa, enjin baharu ini juga dilihat kurang berkuasa dari model sebelumnya. Ini adalah kerana undang-undang Kereta Eco Thai kini sudah masuk ke peringkat kedua dan semua kenderaan di bawah regulasi berkenaan perlu mencapai penggunaan bahan api 23 km/l dan kadar emisi CO2 100 g/km.

Enjin tersebut juga diberikan sistem auto start/stop serta boleh beroperasi dengan bahan api campuran Ethanol E20. Juga berbeza dengan versi JDM untuk menjadikan model ini lebih mampu milik di bawah skim Kereta Eco berkenaan, Swift Thai 2018 tidak disertakan dengan sistem hibrid ringkas yang menggunakan integrated starter generator (ISG).

Walaupun kuasa enjin berkurangan, Swift generasi baharu yang dibina berasaskan platform Heartect ini mampu dihasilkan dengan lebih ringan – ditimbang sekitar 875 hingga 910 kg.

Untuk pasaran Thai ini, Swift ditawarkan dengan empat varian berbeza – GA, GL, GLX dan GLX-Navi – dijual pada harga bermula 499,000 baht (RM61,762) hingga 629,000 baht (RM77,836). Ia bakal berhadapan dengan kereta-kereta Eco Thai yang lain seperti Mazda 2, Mitsubishi Mirage, Nissan March, dan peneraju segmen Toyota Yaris.

Bagi membezakan varian, sudah pasti keempat-empat versi tersebut menerima kelengkapan berbeza. Model asas Swift GA didatangkan dengan lampu hadapan reflektor, rim besi, dua pembesar suara, tiada cermin solek, tiada pemegang tangan untuk penumpang belakang, tiada cermin tingkap berkuasa pada bahagian belakang serta tiada kunci kawalan jauh bersama sistem kunci pusat. Namun ia tetap diberikan dengan dua-beg udara, ABS dan ESP.

Model GLX yang dijual pada harga 609,000 baht (RM75,373) pula menerima kelengkapan standard seperti roda stereng balutan kulit dengan larasan teleskopik bersama butang kawalan audio, cruise control, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik, enam pembesar suara, panel LCD pada meter, lampu kabus, lampu nyalaan siang LED, lampu hadapan LED projektor dan pelbagai lagi.

Model ini juga diberikan rim aloi 16-inci (seinci lebih besar) serta bahagian luaran yang lebih sporty menampilkan jalur serlahan merah pada gril hadapan. Manakala untuk GLX-Navi pula, segala kelengkapan adalah sama tetapi diberikan tambahan skrin infotaimen tujuh-inci bersama sistem navigasi, dan turut menyokong fungsi Apple CarPlay serta Mirrorlink.

Seperti yang diketahui, Suzuki telahpun menutup operasi mereka di Malaysia pada 2016 setelah menandatangani kerjasama bersama Proton. Jadi sudah tentu kita hanya mampu melihat sahaja Swift dilancarkan di negara-negara jiran tanpa berpeluang untuk membelinya dari pengedar sah.