PANDU UJI: Kia Picanto 2018 bukti saiz bukan ukuran – prestasi tiada berbeza, imej sedikit dipertingkatkan

PANDU UJI: Kia Picanto 2018 bukti saiz bukan ukuran – prestasi tiada berbeza, imej sedikit dipertingkatkan

Kia Picanto 2018 merupakan model kenderaan pertama yang dilancarkan pada tahun ini untuk pasaran Malaysia iaitu pada 10 Januari lalu. Mungkin ramai yang beranggapan Picanto hanyalah sebuah kompak dari segmen-A yang biasa-biasa sahaja yang cukup sesuai untuk golongan muda yang baru bekerja, atau pun berpendapatan sederhana kerana harganya yang boleh dikatakan agak murah, sekitar RM49,888 (tanpa insurans).

Dengan penawaran harga sebegitu, ia juga dikatakan memberikan persaingan yang agak sengit terhadap Perodua Myvi 2018 yang berharga antara RM44,300 hingga RM55,300 serta Proton Iriz (RM42,400-RM57,000). Jadi, bagaimana Picanto hendak bersaing dengan kedua-dua model buatan tempatan ini? Apakah penawaran yang lebih baik yang ada padanya?

Menerusi ulasan pandu uji ini, kami cuba bongkarkan kelebihan dan kekurangan yang ada pada Picanto generasi ketiga ini, sebagai alternatif sekiranya anda mahu membuat pilihan yang lebih tepat dan terbaik.

Untuk pasaran Malaysia, hanya satu sahaja varian Picanto yang dipasarkan iaitu 1.2 EX yang masih mengekalkan penjana kuasa KAPPA 1.2 MPI DOHC dengan hamburan kuasa 83 hp pada 6,000 rpm dan tujahan tork 122 Nm pada 4,000 rpm.

PANDU UJI: Kia Picanto 2018 bukti saiz bukan ukuran – prestasi tiada berbeza, imej sedikit dipertingkatkan

Eh! Cukup ke prestasi yang disalurkan dari enjin berkapasiti rendah ini? Sebenarnya tidak, tetapi apakan daya, itu saja pilihan enjin untuk Malaysia. Jadi ternyata Picanto ini lebih sesuai untuk pemanduan biasa-biasa saja.

Tetapi, jika anda ingin melenjan Picanto ini secara sedikit agresif, jangan terkejut kerana ia boleh memberikan kelajuan yang agak luar biasa, mampu mencecah 170 km/j! Kerahan tenaga dengan bantuan kotak gear konvensional automatik empat-kelajuan boleh memacu Picanto ini lebih agresif, seakan mengolah prestasi di luar kemampuan sebenarnya.

Walau pun agak lambat sedikit untuk bertindak dan enjin memang perlu dikerah lebih tekanan, namun sekurang-kurangnya kotak gear konvensional ini ternyata lebih memuaskan jika hendak dibandingkan dengan CVT pada model pesaingnya, Iriz, walau pun dengan hanya empat-kelajuan. Tapi awas, dalam kelajuan yang agak tinggi dengan angka yang disebut, sedikit berbahaya buat Picanto yang bertubuh kecil ini. Jadi, kami tidak mahu menggalakkan anda berbuat demikian.

PANDU UJI: Kia Picanto 2018 bukti saiz bukan ukuran – prestasi tiada berbeza, imej sedikit dipertingkatkan

Walau bagaimana pun, penulis merindui kotak gear manual yang pernah ditawarkan dalam barisan Picanto terdahulu. Ia lebih mudah menyerap kepuasan dalam pemanduan. Namun sayangnya, kali ini, varian manual tidak ditawarkan untuk Malaysia.

Kecil-kecil cili padi, itulah peribahasa yang paling tepat buat Picanto 2018 ini. Bertubuh kecil tetapi tetap ligat dan masih mampu memberikan keseronokan untuk dikendalikan. Penulis cukup menyenangi ‘rasa’ yang diberikan oleh roda sterengnya. Dengan balutan kulit yang nampak premium, ia juga ‘sedap’ dipegang sekaligus memberikan kepuasan dalam membelainya. Satu-satunya elemen dalaman yang penulis gemari pada Picanto baharu ini.

Malahan kawalan roda sterengnya juga bersifat responsif. Banyak membantu pengendalian model kompak ini secara lebih optimum. Sistem suspensi yang digandingkan iaitu topang MacPherson di hadapan dan Coupled Torsion Beam Axle (CTBA) di belakang bersifat sederhana. Memang boleh membantu menyerlahkan karakteristik Picanto ini walau pun bukanlah ke tahap yang begitu membanggakan.

PANDU UJI: Kia Picanto 2018 bukti saiz bukan ukuran – prestasi tiada berbeza, imej sedikit dipertingkatkan

Seperti mana yang dikatakan, si kecil molek ini hadir dengan ukuran 3,593 mm panjang, 1,595 mm lebar, 1,485 mm tinggi dan jarak roda 2,400 mm (+15 mm lebih berbanding model terdahulu).

Bagi kerangkanya pula, Picanto 2018 ini telah diperkukuhkan dengan binaan yang mengandungi dua kali ganda bahagian daripada Advanced High Strength Steel (AHSS) berbanding model sebelumnya. 44% daripada kerangka kereta kompak ini telah dibentuk menggunakan material berkenaan berbanding dahulu hanya 22%. Ini turut menyumbang kepada pengurangan berat sebanyak 23 kg dan pada masa yang sama meningkatkan ketegarannya sebanyak 12%.

Menurut Kia, besi baharu yang digunakan ini mampu memperkukuhkan beberapa bahagian utama, termasuk bahagian lantai, bumbung serta ruang enjin dan juga A-pillar dan B-pillar. Pelekat struktur (structural adhesive) badan yang digunakan juga lapan kali lebih berkesan dan kuat berbanding sebelumnya (sambungan keseluruhan sepanjang 67 meter pada kerangkanya kini menggunakan pelekat berkenaan). Malahan kekerasan badan Picanto 2018 ini juga berjaya dipertingkatkan sebanyak 32%.

Selain itu, imej rekaan luarannya juga lebih kemas dan menarik perhatian berbanding model sebelum ini. Malah ia juga nampak lebih sporty dengan rekaan gril open-link yang menyerlahkan bahagian hadapannya dan menampakkan ia lebih lebar walau pun masih kekal ringkas.

Selain itu, ia juga ditampilkan dengan lampu utama projektor dwi-fungsi, lampu isyarat dan lampu nyalaan siang LED. Bahagian bamparnya pula, walau pun masih kekal seperti model sebelum ini, namun ia telah diperkemaskinikan. Ia turut dipadankan dengan roda aloi bersaiz 14-inc yang dibaluti tayar 175/65 R14. Untuk belakangnya pula, ia dipadankan dengan lampu kombinasi LED dengan rekaan baharu berbentuk-C, corong ekzos tunggal, spoiler, dan shark finn antenna.

Menjengah bahagian kabinnya pula, ruangnya ternyata lebih luas dan selesa, malah ketinggian tempat duduk depan dikurangkan sebanyak 10 mm, dan dianjakkan ke belakang sebanyak 5 mm. Ini memberikan kelebihan kepada ruang kepala yang kini menerima pertambahan 3 mm, manakala ruang kaki pula kini ditambah 15 mm.

PANDU UJI: Kia Picanto 2018 bukti saiz bukan ukuran – prestasi tiada berbeza, imej sedikit dipertingkatkan

Kedudukan sterengnya juga dinaikkan sebanyak 10 mm untuk memberikan kelebihan ruang lutut dan kaki bagi pemandu. Keluasan ini turut diberikan kepada ruang barangan kereta kompak ini dengan kapasiti 255 liter dan mampu mencapai 1,010 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipatkan dengan nisbah 60:40.

Untuk kabinnya, Kia telah menampilkan beberapa elemen baharu termasuklah sistem infotainmen dengan skrin sesentuh ala ‘terapung’ yang lebih besar iaitu bersaiz tujuh-inci, dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto dengan ciri pengesanan suara serta kamera undur bersama garisan panduan dinamik. Selain itu, ia juga menempatkan beberapa slot untuk USB, AUX dan Bluetooth.

Elemen lain yang turut ditampilkan bagi model ini ialah sistem kemasukan tanpa kunci dan butang Push Start, tombol gear balutan kulit, tempat duduk balutan fabrik, dan enam pembesar suara.

PANDU UJI: Kia Picanto 2018 bukti saiz bukan ukuran – prestasi tiada berbeza, imej sedikit dipertingkatkan

Untuk keselamatan, Picanto 2018 ini masih dikekalkan dengan enam beg udara, ABS, Sistem Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki (HAC) dan Isofix.

Bagi pilihan warna badannya pula, Picanto 2018 didatangkan dengan lima warna menarik iaitu Lime Light, Honey Bee, Pop Orange, Clear White dan warna yang paling popular di kalangan pembelinya, Titanium Silver.

Dengan harga atas jalan yang disebut di perenggan pertama iaitu RM49,888 (tanpa insurans), adakah anda rasakan Picanto 2018 ini boleh menjadi pilihan yang berbaloi? Enjinnya sekadar 1.2L dengan padanan kotak gear automatik empat-kelajuan yang lebih kurang sama dengan pesaing terdekatnya iaitu Myvi 1.3L juga dengan automatik empat-kelajuan yang berharga sekitar RM46,300 dengan gaya yang serba baharu. Atau pun jika dibandingkan dengan Proton Iriz 1.3L facelift tetapi dengan CVT yang berharga antara RM45k-RM49k tetapi imejnya tak banyak berubah dari model sebelum ini.

Jadi, bagaimana pilihan anda? Tepuk dada, sila tanya selera (dan juga poket) anda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required