Toyota Gazoo Racing Festival 2018 – permukaan litar tidak rata TPM beri cabaran tambahan kepada pelumba

Toyota Gazoo Racing Festival 2018 – permukaan litar tidak rata TPM beri cabaran tambahan kepada pelumba

Hujung minggu ini, Festival Toyota Gazoo Racing 2018 pusingan keempat berlangsung di Technology Park Malaysia (TPM), Sungai Besi, dan aksi lebih mendebarkan dalam perlumbaan Vios Challenge Malaysia esok dapat dijangka. Dikatakan sebegitu kerana dalam pusingan kelayakan yang berakhir sebentar tadi, pelbagai aksi sudah boleh dilihat.

Bagi yang mengikuti siri perlumbaan ‘one-make’ yang menggunakan Toyota Vios 1.5 liter ini, anda pasti sudah tahu, kebanyakan litar sebelum ini sudah cukup mencabar dengan ruang yang sempit dan selekoh-selekoh tajam. Pada pusingan sebelum ini, ia lebih mengujakan apabila hujan turun.

Dalam pusingan keempat di TPM ini juga, keadaan litarnya hampir sama, tetapi peserta berhadapan dengan cabaran tambahan, iaitu permukaan yang beralun dan licin di beberapa bahagian. Dalam pusingan kelayakan ini sahaja sudah ada beberapa peserta yang kemalangan kerana kenderaan dipandu melebihi tahap cengkaman.

Bagi setiap kategori, masa yang diberikan untuk sesi kelayakan adalah 30 minit, dan setiap pelumba perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencatat masa terpantas demi mendapatkan petak permulaan yang terbaik untuk hari perlumbaan sebenar esok.

Dalam kategori Sporting, sesi kelayakan berjalan dengan tenang kerana setiap pelumba pandai menjarakkan diri supaya tidak terganggu untuk mencatat masa terpantas. Sebaik berakhir, Brendan Anthony, iaitu pelumba pasukan Dream Chaser yang mendapat tempat kedua semasa perlumbaan di Johor Bahru berjaya mencatat masa terpantas, 1 minit 17.91 saat.

Tidak jauh di belakang beliau adalah Brendon Lim dari pasukan Tedco Racing dengan catatan masa 1 minit 18.107 saat manakala di tempat ketiga adalah Tam Wei Han dari pasukan Nanoplus dengan catatan masa 1 minit 18.355 saat.

Sesi kelayakan kedua adalah untuk kategori Promotional, iaitu yang melibatkan selebriti terkenal. Pelumba dalam kategori ini cuma ada sembilan orang, tetapi tidak kurang sengitnya kerana ada beberapa selebriti yang cukup hebat setelah melalui kelas perlumbaan yang dianjurkan sebelum ini.

Selepas hampir 15 minit sesi kelayakan berlangsung, Geraldine Gan hilang kawalan terhadap kenderaan yang dipandu dan telah melanggar tembok. Beliau hanya dapat melengkapkan sembilan pusingan dan catatan masa beliau berada di tangga terbawah dan akan memulakan perlumbaan esok di tempat terakhir.

Toyota Gazoo Racing Festival 2018 – permukaan litar tidak rata TPM beri cabaran tambahan kepada pelumba

Masa paling pantas berjaya dicatat oleh Shukri Yahaya, iaitu 1 minit, 18.268 saat, dan beliau diikuti rapat oleh Shawn Lee yang mencatat 1 minit 18.708 saat. Mengejutkan untuk pusingan kali ini, Diana Danielle berjaya mencatat masa ketiga terpantas, iaitu 1 minit 19.867 saat. Menurut beliau, kehadiran suami serta anak yang hadir buat kali pertama juga membantu memberi beliau lebih semangat.

Dalam kategori Super Sporting, Tengku Djan cuma melengkapkan dua pusingan dalam sesi kelayakan dan masa terpantas meletakkan beliau di petak perlumbaan ketujuh. Pemenang pusingan di Johor Bahru, William Ho sekali lagi menunjukkan kehebatan apabila berjaya mencatat masa terpantas iaitu 1 minit 16.155 saat, dan akan memulakan perlumbaan esok di petak pertama.

Petak perlumbaan kedua bakal diisi oleh Kenny Lee, yang mencatat masa 1 minit 16.351 saat hari ini, dan di belakang beliau adalah Wong Yew Choong dari pasukan ST Wangan yang mencatat 1 minit 17.039 saat. Safiq Ali, yang sebelum ini berjaya mendapat tempat ketiga dalam perlumbaan di Johor Bahru bakal memulakan perlumbaan esok di TPM di tempat keenam.

Untuk orang awam, anda masih berpeluang melihat sendiri aksi perlumbaan Vios Challenge Malaysia ini esok di TPM, dan aktiviti di litar akan bermula seawal jam 10 pagi. Bagi mereka yang berada jauh dari Lembah Kelang dan Kuala Lumpur, anda juga boleh menyaksikan siaran langsung perlumbaan di pusat pameran Toyota. Selain perlumbaan pelbagai aktiviti lain turut disediakan seperti pandu uji kenderaan terbaru Toyota dan konsert oleh artis terkenal.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required