Modenas Dominar 400 dilancarkan – harga RM14,615

Modenas Dominar 400 dilancarkan – harga RM14,615

Ini merupakan motosikal kedua yang dilancarkan dalam tempoh kurang seminggu selepas SYM VF3i; Modenas Dominar 400 pula telah diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ini juga menandakan kemasukan Modenas ke dalam segmen motosikal berkuasa yang lebih tinggi.

Selepas Modenas Pulsar (NS200 dan RS200) serta Modenas V15 yang diperkenalkan sebelum ini, Dominar 400 – sebuah jentera Sports Tourer – menjadi model ketiga hasil kerjasama dengan Bajaj Auto dari India yang menjengah pasaran tempatan setakat ini.

Modenas Dominar 400 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal berkapasiti 373 cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 35 PS pada 8,000 rpm manakala tork pula 35 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini juga hadir dengan teknologi Digital Triple Spark Ignition (DTSi), empat injap, sejukan cecair serta sistem suntikan minyak.

Bagi transmisi, ia menggunakan kotak gear enam-kelajuan dengan slipper clutch, sistem ABS dua saluran, fork teleskopik 43 mm untuk bahagian depan, sementara penyerap hentak belakang menggunakan jenis monoshock dengan pelbagai tahap larasan. Kapasiti tangki minyaknya ialah 13 liter.

Lebih menarik tentulah harga yang ditawarkan; RM13,788 (tidak termasuk GST). Kalau ditambah dengan GST, ini bermakna harganya ialah RM14,615. Bagaimanapun, ini merupakan harga istimewa sewaktu pelancaran dan akan ditawarkan dalam masa yang terhad, sehingga dimaklumkan nanti.

Disasarkan sebagai jentera kembara dan juga untuk kegunaan dalam bandar, Modenas Dominar D400 mempunyai banyak kelebihan untuk menarik perhatian pengguna serta mengatasi pesaing-pesaing lain yang ada kini, misalnya KTM Duke 390 dan RC 390.

Ciri-ciri lain yang melengkapi model ini antaranya ialah lampu utama LED penuh dengan fungsi nyalaan auto, yang membolehkan motosikal ini dilihat dari jarak sejauh 1.5 km. Selain itu, brek cakera untuk bahagian depan (320 mm) dan belakang juga disediakan, memberi daya henti yang cekap.

Modenas Dominar 400 dilancarkan – harga RM14,615

Dari sudut prestasi, motosikal ini mampu memberikan bacaan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.23 saat. Pecutan maksimum yang boleh dicapai pula ialah 148 km/j. Kemampuan membreknya pula, dari kelajuan 100 km/j hingga berhenti, ialah dalam jarak 46.19 meter.

Dimensi binaan Modenas Dominar 400 adalah seperti berikut; 2,156 mm panjang, 813 mm lebar dan 1,112 mm tinggi. Jarak antara rodanya pula ialah 1,453 mm dengan jarak kelegaan tanah 157 mm. Berat pula ialah 182 kg.

Saiz tayar yang digunakan ialah 110/70-17 untuk hadapan, dan 150/60-17 untuk bahagian belakang. Paparan meter yang digunakan pula dari jenis split reverse LCD yang membahagi paparan speedometer kepada dua konsol berbeza untuk memudahkan pemerhatian penunggang.

Modenas Dominar 400 didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 24,000 km, yang mana dahulu. Selain itu, lima servis pertama juga akan diberikan secara percuma. Jadi, harga pelancaran ini hanya untuk sementara sahaja. Kalau anda betul-betul berminat, kena cepatlah. Harganya akan naik lebih tinggi dan diumumkan pada satu tempoh yang belum dinyatakan lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Terbaik, harga mampu milik

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • fznoob on Apr 19, 2018 at 10:14 am

    jarak brek berhenti dari 100km/j ke 0 ….46 meter.. pakai brek basikal ke aper nih..ke pakai kaki jer

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 3
  • Sempoi on Apr 24, 2018 at 9:16 am

    46m kira dah bagus la tu. Ada kajian dibuat dgn tayar bagus, tekanan angin ok, jalan kering, pun dpt 98m. Nak komen sila kaji dulu, paling senang try google stopping distance from 100km/h.

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • Zaihan on Jun 06, 2019 at 9:07 pm

    Enjin tahan lasak tak?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required