PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0T Luxury – ketelitian dan kemewahan dalam satu pakej SUV yang sarat kualiti

PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0T Luxury – ketelitian dan kemewahan dalam satu pakej SUV yang sarat kualiti

Kebelakangan ini, semakin banyak masa diluangkan untuk mencuba dan memandu uji jenis kenderaan SUV, semakin terserlah pula kelebihan dan ketenangan ketika memandu kenderaan dalam segmen berkenaan. Tambahan pula, penawaran SUV generasi baru ketika ini – dari jenama mana pun – jika diperhatikan dengan dekat, akan membuatkan ramai orang untuk menghargainya dengan lebih baik.

Ini didorong pula oleh senarai kelengkapan dan spesifikasi yang sangat mengkagumkan, bahkan ada ciri-ciri yang termaju juga, yang melengkapi penawaran SUV-SUV yang sekaligus menjadikan pasaran dalam segmen itu sangat menarik dan kompetitif sekali. Jika anda ingin mencari sebuah SUV, dan sekiranya tidak terlampau terikat dengan kekangan wang ringgit, pilihan yang ada sangat meriah dan pelbagai.

Jika anda kerap mengikut perkembangan artikel di laman kami ini, tentunya anda pernah terserempak dengan beberapa ulasan pandu uji model yang pernah ditampilkan – sebagai contoh Volvo XC60 dan BMW X5 xDrive 40e – dan anda akan faham mengapa segmen kenderaan ini semakin berkembang dan lebih menarik berbanding sebelumnya.

Penawaran teknologi termaju (misalnya teknologi plug-in hyrbid bagi kedua model yang disebutkan itu), dengan perincian sistem bantuan memandu yang lain serta ciri-ciri keselamatan yang ada mencerminkan perkara yang dimaksudkan di sini.

PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0T Luxury – ketelitian dan kemewahan dalam satu pakej SUV yang sarat kualiti

Walaupun mungkin semua ini terdapat pada SUV keluaran jenama Eropah dan disasarkan untuk pasaran premium sahaja, SUV lain yang ada juga tidak ketinggalan jauh sebenarnya, walaupun bukanlah berada di dalam segmen yang sama atau pesaing secara langsung bagi dua contoh tadi.

Misalnya, SUV lima tempat-duduk Toyota Harrier 2.0T Luxury 2018 yang dipandu uji kali ini. Seperti yang kita tahu, ia adalah dari pengeluar kenderaan Jepun yang tersohor, serta merupakan kali pertama ditawarkan untuk pasaran di luar Jepun secara rasmi. Untuk Malaysia, kini model ini dibawa masuk terus sebagai unit CBU oleh UMW Toyota dari negara matahari terbit itu.

Jika mungkin ada di antara kita yang sinis dengan menyatakan ia “hanya” keluaran Toyota, SUV ini mempunyai seribu satu perkara yang akan menafikan pandangan sebegitu. Di bawah keluarga besar Toyota, ada barisan kenderaan penumpang yang menggunakan logo Toyota sendiri dan ada juga yang berada di bawah lambang Lexus yang lebih premium.

Dan keunikan Harrier bermula dari sini; walaupun ia dipasarkan dengan lambang Toyota, SUV ini mempunyai logo ikonik sendiri seperti yang dapat dilihat pada bahagian depannya. Dan, jika dinilai cara penyediaan, ketelitian dan kemewahan yang ditampilkan pula, ia berada sedikit di depan berbanding model-model Toyota yang lain yang pernah kita lihat di Malaysia.

Tidak berlebihan sebenarnya jika ingin membandingkan kemasan, kemewahan dan ketelitian buatan yang ada pada Harrier baru ini lebih mirip kepada barisan kenderaan jenama Lexus. Ini secara tidak langsung menggambarkan hasrat Toyota terhadap SUV ini; menjadi “jambatan” penawaran antara dua jenama yang dinaungi syarikat itu, dan mungkin juga berperanan sebagai model “peralihan” antara Toyota dan Lexus. Inilah tanggapan yang lahir selepas berpeluang memandu SUV ini minggu lalu.

Harrier yang pernah kita lihat sebelum ini yang berada di atas jalan raya Malaysia bukanlah merupakan unit yang dibawa masuk secara rasmi oleh pengedarnya, melainkan model yang dijual oleh pengimport persendirian.

Maksudnya, tiada jaminan pengeluar yang datang sekali dengan pembelian SUV dari saluran berkenaan. Dan, model-model Harrier yang ada itu merupakan model dengan spesifikasi lama yang kini sudah ketinggalan – versi rasmi yang dibawa masuk kini memiliki pelbagai pembaharuan dan peningkatan yang khusus untuknya.

Kita lihat dulu apa perbezaan yang ditawarkan oleh model yang dibawak masuk secara rasmi ini. Sebagai permulaan, dari aspek luaran, ia merupakan versi facelift terkini Harrier, yang tampil dengan rekaan lampu utama yang baru dengan teknologi LED dengan sistem lampu tinggi adaptif.

Ciri berkenaan akan mengesan kenderaan di hadapan dan menurunkan paras pancaran lampu agar tidak menyilaukan pengguna lain yang datang dari depan. Tidak lupa juga lampu DRL LED dan juga dilengkapi dengan lampu isyarat sequential untuk bahagian depan.

Satu lagi perbezaan penting ialah enjin yang digunakan. Versi terkininya ini datang dengan enjin 2.0L VVT-iW dengan Twin Scroll Turbocharger yang mampu menghasilkan sebanyak 231 PS, lebih 79 PS berbanding enjin Harrier sebelum ini (atau bersamaan dengan 227 hp pada 5,200 rpm).

Tork yang dijana pula ialah sebanyak 350 Nm pada 1,650 rpm, dan ia dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Bagi unit yang dibawa masuk bukan mengikut saluran rasmi sebelum ini pula, enjin yang setara 2.0L hanya menghasilkan 152 PS dengan gandingan transmisi CVT.

Selain itu, Harrier yang diedarkan oleh UMW Toyota ini juga datang dengan pelbagai kelengkapan keselamatan terkini sebagai ciri standard. Ini termasuk Toyota Safety Sense (TSS), yang turut merangkumi di dalamnya ciri-ciri seperti Pre-Crash System, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping Assist (LKA) dengan Lane Departure Alert (LDA) serta Adaptive High-Beam System (AHB).

PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0T Luxury – ketelitian dan kemewahan dalam satu pakej SUV yang sarat kualiti

Di bahagian dalam pula, versi terbaru Harrier ini antara lain turut hadir dengan penggunaan material kulit Nappa premium sepenuhnya – dalam warna hitam yang elegan seperti yang dapat dilihat pada unit yang dipandu uji ini – serta bumbung panoramik yang luas, brek parkir elektronik serta dua set memori yang boleh digunakan untuk menentukan kedudukan tempat duduk. Semua ciri yang dinyatakan ini tiada pada Harrier yang dijual oleh pengimport persendirian.

Beralih pula kepada binaan dimensi SUV lima-tempat duduk premium ini. Ia terdiri daripada 4,725 mm panjang, 1,835 mm lebar, 1,690 mm tinggi serta jarak antara rodanya pula ialah 2,660 mm. Harrier ini ialah seberat 1,705 kg dengan tangki minyak berkapasiti 60 liter. Untuk mengangkut barang, ruang yang tersedia ialah 440 liter.

Jadi, apa perkara yang sempat dikutip ketika meluangkan masa bersama SUV ini? Tanggapan awal yang terlahir ketika pertama kali melangkah masuk ke dalam kenderan ini ialah serba-serbi tentang hal-hal yang boleh dilihat dan dipegang padanya menunjukkan ketelitian buatan yang sangat tinggi.

Ini tentulah sudah boleh dijangkakan; ia bukan sahaja dipasangkan di Jepun, Harrier juga menjadi antara model yang dibangunkan untuk pertama sekali sebagai model kenderaan bagi pasaran tempatan di Jepun.

Maksudnya, ia dibangunkan untuk memenuhi jangkaan yang tinggi yang telah diterima pakai untuk pasaran di sana. Dan, disebabkan ia hadir sebagai kenderaan CBU, dan merupakan kali pertama Harrier ditawarkan untuk pasaran di luar Jepun secara rasmi, maka kualiti yang ada padanya juga sangat tinggi.

Dari pengalaman sendiri, sudah lama rasanya tidak berpeluang untuk melihat kenderaan yang menggunakan logo Toyota didatangkan dengan tahap kecermatan buatan dan pemasangan yang seperti ini. Sebaik sahaja anda duduk di dalamnya, ia tak perlukan masa yang lama untuk anda mula sedar tentang semua perkara ini.

Harrier agaknya memang mementingkan ketelitian perincian, tidak hanya pada kualiti, tetapi juga terhadap penggunaan dan aspek operasi. Di sebabkan ia merupakan sebuah SUV, maka yang paling utama ingin diketengahkan ialah keselesaaan dan kesenangan cara guna.

Untuk keluar-masuk SUV ini, sistem tanpa kuncinya akan memudahkan anda. Hanya dengan gerak tangan biasa pada pemegang dari luar, pintu akan dibukakan kuncinya – tanpa perlu berbuat apa-apa pada alat kawalan jauh yang ada.

Ruang dalamnya juga berhasil menerbitkan perasaan yang sangat menyenangkan. Luangkan masa untuk menyentuh seberapa banyak bahagian padanya, dan anda akan sekali lagi berasa kagum. Misalnya bahagian papan pemuka, atau panel tepi pada pintu yang diberikan material lembut. Bagi sesetengah orang, hal ini mungkin tidak terlalu penting, tetapi dengan adanya perincian seperti ini kita tahu bahawa Harrier memang ingin menjadikan pengalaman ketika bersamanya bukan yang biasa-biasa.

Duduk ditempat pemandu atau penumpang, anda akan serta-merta sangat dialu-alukan, dan seterusnya akan duduk selesa sepanjang perjalanan yang akan ditempuhi. Tempat duduk di depan mempunyai liang bertujuan untuk menyediakan aliran udara sendiri – anda yang tentukan suhu dingin atau sebaliknya.

Seperkara lagi yang sangat berguna, terutama bagi mereka yang mempunyai hidung yang sensitif terhadap habuk ketika berada dalam kenderaan ialah ciri NanoE pada pendingin hawa; yang memastikan udara di dalam kabin sentiasa bersih untuk semua penumpang.

Dari aspek pemanduan, selayaknya sebuah SUV, Harrier lebih cenderung untuk menawarkan keselesaan mengatasi perkara-perkara lain. Dan, itu tidak pula bermaksud ia tidak seronok dipandu. Jika anda tahu meletakkan bagaimana gaya pemanduan yang sepatutnya yang diberikan sebuah SUV – tentulah tidak boleh disamakan dengan kereta sedan, misalnya – tentu anda akan dapat menghargai Harrier dengan lebih baik.

PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0T Luxury – ketelitian dan kemewahan dalam satu pakej SUV yang sarat kualiti

Ketika memandu uji unit ini, saya tidak teragak-agak untuk memandunya untuk perjalanan jauh, pergi-balik ke Sitiawan, Perak dalam satu hari. Selepas memandu santai di lebuh raya, jalan kampung yang menyusul berikutnya selepas susur keluar Bidor memberikan peluang lain untuk mencuba sisi berbeza SUV ini.

Alihkan suis mod pemanduan yang ada – dengan tiga pilihan tersedia; Eco, Normal dan Sport – untuk mendapatkan maklum balas pemanduan yang berbeza. Sekali-sekala, tentulah mod Sport menjadi pilihan, terutama ketika melalui jalan yang banyak selekoh. Dengan kelebihan kedudukan badannya yang boleh dikatakan rendah, kemampuannya diselekoh adalah tidak mengecewakan.

Tambahan pula, enjin yang digunakan ialah enjin 2.0L turbo baru yang membekalkan lebih banyak kuasa. Ini sekaligus menyuntik satu kelebihan lain padanya. Dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang ada – dan bukannya CVT – pasti ramai yang boleh bersetuju bahawa disebalik aspek praktikaliti dan keselesaan yang menjadi keutamaannya, Harrier tidak pernah mengabaikan sisi ketangkasan pemanduan. Bahkan, tidak berlebihan untuk dikatakan yang aspek ini cukup mengujakan bagi sebuah SUV.

Walaupun ia tampil sebagai SUV dengan imej yang sporty – garis bumbung yang rendah serta bahagian belakangnya jika diperhatikan dengan cermat akan kelihatan agak kompak – Harrier tidak kedekut ruang untuk mengangkut barangan. Laras atau lipatkan tempat duduk barisan kedua dan anda akan mempunyai lantai yang rata untuk tujuan itu.

Bukaan pintu untuk ruang belakang itu juga boleh ditetapkan dalam lima peringkat atau tahap ketinggian. Ini berguna sekiranya anda berada di ruang parkir yang terlalu rapat dengan dinding, atau bahagian siling terlalu rendah. Semuanya boleh ditetapkan melalui kawalan dari stereng dan paparan meter di depan pemandu.

Untuk kawalan sistem infotainmen pula, semuanya boleh dilakukan melalui skrin sentuh utama yang terletak ditengah (dengan paparan visual kamera undur). Di belakangnya juga terletak slot untuk pemain CD; satu ciri yang semakin jarang ditawarkan kerana telah digantikan oleh pemain media melalui USB atau streaming terus dari telefon pintar. Sistem bunyi yang ada juga menawarkan penataan audio yang ringkas tetapi padat.

Jika ada perkara yang kurang disenangi pada Harrier ini ialah ruang bagi penumpang belakang. Ia bukanlah kecil, tetapi untuk orang yang agak tinggi, bila diduduk dibarisan kedua, ruang kepala yang tersisa sangat sedikit. Mujur, bahagian penyandar kerusinya boleh dilaraskan untuk direbahkan lagi, jika perlu.

Kedua, tentulah harganya. Toyota Harrier 2.0T Luxury ini dijual pada harga RM259,900 atas jalan termasuk GST, tetapi tidak termasuk insurans. Sekiranya anda hanya memerlukan SUV lima-tempat duduk (atau mungkin 5+2) tidak kira dari segmen yang mana, masih ada pilihan-pilihan lain dengan tanda harga yang lebih “mesra poket” sebenarnya.

Tetapi, jika mengambil kira penawaran dalam segmen SUV premium, Harrier memiliki banyak kelebihan, termasuk dari segi harga. Dan, sekiranya mengambil kira juga ia merupakan unit CBU dari Jepun, Harrier memberikan lebih banyak nilai dan kualiti berbanding pesaing-pesaing yang ada di Malaysia ketika ini, contohnya Mercedes-Benz GLC.

Jadi, adakah Toyota Harrier 2.0T Luxury ini berbaloi untuk dipertimbangkan? Kami fikir, ya. Selain daripada semua perkara yang telah disentuh di atas, unit yang diedarkan oleh UMW Toyota ini juga datang dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan. Dan melihat kepada ketelitian yang dipersembahkan oleh pengeluarnya, ini sangat jelas menjadi pilihan terbaik bagi mereka yang memang inginkan sebuah Harrier; sebuah nama yang sudah menjadi “jenama” yang tersendiri serta dikenali ramai.

Toyota Harrier 2.0T Luxury 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • mr1031 on Apr 24, 2018 at 12:02 pm

    antara harrier ni dgn cx9 mana yg lg selesa dan premium?

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Bahari on Feb 04, 2023 at 3:29 pm

    Harrier v6 ini, jimat tak penggunaan petrol ? 1 liter berapa Kilometer dia boleh tempohi?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required