Semalam, seperti yang kita sedia maklum, Tun Dr. Mahathir dengan secara rasminya telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke tujuh. Dan, ini juga merupakan lembaran baru dalam naratif perjalanan sejarah Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berperlembagaan – Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional buat pertama kalinya selepas 61 tahun.

Untuk itu, menarik juga untuk kita tinjau semula apa yang pernah dinyatakan oleh PH di dalam Buku Harapan, sebuah manifesto pilihanraya gabungan itu – tentunya di sini kita akan memberi tumpuan kepada hal-hal yang berkaitan automotif.

Yang pertama, seperti yang tersenarai di dalam 10 janji PH yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas memerintah ialah berkaitan pengenalan subsidi bahan api bersasar untuk menstabilkan harga minyak. Ketika ini, harga minyak di Malaysia di tentukan mengikut sistem apungan secara mingguan.

PH menyatakan mereka akan menyediakan subsidi bahan api pada kadar yang difikirkan sesuai setiap bulan kepada kelompok yang layak (motosikal 125 cc dan kereta 1.3 liter ke bawah). Mereka menjelaskan, kuota yang sesuai akan ditentukan, dengan kaedah subsidi yang dihubungkan pada kad pengenalan individu, untuk mengelakkan salah guna. Dengan cara ini, subsidi yang akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

Yang kedua – juga terkandung dalam 10 perkara utama yang digariskan oleh manifesto berkenaan – ialah pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mengambil langkah untuk mengurangkan kos sara hidup. Ini secara langsung akan memberikan kesan kepada harga kenderaan. Bagaimanapun, penghapusan GST 6% (yang ada pada harga kenderaan ketika ini) bakal menyaksikan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang pernah digunakan sebelum ini sebagai ganti.

Bagi kenderaan, ini akan dikuti dengan cukai jualan, yang turut dikenakan sebelum pengenalan GST. Ia akan dikenakan terhadap harga kenderaan yang telah diluluskan oleh kerajaan, terutamanya nilai pasaran terbuka kenderaan itu (jika CKD) atau terhadap harga kos, insurans dan pengangkutan (jika CBU) – bersekali dengan duti eksais dan duti import. Perubahan harga akan berlaku, disebabkan oleh kaedah pengiraan yang berbeza ini.

Bagi insurans kenderaan pula, yang turut dikenakan dengan cukai tambahan 6%, kadar akhir bagi pelindungan insurans bagi kenderaan akan menjadi lebih rendah disebabkan pemansuhan ini, sekiranya tiada tambahan nilai pada insurans yang diambil itu (perbandingan pada kadar insurans yang setara ketika ini). Sebelum pengenalan GST, hanya duti stem dikenakan ke atas nilai berkenaan.

Bagi aspek lain, pemansuhan GST tidak akan memberi kesan terhadap servis, penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan atau pun harga aksesori dan alat ganti, kerana SST – yang sebelum ini juga dikenakan pada kadar 6% – akan mengambil alih semula.

Turut dinyatakan di dalam manifesto berkenaan ialah penghapusan tol, walaupun ia akan dinilai semula dan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun pemerintahan. PH juga akan menyatakan akan mengurangkan duti eksais pada kenderaan import dengan sesaran enjin 1,600 cc ke bawah untuk membolehkan pembelian kenderaan pertama pada harga yang lebih rendah. Untuk mengelakkan salah guna, hanya satu kereta yang akan dibolehkan untuk tujuan ini bagi satu isi rumah dengan pendapatan bulanan RM8,000 ke bawah.