Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

Suzzy Helmet adalah sebuah jenama helmet buatan khas (custom) atau novelty helmet, bertujuan untuk dijadikan koleksi peribadi pemiliknya, atau untuk pameran bagi meraikan budaya kreatif seni kustom di Malaysia. Ia bukanlah untuk digunakan sebagai helmet keselamatan di atas jalan raya.

Dari bilik kecil sebuah rumah di Bukit Permai, Cheras, Shahid al-Warith yang lebih senang disapa dengan nama Kecik, 23 tahun menjadikan ruang berkenaan sebagai “pusat operasi” jenama helmet yang diusahakan – Suzzy Helmet, dengan tagline “Helmet Itu Ibarat Mahkota”.

Ini bukan helmet yang biasa anda lihat dikedai-kedai. Ini helmet buatan tangan sepenuhnya, baik dari peringkat membentuk shell luaran menggunakan gentian (fiber), idea rekaan tersendiri dari pemilik, pemilihan bahan-bahan perincian yang lain (seperti kulit dan butang-butang yang digunakan), proses mengecat dan melukis, serta menjahit sehinggalah sesebuah helmet itu siap untuk diserahkan kepada pemiliknya.

Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

Sebuah mesin jahit lama Singer terletak elok di tengah meja kerjanya. Helmet-helmet yang masih dalam pembikinan disusun rapat ke dinding. Material lain seperti foam dan kain yang diperlukan disandarkan dipenjuru kanan meja kerja yang sama.

Dan, dalam bilik yang sama ada sebuah katil untuk Kecik tidur. Tetapi, ruang kecil ini jugalah yang menjadi saksi kepada pengaliran tenaga dan kreativiti yang diluahkan oleh Kecik tanpa jemu – semuanya untuk memuaskan hati dan menepati jangkaan setiap pelanggan.

Di dalam bilik inilah semua kerja-kerja menjahit bahagian-bahagian yang diperlukan untuk helmet itu dilakukan. Ini termasuk pemasangan butang-butang khas, serta melukis imej atau dekorasi pada helmet – semua ini dilakukan oleh Kecik secara sendirian, sekiranya terdapat permintaan daripada pemilik. Kerja-kerja membentuk shell helmet daripada gentian pula dilakukan di lorong belakang rumah berkenaan, kerana kawasan yang lebih luas diperlukan untuk itu.

Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

“Saya mula minat dengan pembuatan helmet ini sebab saya sendiri susah nak dapatkan sebuah helmet yang sedap dipakai dan sesuai dengan gaya yang saya inginkan ketika menunggang,” begitu Kecik memaklumkan bagaimana dia mula tergerak untuk mengorak langkah awal.

Minat awal itu termasuklah terhadap budaya motosikal dan tunggangan – serta disebabkan kecederaan yang diperoleh dari bermain skateboard – Kecik perlahan-lahan menumpukan perhatiannya terhadap seni dan kraf pembuatan helmet kustom.

“Lebih kurang dalam tempoh setahun sejak 2015 dulu saya belajar sendiri untuk mahirkan diri dengan semua proses. Tak ada orang yang nak ajar. Saya pernah minta kerja tanpa gaji di kedai fiber, tapi tetap tak dilayan. Jadi, saya banyak buang masa dan duit beli bahan dan cuba eksperimen sendiri dan banyak bertanya orang,” jelas Kecik, dalam nada suara lembut dan bersahaja.

Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

“Waktu itu saya masih kerja di hotel, syif petang. Jadi, tiap-tiap malam lepas kerja saya akan “main” dengan fiber, cuba macam-macam benda dan pendekatan untuk faham jenis fiber yang ada dan macam mana nak dapatkan bentuk sebuah helmet seperti yang saya bayangkan. Sampai pukul lima pagi, baru saya tidur. Bangun pukul dua petang, terus pergi kerja hotel,” ceritanya.

Dalam tempoh setahun kemudian, satu insiden yang menjadi titik tolak Kecik untuk mengusahakan Suzzy Helmet secara sepenuh masa berlaku. “Saya dah minta cuti setahun lebih awal hanya untuk pergi ride ke Pantai Balok, Pahang untuk acara Rollin’ Wheels, tapi bos tak luluskan. Jadi, saya berhenti kerja terus,” jelasnya.

Waktu itu, Kecik sudah berhasil siapkan empat buah helmet buatan sendiri – dengan bantuan dana dari teman wanita – yang sudah “menjadi” hasil daripada eksperimen yang dilakukan sendiri setahun sebelum itu. “Dengan duit simpanan pun dah habis, dan dalam poket cuma ada RM7 – cukup untuk refuel minyak motor, saya gamble ride ke acara dan berharap dapat jual helmet-helmet yang saya bawa. Kalau tak laku langsung, saya akan balik kampung terus,” kata anak muda yang berasal dari Temerloh, Pahang itu.

Kecik berjaya jual dua daripada empat helmet yang dibawa. Dan sejak itu, dia meluangkan sepenuh masa untuk bekerja sendiri bikin helmet yang dia suka. Katanya, ilham atau rujukan rekaan helmet yang dihasilkannya lebih kepada rekaan classic vintage yang popular di Amerika Syarikat ditahun-tahun 1960an.

Ketika ini, ada jenama-jenama luar yang melakukan perkara yang sama, iaitu menghasilkan novelty helmet yang bergiat aktif. Sebagai contoh, TT&Co di Jepun dan juga Beetle dari Amerika Syarikat. Untuk kita mempunyai seorang anak muda tempatan yang mempunyai semangat dan iltizam untuk terus mengorak langkah yang sama, ini adalah satu rahmat yang perlu dibanggakan dan kita sokong.

Sejak mula aktif mengambil tempahan pelanggan dalam tempoh setahun lebih kebelakangan ini, Kecik telah menyiapkan kira-kira 50 buah helmet di bawah lambang Suzzy Helmet. Dari mana pula datang nama Suzzy Helmet ini? “Suzzy ni nama yang saya bagi untuk motosikal scrambler Suzuki TS100 tahun 1971 yang saya guna. Disebabkan dah buntu cari nama, jadi saya gunalah nama Suzzy,” tambah Kecik.

Setiap tempahan biasanya akan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan. Lebih awal daripada itu, Kecik akan duduk dengan setiap seorang daripada mereka yang ingin menempah untuk mengetahui kehendak dan keperluan mereka terhadap helmet yang bakal dihasilkan. Harga bagi helmet yang dihasilkan Kecik bermula dari RM480 bagi versi standard, dan akan meningkat bergantung kepada permintaan pelanggan.

Hampir semua bahan-bahan yang diperlukan untuk pembuatan helmet ini diperoleh dari pembekal tempatan. Bila ditanya apakah penambahbaikan yang ingin dibuat, Kecik memaklumkan pada masa akan datang dia mungkin akan mencari sebahagian daripada material yang diperlukan dari luar negara.

“Sebab kualiti dan perincian yang ada, saya rasa ada perbezaan. Bila tengok detail yang ada, misalnya pada butang-butang yang digunakan, saya pun lagi semangat untuk hasilkan yang lebih baik. Dan, paling penting, pelanggan happy,” katanya.

Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

Perancangan masa terdekat selepas ini bagi Kecik adalah untuk membuka kedai, berkemungkinan besar di kawasan Ampang. Ini bagi memudahkan urusannya dengan pelanggan, dan juga untuk mewujudkan imej yang lebih menarik terhadap jenama Suzzy Helmet.

Selain itu, dia juga berhasrat untuk memperkembang perniagaan ini, misalnya dengan melabur untuk mendapatkan mesin-mesin yang lebih baik serta menjadikan helmet-helmet yang dihasilkan dapat memenuhi piawaian keselamatan untuk kegunaan di atas jalan.

Harapnya fokus Kecik terus kekal dan dapat meletakkan Suzzy Helmet pada tahap yang lebih tinggi. Usaha-usaha yang jujur dan genuine seperti ini pula layak menerima sokongan dan dukungan yang lebih besar. Jika anda berminat untuk tunjukkan sokongan, mungkin boleh mulakan dengan menempah sebuah helmet dari Suzzy Helmet?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required